Ahad, 16 September 2012

ISU KENEGARAAN : Laut China Selatan bukan pemisah


MINGGUAN: Selepas 49 tahun, sejauh manakah tahap integrasi masyarakat Malaysia Barat dan Malaysia Timur?

DR. JENIRI AMIR: Satu daripada agenda penting selepas pembentukan Malaysia adalah untuk mewujudkan integrasi wilayah. Sebelum pembentukan Malaysia malah pada awal pembentukannya, memang wujud sentimen anti-Semenanjung yang begitu ketara dalam kalangan penduduk Sarawak dan Sabah. Disebabkan dari segi geografi yang dipisahkan oleh Laut Cina Selatan di samping faktor sejarah dan komposisi yang berbeza, maka integrasi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan sejak kepemimpinan Tunku Abdul Rahman hingga kini.

Proses mencapai integrasi bukanlah mudah, ia memerlukan masa yang panjang. Hakikatnya, integrasi total tidak mungkin dicapai dalam waktu singkat kerana negara kita begitu kompleks. Namun, tembok psikologi telah banyak dapat diruntuhkan dengan mobilisasi penduduk yang lebih ketara, sistem pendidikan kebangsaan, kewujudan universiti di pelbagai negeri dan peranan media. Prasangka dan segregasi (pemisahan) semakin berkurangan. Integrasi yang kita harapkan ialah integrasi yang akhirnya memungkinkan kita mencapai negara idaman yang memiliki identiti nasional.

Rakyat pelbagai kaum semakin merasai bahawa mereka berada di bawah langit yang sama. Ikatan kesepaduan dari segi minda dan emosilah yang lebih penting dalam kalangan rakyat kita dan Laut Cina Selatan tidak harus menjadi jurang pemisah. Biar wujud jambatan emosi dan jiwa yang teguh dalam kalangan rakyat di Semenanjung dengan rakyat di Sabah dan Sarawak. Perhubungan yang lebih akrab antara wilayah dapat mewujudkan integrasi dalam bidang politik, sosial dan nilai. Dengan adanya perhubungan dan pengertian yang lebih mendalam, maka konflik dapat dielakkan.

MINGGUAN: Apakah agaknya yang boleh diperbaiki dan diberi tumpuan?

DR. JENIRI AMIR: Ketika Malaysia hendak ditubuhkan 49 tahun lalu, para pemimpin Kerajaan Persekutuan dengan pemimpin politik dan kaum di Sabah dan Sarawak seperti Datu Bandar Abang Mustapha Abang Mosili, Datu Mustapha Datu Harun dan Tun Fuad Stephens telah memainkan peranan besar menyokong gagasan Malaysia. Malah, Abang Mustapha antara pemimpin terawal Borneo yang menyokong idea Tunku itu. Para pemimpin berkenaan dan rakyat Sabah dan Sarawak dijanjikan pembangunan dan peluang yang sama dengan yang dinikmati oleh para penduduk dan negeri di Semenanjung.

Rungutan yang masih wujud adalah ketidakseimbangan dari segi pembangunan prasarana, ekonomi dan peluang yang diberikan kepada rakyat kedua-dua buah negeri ini untuk menduduki jawatan kanan di kementerian-kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Semenanjung.

Mereka mengharapkan untuk ditingkatkan tahap pembangunan khususnya di luar bandar. Mereka juga mahu diberi peluang yang sama dari segi pekerjaan dan jawatan penting. Mereka menuntut supaya royalti minyak dinaikkan agar ketidakseimbangan yang wujud dapat dikurangkan. Jangan sampai rakyat di Sabah dan Sarawak merasai mereka seolah-olah dilayan sebagai rakyat kelas dua. Jika kerajaan BN mahu kedua-dua negeri itu terus menjadi pelampung untuk menyelamatkan BN, maka perasaan, permintaan dan aspirasi rakyat di kedua-dua negeri itu perlu diberi perhatian. Memang wajar mereka membuat tuntutan berkenaan, kerana mereka beranggapan bahawa disebabkan dukungan kuat merekalah, maka BN masih berada di Putrajaya. Implikasinya, Sarawak dan Sabah tidak harus dipinggirkan atau menjadi melukut di tepi gantang.

MINGGUAN: Apakah manfaat paling ketara yang dinikmati Sabah dan Sarawak hasil pembentukan Malaysia?

DR. JENIRI AMIR: Keputusan para pemimpin politik serta rakyat Sabah dan Sarawak untuk sama-sama membentuk Malaysia sebagaimana dimanifestasikan melalui keputusan diperoleh Suruhanjaya Cobbold merupakan tindakan tepat dan berpandangan jauh. Ancaman dalaman termasuk komunis di Sarawak memburukkan lagi keadaan. Namun, dengan terbentuknya Malaysia, maka Sarawak dapat diselamatkan. Selain itu, Sabah dan Sarawak juga dapat menikmati pembangunan prasarana, sosial, kebudayaan, ekonomi, pelajaran dan seumpamanya sejak Malaysia ditubuhkan. Maksudnya, kedua-dua negeri itu dapat memerdekakan diri mereka daripada kedaifan, kemunduran, ketidakyakinan dari segi infrastruktur dan ekonomi khususnya meskipun masih ada ruang untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan. Dalam konteks ini, boleh kita katakan bahawa janji-janji sewaktu pembentukan Malaysia sudah dikotakan, sekali gus mencerminkan komitmen dan keikhlasan kepemimpinan di peringkat Pusat untuk memajukan dan memakmurkan Sabah dan Sarawak.

MINGGUAN: Bagaimana pula dengan kesungguhan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memenuhi keperluan Sabah dan Sarawak?

DR. JENIRI AMIR: Tsunami politik dalam pilihan raya 2008 telah mengubah landskap politik. Datuk Seri Najib melalui gagasan 1Malaysia memaknakan lagi erti pembentukan Malaysia. Satu Malaysia bukan sahaja bermaksud Semenanjung, tetapi meliputi Sabah dan Sarawak. Jika sebelumnya, tidak terdapat keberanian untuk mengisytiharkan 16 September sebagai cuti umum, namun di bawah Najib, beliau mengambil tindakan tersebut. Tindakan itu menggambarkan keikhlasan beliau, sekali gus membayangkan hakikat bahawa beliau ialah pemimpin yang sentiasa membawa aspirasi rakyat. Telinga beliau sentiasa didekapkan ke bawah untuk mendengar denyut nadi dan gerak rasa rakyat. Beliau ialah Perdana Menteri yang memiliki sikap empatik. Tidak ada Perdana Menteri yang melawat Sabah dan Sarawak sekerap Datuk Seri Najib. Tujuannya tidak lain daripada mendekatkan dirinya dengan rakyat agar faham akan masalah dan aspirasi mereka. Beliau bukan sahaja melawat ibu negeri, tetapi menjelajah sampai ke pesisiran dan pedalaman, termasuk ke rumah panjang. Beliau juga mewujudkan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji kadar royalti minyak, selain meningkatkan peruntukan kewangan bagi memastikan jurang pembangunan dan ekonomi dapat dirapatkan. Semua kaum diberi perhatian, termasuk etnik minoriti. Tidak hairanlah dengan kesungguhan itu, beliau begitu popular dalam kalangan rakyat di kedua-dua negeri sehingga mencecah rating sokongan 80 peratus.

MINGGUAN: Sejauh manakah generasi muda mendalami falsafah pembentukan Malaysia?

DR. JENIRI AMIR:  Bagi generasi muda, mereka lebih dekat dan lebih memahami hari kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Hari Malaysia agak kurang relevan kepada mereka. Hal ini ada kaitan dengan bagaimana tajuk berkenaan pembentukan Malaysia diberi tumpuan dalam mata pelajaran Sejarah. Namun, saya percaya selepas Hari Malaysia diwujudkan dan diraikan, maka kesedaran tentang kepentingan hari berkenaan semakin meningkat. Perbincangan tentang sejarah dan kepentingan pembentukan Malaysia perlu dibincangkan melalui media bagi membantu meningkatkan kesedaran dan pemahaman mereka tentang hari penting itu. Sebagai sebuah negara yang menjadikan negara bangsa sebagai idaman, maka kita perlu memperkukuh pengertian terhadap sejarah dan kepentingan Hari Malaysia. Mungkin pada tahun depan kita boleh meraikan Hari Malaysia di Sabah, Sarawak dan Semenanjung secara besar-besaran kerana kita akan meraikan ulang tahun ke-50 pembentukan Malaysia.

MINGGUAN: Perjanjian 20 Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara bagi Sarawak, adakah ia sesuatu yang difahami masyarakat khasnya di Semenanjung?

DR. JENIRI AMIR: Masyarakat biasa di negara ini kurang faham tentang perjanjian itu. Perkara 165 Perlembagaan Malaysia turut memasukkan tuntutan Sabah dan Sarawak itu. Antara perkara terbabit adalah berkaitan dengan agama, bahasa, perlembagaan, imigresen, kewangan dan hak bumiputera Sabah dan Sarawak. Misalnya, di bawah perjanjian itu, dipersetujui bahawa kuasa imigresen adalah di bawah Pusat, tetapi soalan tentang keluar atau masuk ke Sabah dan Sarawak harus dikawal oleh kedua-dua negeri itu sendiri. Di bawah perjanjian itu terdapat perlindungan-perlindungan khas bagi kedua-dua negeri itu, selain pemberian khas dalam peruntukan kewangan. Penduduk bumiputera di Sabah dan Sarawak juga mendapat hak istimewa seperti orang Melayu di Semenanjung.

Ada pemimpin di Sabah dan Sarawak mati-matian mahu mempertahankan perkara yang dikatakan termaktub di bawah perjanjian itu seolah-olah ia diukir di atas batu. Persoalannya, adakah selepas hampir 50 tahun Malaysia ditubuhkan, kita perlu berpegang kepada perjanjian itu secara tuntas, misalnya dari segi imigresen sehingga mereka dari Semenanjung seolah-olah bukan orang Malaysia apabila melalui imigresen di lapangan terbang? Dalam keadaan masyarakat kurang faham akan kandungan terperinci perjanjian itu, mereka mudah keliru dan dikelirukan apatah lagi oleh para pemimpin politik yang mempunyai agenda tersendiri untuk dilihat sebagai hero dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak.

MINGGUAN: Kebelakangan ini makin ketara adanya usaha melaga-lagakan masyarakat Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak melalui laman sosial seperti Facebook. Apa komen Dr?

DR. JENIRI AMIR:  Perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang mahu merosakkan hubungan baik dan integrasi yang wujud ketika ini. Golongan ini cuba mengambil kesempatan. Mereka merupakan pemusnah integrasi nasional yang cuba diwujudkan oleh kerajaan. Sayugia diingatkan, tidak ada manfaatnya melaga-lagakan masyarakat. Perbuatan tidak bertanggungjawab itu hanya merugikan semua pihak.

Apakah untungnya jika sentimen rakyat diapi-apikan? Apa gunanya jika rakyat saling memusuhi? Kita sepatutnya bergerak ke hadapan untuk membina negara idaman; sebuah negara bangsa yang memiliki kesatuan, kesepaduan dan akhirnya perpaduan dari segi politik, sosial, wilayah, ekonomi, budaya dan sebagainya.

Bagi menangani emosi yang membuak-buak dalam kalangan generasi muda dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan untuk menjelaskan pentingnya keharmonian hubungan dan integrasi antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak disegarbugarkan. Langkah top-down daripada kerajaan tidak memadai, langkah dan strategi bottom-up perlu digiatkan juga, kerana akhirnya penggemblengan kedua-dua pendekatan itulah yang memungkinkan kita dapat menyuntik rasionaliti ke dalam minda mereka.

MINGGUAN: Bagaimana pula dengan mereka yang mendakwa hasil bumi Sabah dan Sarawak dirompak untuk membangunkan Semenanjung?

DR. JENIRI AMIR: Ini tuduhan yang tidak berasas sama sekali. Untuk menuduh kerajaan Pusat merompak hasil bumi kedua-dua negeri adalah satu tuduhan yang melampau. Sebagai sebuah negeri yang mengamalkan sistem Persekutuan, saya percaya bahawa kerajaan Pusat telah berusaha sedaya upaya untuk memenuhi kehendak rakyat di seluruh negara. Jikapun ada kelemahan, adakah sepuluh jari itu perlu ditujukan kepada pemimpin Pusat sahaja. Jika kemunduran, kemiskinan dan salah guna kuasa berlaku, tidakkah pemimpin negeri di Sabah dan Sarawak turut bertanggungjawab.

MINGGUAN: Ada juga dakwaan Sabah dan Sarawak mampu melakar masa depan yang lebih gemilang jika tidak membentuk Malaysia. Relevankah ia didebatkan selepas 49 tahun?

DR. JENIRI AMIR: Ketika Malaysia mulai digagaskan, Filipina dan Indonesia memang menentang keras penubuhan Malaysia. Presiden Filipina, Diasdado Macapagal menentang cadangan pembentukan Malaysia kerana membabitkan wilayah Borneo Utara atau Sabah. Penentangan Indonesia di bawah kepemimpinan Sukarno bukan sahaja dalam bentuk diplomasi, tetapi beliau telah melancarkan gerakan ketenteraan melalui dasar konfrontasi. Sabah dan Sarawak telah dapat diselamatkan daripada diancam dan ditelan oleh Filipina dan Indonesia.

Ini merupakan soalan hipotetikal. Untuk menjawab soalan atau kenyataan ini, kita perlu bertanya balik. Bagaimanakah keadaan politik, sosial dan ekonomi Filipina dan Indonesia sekarang? Adakah jauh lebih maju daripada Malaysia? Adakah jauh lebih membangun daripada Sabah dan Sarawak? Adakah rakyatnya lebih bahagia? Berapa banyakkah rakyatnya yang terpaksa mencari rezeki di luar negara?

Saya rasa, tidak ada gunanya kita berdebat tentang perkara ini. Ini tidak menguntungkan. Sama seperti suami isteri yang sudah berkahwin dan mendapat anak, selepas hampir 50 tahun berkahwin, tiba-tiba timbul di jiwa atau fikirannya, tentang kemungkinan dia lebih bahagia jika berkahwin dengan orang lain. Justeru, daripada mengambil keputusan untuk berpisah atau berkahwin lain atau mengeruhkan hubungan, lebih baik ditumpukan segala perhatian untuk membahagiakan rumah tangga yang telah dibina demi kebahagiaan pasangan suami isteri sendiri dan anak-anak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan