Ahad, 16 September 2012

ISU SOSIAL : Lima kunci rancang kerja seharian


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Keistimewaan berteraskan niat pupuk raca cinta akan kebajikan

Setiap hari kita meneruskan kehidupan dengan menunaikan amanah bekerja. Adalah penting bagi kita untuk merencana dan merancang kerja seharian supaya dapat mengambil langkah melonjakkan usaha ke tahap lebih baik bagi mengelakkan berada di takuk lama tanpa penambahbaikan.

Merencana kerja bermaksud menentukan hala tuju dan sasaran yang ingin dicapai dan merancangnya pula bermaksud menentukan cara, tempoh, keutamaan, sumber dan mekanisme untuk mencapainya. Merencana dan merancang kerja yang baik serta tidak menyalahi hukum syarak adalah suatu kebaikan yang menjadi ibadat bagi umat Islam walaupun belum dilaksanakan. Keunikannya dalam Islam bertujuan memupuk dan melonjakkan rasa cinta akan kebaikan.

Penentuan kualiti kerja

Ia terangkum dalam konsep niat yang menjadi prasyarat kepada penerimaan dan penentuan kualiti kerja dalam Islam. Niat adalah qasad (tujuan hati) dan iradah (kehendak hati) untuk melakukan sesuatu bagi memperoleh keredaan Allah SWT.

Imam Nawawi dalam Matan al-Arba’innya telah memulakan dengan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Saidina Umar bin al-Khattab, Rasulullah bersabda: “Hanya segala amal dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seorang apa yang ia niatkan. Maka barang siapa hijrahnya kerana Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa hijrahnya bagi dunia yang ia akan memperolehnya atau perempuan yang ia ingin dikahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang ia berhijrah kepadanya itu.”

Kualiti halal

Keutamaan niat dalam gerak kerja Islam menyebabkan Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat hadis ini adalah sepertiga Islam kerana amalan yang dilakukan dengan hati, lidah dan anggota memerlukan niat. Manakala baki dua pertiga lagi terletak pada kualiti halal dan meninggalkan apa yang tidak berguna.

Justeru, merencana dan merancang kerja perlu diniatkan dan niat itu mestilah bertujuan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT. Kata kunci yang menjadikannya istimewa ialah ‘kerana Allah’. Keistimewaan rencana dan rancang kerja berteraskan niat dapat menghasilkan lima impak hebat.

Pertama, impak ganjaran disebabkan tujuan. Contohnya antara iktikaf dan rehat dalam masjid adalah dua gerak kerja yang sama tapi akan memberikan impak berbeza disebabkan oleh niatnya.

Kedua, impak status kerana niat juga membezakan status gerak kerja antaranya mandi wajib dan sunat, solat, sedekah, juga puasa.

Ketiga, impak antara adat dan ibadat. Kerja diniatkan untuk memenuhi kesejahteraan pelanggan, nafkah diri dan keluarga mendapat pahala ibadat.

Keempat, impak antara sah dan batal seperti rakaat solat jika salah diniatkan.

Kelima, impak kualiti kerja antara yang dikerjakan dengan ikhlas dan jujur dengan sombong dan menunjuk-nunjuk.

Kejayaan duniawi

Oleh itu, jika diniatkan dengan baik dan betul, kita akan mencapai matlamat serampang dua mata iaitu kejayaan duniawi sesuai apa yang telah direncana dan rancang serta kecemerlangan ukhrawi dengan keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT: “Dan tidak diperintahkan kamu melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agama kerana-Nya, dengan menjauhi kesesatan, dan (supaya) mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, kerana yang demikian itulah agama yang lurus.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Merencana dan merancang kerja juga merealisasikan tuntutan agama supaya kita menjadi insan lebih cemerlang dengan hasil kerja menjadi lebih berkualiti dari semasa ke semasa. Bahkan insan yang mendapat rahmat daripada Allah SWT akan berusaha memperbaiki diri apabila sedar wujud kelemahan.

Islam amat menekankan supaya kita berhijrah daripada sesuatu yang tidak baik kepada yang baik dan daripada yang baik kepada cemerlang. Justeru, dalam bekerja, usaha merencana dan merancang untuk penambahbaikan perlu diberikan penekanan.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh,  sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan ganjaran orang yang memperelokkan amalannya.” (Surah al-Kahfi, ayat 30)

Merencana dan merancang kerja  juga memerlukan komitmen tinggi atau jihad. Sabda Rasulullah: “Tidak ada hijrah lagi sesudah kemenangan, tetapi yang ada ialah jihad dan niat dan apabila diperintah kamu keluar, maka keluarlah.”

Justeru, jihad dalam merencana dan merancang memerlukan  usaha secara bersungguh-sungguh melalui perbincangan, ketelitian dalam membuat keputusan membabitkan kepentingan ramai dan untuk jangka masa panjang berdasarkan pengetahuan.

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan