Selasa, 25 September 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : eBilling kurangkan kos kerajaan


Oleh ZULKIFLI JALIL

PENYELIDIKAN pasaran bebas oleh RedMarch (2011) baru-baru ini menunjukkan industri eBilling Malaysia masih di peringkat permulaan. Ia direkodkan sebagai mempunyai potensi yang besar untuk berjaya.

Pada masa sama, penyelidikan pada Januari 2012 oleh MIT G-lab Programme Sloan School of Management menunjukkan potensi penjimatan kira-kira RM100 juta untuk kerajaan setiap tahun, dengan andaian penukaran 100 peratus kepada sistem eBilling.

Apa itu eBilling? Secara amnya, mengemukakan bil dan pembayaran secara elektronik (EBPP) adalah satu proses di mana bil dapat diwujudkan, dihantar dan dibayar melalui atas talian. Perkhidmatan ebilling ini mempunyai potensi diguna pakai oleh kebanyakan industri khususnya sektor kewangan, telekomunikasi dan utiliti. Sebagai contoh, bil telefon boleh diterima dalam format PDF dan dihantar terus ke peti e-mel anda dan pembayaran boleh dilakukan secara perbankan Internet.

eBilling telah menjadi suatu ikutan di sektor kerajaan. Chile contohnya telah memacu pertumbuhan cukai secara atas talian dan e-bil.

Di Arab Saudi, SADAD payment system (SADAD) adalah satu inisiatif untuk proses penghantaran dan pembayaran bil di atas talian. Di Singapura pula, projek OneInbox adalah untuk memupuk komunikasi antara kerajaan dan rakyat Singapura melalui e-mel.

Pada 2010 dan 2011, 79 peratus daripada syarikat-syarikat di Chile telah mendaftar ke dalam inisiatif kerajaan dan sejumlah 108 juta bil elektronik telah diproses. Di Arab Saudi sahaja, 62 juta transaksi pada 2008 diproses melalui SADAD pada nilai yang melebihi AS$7.4 bilion.

Dalam hubungan ini, Myemail adalah satu projek rintis kerajaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), di mana matlamat utama adalah untuk menyediakan setiap warganegara Malaysia dengan akaun e-mel yang selamat dan disahkan identitinya.

Selain daripada komunikasi e-mel, myemail juga memberi ruang kepada agensi-agensi kerajaan serta organisasi perniagaan untuk menghantar bil, penyata, notis secara elektronik.

Secara ringkasnya, myemail merupakan satu inisiatif positif yang memerlukan masa dan sokongan kedua-dua pihak - billers dan pengguna - untuk penjimatan kos kepada kerajaan.

Myemail menawarkan khidmat eBilling kepada organisasi dan juga pengguna. Sistem eBilling myemail ataupun ePost adalah sistem penghantaran dokumen elektronik yang selamat dan berkapasiti tinggi. Ia merevolusikan cara penghantaran bil, penyata serta notis kutipan.

Antara ciri ePost adalah seperti elemen-elemen interaktif, dokumen yang sulit dihantar terus ke dalam peti mel dan membolehkan pembayaran atas talian inovatif "1- click" dari dalam dokumen yang di enkripsi.

Antara faedah pengunaan myemail eBilling adalah:

1. Pihak billers/organisasi

* Penjimatan kos sebanyak 48-80 peratus

* Meningkatkan aliran tunai

* Mengurangkan tempoh kutipan

* Mengurangkan kesan jejak karbon

* Pemasaran peribadi yang lebih efektif

* Penghantaran segera dan efektif

2. Pihak pengguna

* Penerimaan bil di mana-mana dan setiap masa

* Mudah dan senang digunakan

* Penukaran gaya hidup yang minimum

* Mudah dicari dan disimpan dalam format PDF

* Meningkatkan pengurusan wang

Dalam konteks ini, ePost boleh membantu kerajaan untuk mengurangkan kos melalui EBPP. Menerusi E-Government, akan berlaku peningkatan kemudahan perkhidmatan kerajaan seperti berikut:

1. "Paperless" Government

* Penggantian kertas dengan arkib digital

* Penghapusan kertas secara beransur-ansur - minit mesyuarat, bahan persembahan dalaman, pekeliling dan sebagainya.


2. Perkhidmatan E-Counter

* Ke arah sifar interaksi muka ke muka - 90 peratus transaksi atas talian 10 peratus e-borang

* Didapati di pelbagai peranti (kiosk, PC, telefon bimbit) di semua lokasi dan di semua saluran.


3. Akaun 1Malaysia

* e-mel rasmi yang unik

* "single sign-on" kepada saluran e-perkhidmatan kerajaan

* Capaian dan penghantaran e-perkhidmatan yang lebih cekap

* Nilai tambah contohnya perkhidmatan pembayaran bil dalam talian dan lain-lain.

Ketika ini, dipercayai myemail.my team telah berjaya melancarkan perkhidmatan eNotice pertama pada ujian rintis (Bukti Konsep) bagi sebuah agensi  kerajaan sejak Januari 2012.

Syarikat berkenaan dikatakan didatangi oleh 32 organisasi awam dan swasta untuk membolehkan penghantaran "Push Email" melalui "EBPP". Yang nyata, proses perolehan yang lebih ringkas ini dapat mengurangkan kos pentadbiran dan operasi anda.

Sumber :  http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Hina Tuhan bukan karya seni


Oleh : Dr Anwar Ridhwan
 
Gejala persoal agama mesti ditentang

Ada penulis menggunakan karya seni untuk tujuan yang salah. Ketika seni pada umumnya menzahirkan karya kemanusiaan melalui gaya bahasa sastera yang boleh membijaksanakan pembaca, memberi pengalaman intelektual serta estetika kepada khalayak, ada karya seni disalahgunakan untuk tujuan menghina tuhan dan agama.

Terbaru, umat Islam seluruh dunia dikejutkan dengan kemunculan filem Innocence of Muslims oleh pembikin filem bernama Sam Bacile. Filem ini diproduksi di Amerika, sebuah negara paksi kejahatan yang terkenal dengan sikap anti-Islam, seperti terbukti dengan sokongannya terhadap Israel dan menindas penduduk Palestin terus menerus. Sam Bacile menganggap Islam sebagai barah! Di negara kita, beberapa tahun dahulu ada buku Kassim Ahmad yang dianggap menggugat Islam, melalui usahanya agar hadis dinilai semula, sehingga beliau dianggap seorang antihadis. Gejala mempersoalkan agama dan Tuhan turut berlaku di Indonesia.

Majalah Sastra bulan Ogos 1968 yang terbit di Jakarta umpamanya, menerbitkan sebuah cerpen berjudul Langit Makin Mendung oleh seorang penulis yang menggunakan nama samaran Ki Panjikusmin. Hingga kini hanya HB Jasin sebagai editornya, serta Tuhan saja yang tahu siapakah penulis sebenar cerpen berkenaan.

Dalam Langit Makin Mendung gambaran penulis tentang Tuhan sangat antropomorfik. Selama bertahun-tahun selepas cerpen berkenaan disiarkan, polemik membara dalam kalangan intelektual, golongan agama dan seniman. HB Jasin sendiri sering menerima ancaman yang menggugat keselamatan dirinya.

Mengapa karya seni digunakan untuk menghina Tuhan dan agama? Bagi mereka yang menghasilkan karya sedemikian dengan menggunakan nama samaran, mereka berselindung di balik ketakutan untuk konon menyuarakan bahawa aliran pemikirannya yang betul, walaupun ilmunya dalam bidang agama boleh dipersoalkan. Bagi mereka yang menggunakan nama sebenar, ini mungkin kesempatan baik untuk meraih populariti, mendapat sokongan moral dan material dari musuh Islam, dan anugerah tertentu.

Tetapi umat Islam tidak berdiam diri. Umat Islam tidak rela Tuhan dan agamanya dihina. Akibatnya, penghina Tuhan dan agama mendapati diri mereka berada dalam bahaya yang berpanjangan.

Kita masih ingat dengan novel Satanic Verses, novel keempat karya Salman Rushdie, yang diterbitkan pada 1988. Novel yang turut mempersoalkan ketulenan al-Quran ini diprotes secara meluas di seluruh dunia Islam. Pada 14 Februari 1989, Ayatollah Ruhollah Khomeini mengeluarkan fatwa menghalalkan pembunuhan Salman Rushdie.

Pengarang wanita Islam juga memasuki gelanggang yang karut ini. Taslima Nasreen, warga Bangladesh terang-terangan memperjuangkan humanisme sekular. Novelnya Lajja (Memalukan) memburukkan sekeluarga Islam yang menjadi antagonis mengancam kehidupan sebuah keluarga Hindu. Jika Kassim Ahmad mahu hadis dinilai semula, Taslima mahu undang-undang syariah Islam dinilai semula (wawancaranya dalam akhbar The Statesman, Mei 1994). Majlis Tentera Islam Bangladesh memburunya untuk dibunuh. Dia menyelanak lari ketakutan ke luar negara.

Beberapa bulan lalu, di Malaysia heboh mengenai Irshad Manji, pengarang wanita Kanada yang cuba melakukan reformasi serta interpretasi al-Quran serta Islam secara lebih progresif melalui kaca mata kaum liberal. Bukunya Allah, Liberty and Love (2011) yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dilarang beredar di pasaran.

Sebagai seorang Islam kita memahami psikologi Sam Bacile yang menganggap Islam sebagai barah – kerana kejahilan serta kebencian mendalamnya terhadap orang Islam dan Islam, agama yang amat asing kepadanya. Juga atas sebab-sebab sejarah bangsa dan agama.

Begitu juga kita dapat memahami psikologi Geert Wilders, Ahli Parlimen Belanda, atas sebab-sebab yang sama. Kata-katanya yang terkenal: “I don’t hate Muslims, I hate Islam” hanyalah retorik politiknya untuk cuba membezakan penganut Islam dengan agama Islam. Realitinya, dia membenci kedua-duanya – umat Islam dan Islam – kerana tidak mungkin memisahkan Islam daripada sukma umat Islam.

Akan tetapi kita berasa dukacita dan hairan, apabila terdapat usaha-usaha untuk melemahkan umat Islam, membenci Tuhan dan agama samawi ini dari kalangan orang yang mengaku dirinya Islam. Mereka menjadi semacam tali barut atau komprador kepada kuasa yang sentiasa ingin menjatuhkan Islam dan umatnya.

Ketika George W Bush berkuasa di Rumah Putih, dan roket-roket pemusnahnya meledak membunuh umat Islam di Palestin dan Iraq, ia berkata: “Perang Salib masih berterusan...” Mengapa orang seni yang mengaku dirinya Islam, ikut menyertai golongan terkutuk ini untuk bersama-sama menghina Tuhan dan Islam?

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/