Oleh : HASAN AL-BANNA MOHAMED
SABAN tahun, menjelang
Rabiulawal, umat Islam seluruh dunia akan tersemat dalam kotak minda
masing-masing dengan satu peristiwa terbesar berlaku di atas muka bumi ini.
Peristiwa tersebut telah membawa keamanan sejagat buat semua makhluk, ia itu
kelahiran junjungan besar Muhammad SAW yang tercinta.
Perutusan Baginda SAW hakikatnya
telah membawa kerahmatan dan manfaat kepada semua manusia, haiwan, jin dan para
malaikat.
Firman ALLAH SWT dalam Surah
al-Anbiya’, ayat 107 yang bermaksud: Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu (wahai
Muhammad) kecuali sebagai rahmat seluruh alam".
Justeru, kita yang mengakui umat
Baginda SAW mestinya sentiasa mengucapkan selawat dan salam buat Baginda SAW
dengan berazam untuk menuruti setiap Sunnahnya dalam kehidupan seharian kita.
Hal ini kerana Bagindalah makhluk dan insan yang paling agung pernah diciptakan
ALLAH SWT.
Kita percaya seyakinnya tindakan
dan pertuturan yang ditunjukkan Baginda SAW pasti mendatangkan manfaat besar
kepada manusia seluruhnya.
Hal ini demikian kerana setiap
apa yang dikeluarkan daripada Nabi Muhammad SAW tidak lain dan tidak bukan
merupakan wahyu ILAHI semata sebagaimana maksud Surah an-Najm, ayat 4:
"Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain
hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya". Namun menjadi realitinya,
Sunnah Rasulullah SAW dianggap remeh dan dipandang sepi oleh segelintir umat
Islam dewasa kini. Ada yang menganggap ia sebagai suatu perkara biasa sahaja
yang dilakukan oleh seseorang manusia dan tiada bezanya dengan amalan-amalan
lain. Ada yang malu meniru amalan Sunnah Baginda SAW.
Mungkin ada juga segelintir yang
leka dengan kesibukan hedonisme dan materialistik duniawi sehinggakan sanggup
menjadikan manusia lain sebagai idola kehidupan.
Sebagai contohnya, seseorang yang
menjadikan individu tertentu yang jelas terpesong akhlak dan budi pekertinya
seperti berpakaian tidak menutup aurat, bertutur dengan bahasa yang kesat,
menghina sesama sendiri, suka menabur fitnah yang tidak bernoktah, mengamalkan
pergaulan bebas lelaki perempuan bukan muhrim, terjebak dengan gejala negatif
serta perkara memabukkan, terpengaruh dengan budaya Barat yang kuning dan hitam
serta pelbagai lagi kebejatan sosial pada akhir zaman ini.
Maka kita sebagai umat Nabi
Muhammad SAW, kita perlu menuruti apa
yang diungkapkan oleh Baginda melalui hadis sahih dalam Sunan Ibnu Majah yang
bermaksud: "Hendaklah kamu beramal dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’
ar-Rasyidin al-Mahdiyyin".
Menjadi persoalan sekarang,
adakah kita umat akhir zaman ini mengenali susuk tubuh, tingkah laku,
perkataan, perbuatan dan sifat-sifat Baginda dengan sebaik mungkin? Adakah
nanti pada hari akhirat kelak dapat kita mencari individu teristimewa, iaitu
Nabi Muhammad SAW dengan mudah dan cepat?
Bagaimana kita hendak mengecamnya
jika di dunia ini pun kita tidak mengambil endah dan peduli dengan Sunnah
Rasulullah SAW? Mudah bagi kita untuk menghafaz lirik lagu ‘Gangnam Style’
daripada membasahi lidah kita dengan lafaz selawat ke atas junjungan besar Nabi
Muhammad SAW.
Selain itu, ada yang menghina
Baginda SAW melalui lukisan, tulisan, cemuhan, kata-kata nista serta yang
paling menyayat hati adalah tidak mengikuti perintah ALLAH SWT dan rasul-Nya
dengan sikap sambil lewa sahaja.
Justeru, bersempena dengan
sambutan Maulidur Rasul pada awal tahun ini, marilah kita memperbaharui niat
kita sekali lagi dengan berazam bersungguh-sungguh untuk membudayakan Sunnah
dan amalan Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
Ikutan Sunnah sebegini mampu
dijadikan titik tolak perubahan kepada maklum balas wasiat terakhir Baginda SAW
pada saat-saat kewafatannya yang mengungkapkan lafaz: ‘Ummati..Ummati..Ummati’.
Sedarilah betapa kasih sayang Baginda SAW terhadap umatnya bukanlah terhenti
setakat itu sahaja, pada hari akhirat kelak dianugerahkan syafaat Baginda untuk
masuk ke syurga nanti. Oh! Alangkah beruntungnya menjadi umat Nabi Muhammad
SAW.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan