Oleh : Mohamed Farid Noh
Batu Pahat : Sebanyak
RM498 juta peruntukan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada setiap 4.98
juta pelajar di seluruh negara akan diagihkan mulai esok.
Ia diberikan terus kepada ibu
bapa secara berperingkat sehingga 15 Februari depan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr
Mohd Puad Zarkashi, berkata peruntukan sebenar yang disediakan bagi 2013 adalah
RM540 juta, termasuk untuk pelajar sekolah swasta dan sekolah agama rakyat,
tetapi kementerian belum menerima jumlah sebenar pelajar terbabit.
Bayar tanpa potong hutang
tertunggak
“Bagaimanapun, kita akan pastikan
bayaran akan berjalan lancar. Pihak sekolah diingatkan supaya membayar terus
RM100 kepada ibu bapa tanpa apa-apa potongan hutang tertunggak atau bayaran
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya selepas program ramah mesra
bersama penduduk Bakau Chondong di Parit Gantung, di sini semalam.
Sementara itu, Mohd Puad yang
juga Ahli Parlimen Batu Pahat, berkata RM3.8 bilion dibelanjakan kerajaan tahun
lalu bagi bantuan pendidikan kepada pelajar di seluruh negara.
Rancangan makanan tambahan
Katanya, ia termasuk Rancangan
Makanan Tambahan, makanan di asrama harian dan asrama penuh, Biasiswa Kecil Persekutuan
sekolah menengah, bantuan tuisyen, bantuan buku teks serta Susu 1Malaysia.
“Contohnya makanan di asrama
penuh dan harian, kos makanan pelajar adalah RM15 sehari, tetapi ibu bapa hanya
perlu membayar RM1 sahaja, manakala RM14 lagi ditanggung kerajaan membabitkan
minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam serta minum lewat malam.
“Semua pelajar di asrama harian
atau asrama penuh layak menerima subsidi ini, manakala pelajar asrama desa
menerima 100 peratus bantuan tanpa perlu membayar apa-apa.
“Malah, untuk Biasiswa Kecil
Persekutuan bagi pelajar sekolah menengah, penerima dibayar RM300 setiap
seorang,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan