Oleh : Rejal Arbee
Universiti swasta lebih
utamakan keuntungan
Kerajaan mulai bulan ini
membekukan penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kerana jumlah IPT
sedia ada dikira sudah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi,
baik pelajar tempatan mahu pun pelajar asing.
Kini ada sejumlah 37 universiti
swasta, 20 kolej universiti swasta, tujuh kampus cawangan universiti luar
negara dan sehingga 414 kolej swasta yang menawarkan sijil dan diploma.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah IPT sedia ada, termasuk IPTA kini
sudah mencukupi untuk menampung permintaan pengajian tinggi baik daripada
pelajar tempatan mahu pun pelajar asing. Malah, ada dakwaan pengeluaran lulusan
daripada IPT sekarang sudah pun melebihi kehendak pasaran menyebabkan ramai
graduan menganggur.
Pembekuan selama dua tahun itu
juga membolehkan kementerian melakukan pemantauan terhadap IPTS sedia ada bagi
menentukan keupayaan serta mutu mereka. Inilah yang sepatutnya dilakukan kerana
hingga sekarang, tidak diketahui apakah audit menyeluruh pernah dilakukan
terhadap operasi, perjalanan dan mutu kursus ditawarkan semua IPTS itu.
Berdaya saing, setanding
negara maju
Pemantauan itu juga dalam rangka
menentukan sektor pengajian tinggi negara ini akan lebih berdaya saing dan
setanding di negara maju.
Sekarang ini pun sudah kedengaran
wujudnya IPTS yang lebih mementingkan yuran yang mereka terima daripada pelajar
berbanding menentukan mutu pelajaran disediakan.
Malah, kolum ini pernah
menimbulkan wujudnya sebuah universiti swasta yang sering memaparkan dirinya
sebagai universiti bermutu dan terbaik, membuat ketetapan seorangpun pelajarnya
tidak boleh digagalkan walau jelek sekali keputusan peperiksaan mereka.
Malah, dikatakan ada beberapa
pensyarah diminta menambahkan markah rendah yang diberikan kepada pelajar
supaya pelajar itu lulus.
Alasan mereka ialah telah
membayar yuran dan yuran dikenakan universiti ini sememangnya tinggi.
Ada pensyarah yang tidak senang
dengan peraturan itu telah berhenti daripada mengajar di situ.
Persoalan yang timbul ialah
apakah pihak berwajib di Kementerian Pengajian Tinggi tidak mengetahui apa yang
berlaku itu? Apakah pemantauan dan audit tidak pernah dilakukan ke atas
universiti itu bagi menentukan bahawa ia benar-benar beroperasi sebagai sebuah
universiti yang mengeluarkan graduan bermutu?
Pengalaman penulis dengan seorang
graduan bidang kewartawanan tidak memberikan keyakinan pelajaran yang
disediakan memenuhi kehendak pemberitaan. Inilah yang sedang berlaku di
universiti swasta kerana kepintarannya memasarkan dan ‘mengangkat bakul
sendiri’ dapat mengaburi mata ibu bapa dan pelajar memasukinya dengan
berpendapat ia adalah sebuah IPTS bermutu.
Pantau kelestarian universiti
Oleh itu, pengumuman Khaled awal
bulan ini bahawa kementerian telah mengenal pasti sembilan universiti dan
universiti kolej swasta akan dipantau untuk menentukan kelestarian mereka
menyediakan mutu perkhidmatan dan pentadbiran terbaik berikutan aduan orang
ramai amat dialu-alukan.
Malah pemantauan itu tidak harus
dilakukan ke atas institusi yang ia menerima aduan saja kerana ada universiti
swasta menyembunyikan kelemahan.
Sepatutnya, semua IPTS perlu
diaudit dari semasa ke semasa bagi menentukan mutu kursus disediakan seperti
diharapkan.
Apa pun, hingga sekarang ramai
majikan swasta masih menganggap lulusan daripada IPTS lebih bermutu dan mudah
diterima bekerja daripada lulusan IPTA hanya berdasarkan penguasaan bahasa
Inggeris mereka yang lebih baik.
Diakui penguasaan bahasa Inggeris
penting kerana kedudukannya sekarang sebagai bahasa antarabangsa tetapi
persoalannya, kenapakah kefasihan dalam bahasa Inggeris menjadi ukuran penting
mutu seseorang graduan? Apa yang perlu dilakukan IPTA ialah mengadakan kursus
bahasa Inggeris kepada pelajar mereka untuk meningkatkan kefasihan mereka dalam
bahasa itu.
Jika dibandingkan secara objektif
antara graduan IPTA dengan IPTS, pada puratanya lulusan IPTA tentunya harus
lebih bermutu daripada graduan IPTS. Ini adalah perbandingan secara keseluruhan
dan tipis saja. Tidak dinafikan ramai juga graduan IPTS bermutu tinggi.
Harus diakui bahawa pelajar
universiti awam semuanya terpilih. Yang tidak mendapat tempat di universiti
awam akan memohon universiti atau kolej swasta.
Tenaga pengajar dan peralatan
yang ada di universiti awam juga jauh lebih baik daripada kebanyakan IPTS. Kini
ketetapan sudah dibuat bahawa hanya mereka yang mempunyai ijazah sarjana saja
akan diterima menjadi pensyarah universiti awam. Kehendak ini tidak menjadi
syarat bagi universiti swasta. Jelaslah daripada perbandingan singkat ini pun
terdapat kelebihan pada universiti awam berbanding universiti swasta. Oleh itu,
prejudis majikan terhadap graduan IPTA tentunya menimbulkan pelbagai persoalan.
Penulis ialah Felo Kanan UKM
Sumber : http :
//www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan