KUALA LUMPUR : Kementerian
Pelajaran menjelaskan pelaksanaan dasar mengehadkan jumlah maksimum 10 mata
pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah ditetapkan
sejak 2010.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri
Abdul Ghafar Mahmud berkata di samping itu, calon diberi kelonggaran mengambil
tidak lebih daripada dua mata pelajaran tambahan yang menjadikan jumlah
keseluruhan subjek yang boleh diambil 12.
"Dua mata pelajaran tambahan
itu mestilah dipilih daripada mana-mana mata pelajaran yang telah disenaraikan
dalam peperiksaan SPM, selain mata pelajaran teras," katanya dalam
kenyataan pada Khamis.
Calon hendaklah mengambil enam
mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik,
Sains dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.
Menurut kenyataan itu, calon
boleh membuat pilihan untuk mengambil mana-mana mata pelajaran elektif yang
ditawarkan sehingga maksimum 10 mata pelajaran.
"Dan kelonggaran diberi
kepada calon untuk menambah dua mata pelajaran elektif, antaranya Kesusasteraan
Cina, Kesusasteraan Tamil dan Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran
dan Al-Sunnah, Tasawwur Islam dan Pendidikan Seni Visual," kata Abdul
Ghafar.
Beliau mengulas laporan sebuah
media tempatan bertajuk 'SPM 10-Subject Limit Stays' yang disiarkan 10
Mac lalu.-BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan