Sebelum perkataan-perkataan
seperti cendekiawan, ilmuwan,
intelektual atau kaum intelek menjadi popular, orang Melayu menggunakan ‘bijak
pandai’. ‘Bijak’, ‘bestari’, ‘pandai’, ‘cerdik’, ‘arif’ yang merupakan sinonim
untuk menunjukkan kepandaian seseorang. Apa yang menarik, apabila orang Melayu
merujuk pada perkataan ‘bijaksana’, maknanya dikaitkan dengan ‘akal budi’,
bukan sekadar kepandaian semata-mata. Maka itu ‘kebijaksanaan’ merupakan kata
sifat yang merujuk pada cara bagaimana ilmu dan kepandaian dikaitkan dengan
akal budi tadi. Orang berilmu belum tentu bijaksana, begitulah pandangan orang
Melayu.
Orang Melayu memang menghargai
ilmu dan kepandaian. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat tradisional yang
rata-rata anggotanya tidak berpelajaran formal. Mereka yang dilabelkan ‘cerdik
pandai’ atau ‘bijak pandai’ dalam masyarakat disanjung tinggi dan dimuliakan.
Istana memainkan peranan yang
penting menyemarakkan tradisi bertulis oleh pandai kitab, pandai jawi dan
pandai sirah (sejarah). Kelompok ini dipanggil ‘pujangga’ yang tugas mereka
menjadi pencatat dan perakam zaman. Mereka juga menghasilkan karya bertulis
yang sehingga ini menjadi warisan bangga bangsa. Kumpulan inilah yang
melahirkan karya-karya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasai dan
Sejarah Raja-Raja Melayu dan Bugis. Mereka jugalah yang memungkinkan lahirnya
kitab Hukum Kanun Melaka, yang dipercayai naskhah undang-undang bertulis yang
tertua dalam kalangan orang Melayu. Tokoh-tokoh seperti Tun Sri Lanang,
Nurrudin al Raniri, Shamsuddin Al Sumatrani dan Raja Ali Haji bukan sahaja
pembesar negeri tetapi juga ilmuwan semasa.
Kisah Flor de La Mar
Banyak orang yang menganggap
tradisi ilmu orang Melayu bermula hanya dengan kedatangan penjajah. Mereka lupa
khazanah kesusasteraan dan seni budaya Melayu yang telah berakar kukuh sejak
sekian lama. Apabila Flor de La Mar, kapal Portugis yang membawa ribuan
kitab-kitab Melayu ke Lisbon, Portugal tenggelam pada tahun 1511, nilai
kehancuran warisan Melayu tidak boleh dibayangkan.
Malah daripada kalangan orang
Melayu yang tidak berpendidikan formal telah lahir khazanah kesusasteraan
Melayu yang luar biasa. Tradisi oral atau lisan berkembang di tengah masyarakat
ini. Mereka melahirkan cerita rakyat dan puisinya sekali. Pantun yang dianggap
salah satu penghasilan besar orang Melayu lahir daripada masyarakat petani dan
nelayan ini. Demikian juga cerita binatang, cerita teladan, cerita
penglipurlara, cerita asal usul dan lain-lain. Tidak ada pengarang dalam
tradisi sastera rakyat Melayu kerana hasil karya merupakan milik bersama.
Individualisme tidak wujud dalam kalangan mereka.
Maka itu tidak benar Abdullah
Abdul Kadir Munsyi merupakan penulis pertama yang berani menegur orang Melayu.
Tun Sri Lanang sudah membuat teguran tajam tapi halus terhadap raja-raja yang
diriwayatkannya dalam Sejarah Melayu. Penulis kitab Hikayat Raja-Raja Pasai
menegur Raja Ahmad yang berkehendak kepada puterinya sendiri dan membunuh puteranya.
Orang Melayu mempunyai sejarah
tradisi fikir yang hebat, yang tidak kalah dengan kaum lainnya. Di Nusantara,
bijak pandai Melayu mencorakkan sejarah ilmuwan yang hebat, melahirkan
karya-karya agung dalam pelbagai genre sepanjang zaman.
Banyak daripada mereka membina
kekuatan sendiri, berguru kepada yang lebih pandai, menyambung lidah ilmu,
menambah perbendaharaan pengetahuan hingga menjadi bijak pandai dalam ertikata
yang tersendiri. Di Malaysia sendiri, sejarah kebangkitan tradisi ilmu bermula
daripada persuratkhabaran dan majalah Melayu. Kelompok reformis dari Kaherah
misalnya pulang dengan hasrat untuk membetulkan tanggapan kuno mengenai Islam
yang dibawa oleh ‘Kaum Tua’. Salah seorang tokoh pembaharuan ini, Syed Sheikh
Ahmad Al Hadi bukan sahaja menggunakan penerbitan Al Imam tetapi juga karya
sastera. Novel pertama dalam Bahasa Melayu, Hikayat Faridah Hanum (terbit 1925)
merupakan karya beliau.
Tradisi bijak pandai tak pupus
Hari ini kita melahirkan jutaan
graduan dalam pelbagai disiplin. Ada yang menyoalkan apakah benar tradisi ilmu
semakin pudar akibat faham ‘bebalisme’ dan ‘angukisme’ (maaf, bukan istilah
saya) di menara gading hari ini. Ada tuduhan mengatakan bahawa tradisi fikir
semakin menipis kerana politik akademik yang ada kalanya lebih hebat daripada
politik yang sebenar. Apakah kita mampu melahirkan ilmuwan unggul berkelas
dunia? Atau sekurang-kurangnya merupakan cerminan daripada tradisi kritis yang
dicorakkan oleh Syed Sheikh Ahmad Al Hadi, Pendeta Za’ba, Hamka atau H.B.
Jassin? Apakah akan lahir nama-nama besar dan karya besar yang dapat bertahan
diuji zaman seperti yang dihasilkan oleh pujangga, ilmuwan, cendekiawan yang
terdahulu?
Saya percaya jiwa akademia
(sekali lagi bukan istilah saya, sebaliknya istilah Prof Dr Zaini Ujang) masih
subur. Tradisi bijak pandai tidak pupus di negara ini. Ilmuwan atau cendekiawan
tidak harus takut menentang arus, menjadi contrarian atau berbeza faham kerana
itulah yang diharapkan daripada mereka. Di tangan merekalah lahir tradisi
cerdik yang memimpin masyarakat. Mereka juga conscience sebenar masyarakat
semakin dahagakan ilmu dan pengetahuan. Maka itu peranan mereka semakin penting
dalam negara yang bercita-cita besar.
Ilmuwan urusannya menyemarak
ilmu.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan