Oleh : Azida Shaharuddin
Kuala Lumpur : Inisiatif
Program Tawaran Baru yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran sejak 2010
terbukti berhasil melonjakkan kecemerlangan sekolah.
Sejak dilancarkan pada 2010,
inisiatif berkenaan menyaksikan 129 sekolah rendah seluruh negara berjaya menerima
Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) tiga kali berturut-turut, 75 (dua kali)
dan 173 (sekali).
Apabila menerima BITB, bermakna
sekolah berkenaan diiktiraf meningkat kedudukannya ke peringkat lebih baik.
Menerusi program itu, pengetua
dan guru besar sekolah terbabit lebih komited dan bertindak sebagai pemberi
motivasi kepada guru dan seluruh anggota pentadbiran sekolah untuk bekerja
dalam satu pasukan memastikan pencapaian akademik, kokurikulum dan elemen
pembelajaran lain mencapai tahap terbaik.
Impak positif
“Ini akan memberikan impak
positif kepada ‘kemenjadian’ pelajar,” kata Timbalan Ketua Nazir, Jemaah Nazir
dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran, Norhayati Alias.
Tawaran Baru adalah inisiatif di
bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan sebagai strategi
meningkatkan kedudukan atau ranking sesebuah sekolah dengan semua pelajar atau
muridnya lulus peperiksaan, selain mengenal pasti sekolah layak diiktiraf
Sekolah Berprestasi (SBT) dan sekolah kluster.
Ada 7,743 sekolah rendah, 2,340
sekolah menengah dan 28 sekolah pendidikan khas di seluruh negara pada masa
ini.
Bagi mencapai matlamat itu,
pengetua dan guru besar akan diberikan ganjaran yang dikenali BITB, sekiranya
sekolah mencapai tahap Melepasi Sasaran (ET) selepas dinilai jemaah nazir.
Pada peringkat permulaan,
pencapaian mereka diukur mengikut Gred Purata Sekolah (GPS) berdasarkan
keputusan peperiksaan awam dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)
meliputi standard kualiti pendidikan negara termasuk akademik, kokurikulum dan
elemen lain.
Skor komposit
Kombinasi GPS dan SKPM seterusnya
membentuk Skor Komposit yang menentukan ranking sekolah, yang mana kedudukan
sekolah paling tinggi akan dinilai dari aspek ET (sekolah mempamerkan prestasi
tinggi) dan melakukan Lonjakan Perdana.
Menerusi BITB, pengetua dan guru
besar cemerlang layak menerima sijil anugerah Tawaran Baru dan ganjaran wang
RM7,500 berdasarkan merit dan dibuka kepada peluang untuk dinaikkan pangkat
atau dihantar berkursus ke luar negara.
“Bukan setakat itu, ganjaran
turut diberikan kepada guru dan staf sokongan apabila lima peratus daripada
keseluruhan jumlah guru sekolah mendapat RM1,800 dan selebihnya diberikan
RM900, manakala staf sokongan RM500,” katanya.
Beliau berkata menerusi Tawaran
Baru, sekolah yang lemah dapat ditingkatkan apabila diminta menjalani program
pembangunan prestasi dikendalikan Institut Aminuddin Baki berdasarkan keperluan
masing-masing.
Pada masa sama, program ini
membolehkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mengetahui ranking guru dan sekolah,
untuk seterusnya memperbaiki ‘lompang’ yang ada termasuk menjalankan program
bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pemantauan berkala.
“Kesannya, keputusan peperiksaan
calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR)
dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat selepas pengetua dan guru besar
dan guru memainkan peranan serta menjalankan pelbagai aktiviti untuk
meningkatkan pencapaian sekolah.
“Menerusi Tawaran Baru,
perbelanjaan di sekolah diurus dengan lebih cekap dan berkesan malah memberi
tumpuan penuh kepada murid yang lemah,” katanya.
Beliau berkata insentif ini
diberikan kepada semua sekolah termasuk jenis kebangsaan, vokasional, teknik
dan pendidikan khas bantuan kerajaan.
“Daripada Tawaran Baru, kita
boleh melahirkan sekolah yang berpotensi untuk menjadi SBT dan sekolah kluster.
“Sekolah pendidikan khas yang
dikenal pasti lemah sebelum ini juga berjaya memperbaiki ‘lompang’ dan memenuhi
penilaian serta syarat, seperti yang terbaru tahun ini, Sekolah Rendah Pendidikan
Khas Miri sekali gus menerima BITB,” katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan