Khamis, 11 April 2013

ISU PENDIDIKAN : Jangan khuatiri keupayaan guru


Oleh : Aman Samat

MENGAJAR, atau menjadi guru, ialah pekerjaan mencabar. Tetapi hal ini tidak disedari sebahagian ibu bapa dan waris murid.

Mengapakah saya bangkitkan hal ini?  Hal Ini disebabkan kian terdapat ibu bapa dan waris yang sikap atau tindakan mereka tidak menunjukkan empati terhadap guru.

Mereka hanya melindungi kepentingan anak mereka. Padahal, sikap begitu tidak dapat membantu pembelajaran anak mereka di sekolah.

Ada ibu bapa dan waris jenis ini yang sanggup menegur atau campur tangan dalam cara guru mengajar. Malah, ada sanggup bersikap bengis dengan menengking guru, melaporkan rasa tidak puas hati mereka atau kelemahan guru kepada pihak atasan (pengetua/kementerian).

Mereka berbuat demikian semata-mata kerana membela anak mereka atau sengaja hendak melepaskan marah. Perkara ini boleh memberi kesan kurang sihat (buruk) ke atas pembelajaran anak-anak lain di sekolah yang sama, selain anak mereka tidak disukai.

Paparan ini bukanlah suatu 'ugutan' tetapi realiti. Cuba kita renungkan bagaimana hal itu boleh berlaku.

Apabila seorang guru itu disentuh perasaannya dengan tindakan yang melukakan hatinya, 'kehebatan' ibu bapa atau waris itu akan dibeberkan antara guru, terutama yang mengajar anak itu.

Perbuatan membeber dan cuba 'menjauhi diri' daripada anak tersebut adalah lumrah. Ingatlah, guru juga manusia biasa.

Bahkan rakan-rakan sekerja juga cuba melindungi diri daripada sikap ibu bapa atau waris yang kurang bersimpati. Fobia ini berpanjangan selagi anak itu berada di sekolah tersebut.

Ada kemungkinan anak itu menjadi biadab terhadap guru kerana meniru sikap ibu bapa mereka. Hal ini boleh membentuk kesan negatif pada anak itu dalam jangka panjang.

Dari segi etika, ibu bapa dan waris sepatutnya menaruh keyakinan kepada guru.

Sekolah sentiasa berusaha menyediakan suasana terbaik untuk pelajarnya agar menjadi insan berguna. Matlamat yang baik ini dapat dicapai dengan berkesan jika ibu bapa dan waris gigih bekerjasama dengan guru.

Umumnya sistem persekolahan kita sudah diiktiraf antara terbaik di dunia. Oleh itu, ibu bapa dan waris tidak perlu bimbang akan keupayaan guru dalam melaksanakan tugasnya.

Selain perlu mempunyai diploma dan ijazah, guru tertakluk pada ikrar akan beretika dan sentiasa dipantau pihak sekolah dan kementerian.

Bahkan, dalam kesibukan yang berpanjangan, guru sering digesa mempertingkat kebolehan dan pencapaian dalam bidang pendidikan.

Dengan kerjasama ibu bapa dan waris, guru dapat melaksanakan peranan yang mulia - mengasuh anak didik watan ini. Guru yang tidak tertekan akan berasa ceria untuk menghasilkan pengajaran yang baik dan berkesan demi kejayaan pelajarnya.

Bukankah ini yang diharapkan semua ibu bapa dan waris?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan