KUALA LUMPUR : Jumlah
penjawat awam seramai 1.42 juta orang ketika ini merupakan saiz yang sangat
tepat atau mencukupi buat negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri
Dr Ali Hamsa.
Bagaimanapun, katanya, bilangan
itu perlu ditambah pada masa depan berdasarkan kepada permintaan terhadap
perkhidmatan awam yang semakin meningkat khususnya dalam bidang tertentu.
"Sekarang kita guna konsep
"re-deployment" atau memindahkan kakitangan daripada jabatan yang
mempunyai lebihan pekerja ke jabatan yang sangat memerlukan.
"Bagaimanapun "re-deployment"
ini tidak boleh dilakukan selamanya, sebab itulah kita perlu meningkatkan
pengambilan penjawat awam pada masa akan datang," katanya dalam wawancara
khas bertajuk "Bersama KSN" yang siarkan di TV 1 sempena dengan Hari
Pekerja pada Rabu.
Selain itu, Ali yang menerajui
perkhidmatan awam sejak 24 Jun 2012, berkata secara keseluruhannya beliau
berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi yang ditunjukkan penjawat awam di
seluruh negara terutama menerusi konsep 'turun padang' yang diperkenalkannya.
"Selain dapat maklum balas
bagaimana untuk memperbaiki perkhidmatan awam, konsep turun padang ini juga
dapat merakyatkan perkhidmatan awam dan program ini akan diteruskan,"
katanya.
Ali turut meminta penjawat awam
supaya bekerja dengan gigih, cekap serta berintegriti untuk memajukan negara
dan ekonomi dalam usaha Malaysia mencapai status negara maju dalam tempoh tujuh
tahun lagi. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan