Hari ini jika ada pihak menganggap
budaya mempelajari bahasa asing sebagai pembaziran, mereka wajar menukar
tanggapan itu.
Terutamanya pelajar, bahasa asing
perlu dianggap medium yang mempunyai nilai eksklusif demi menjana masa depan
memenuhi piawaian globalisasi.
Malah, perlu dipahat bahawa tiada
ruginya mempelajari bahasa asing ketika semua pihak tercari-cari alternatif terbaik
bagi memasarkan nilai graduan dalam persaingan kompetitif sektor kerjaya.
Bagaimanapun, ketika usaha
proaktif giat dilaksanakan bagi menjenamakan kepentingan bahasa asing, ada pula
yang mempertikaikan dengan alasan dikhuatiri menenggelamkan identiti bahasa
ibunda.
Justeru, sejauh mana
kebenarannya?
Dekan Akademi Pengajian Bahasa
Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr Normah Abdullah berkata,
mempelajari bahasa asing tidak sesekali menghakis jati diri bangsa kerana
bahasa sifatnya universal dan terbuka.
Beliau berkata, bahasa hanyalah
sekadar medium perhubungan serta alat komunikasi bagi menyampaikan maklumat, justeru
mustahil boleh menghakis identiti bangsa.
“Jangan jadikan ia isu untuk
mematahkan semangat generasi muda terutama golongan pelajar yang berminat
mempelajari bahasa asing.
“Perlu diketahui, bahasa hanyalah
pertuturan manakala jati diri adalah didikan terbentuk sejak kecil menerusi
asuhan persekitaran merangkumi sosial dan budaya.
“Ia dua perkara berbeza. Bercakap
bahasa Jerman misalnya tidak akan mengubah jati diri asli, penutur bahkan
mustahil bahasa boleh menjadikan seseorang keluar dari landasan asas budaya,”
katanya.
Malah, tindakan menyebarkan
stigma tidak betul boleh mewujudkan salah faham kepada golongan ‘kurang
terbuka’.
“Segelintir masyarakat sangat
sensitif mengenai soal jati diri dan budaya. Pada mereka, jika bercakap bahasa
asing, contohnya bahasa Inggeris kita hendak jadi seperti ‘orang putih’.
“Justeru, pemahaman yang betul
perlu diberikan. Golongan ini perlu diberitahu bahasa asing hanyalah medium
pertuturan bukan bertindak menukar seluruh identiti individu.
“Kita tidak boleh salahkan mereka
(jika ada pemikiran itu). Namun percaya penjelasan yang jelas boleh menukar
persepsi,” katanya yang juga menolak pandangan bahawa menguasai bahasa asing
mahu berlagak atau menunjuk-nunjuk.
“Persepsi dangkal inilah yang boleh
merencatkan usaha memajukan bangsa.
“Ini bukan soal mahu berlagak
tapi bagi memenuhi tuntutan semasa yang sentiasa bergerak. Jika
memperlekehkannya bermakna minda kita tidak mahu berubah dan kita susah maju.
“Seharusnya pandangan seperti
ini dihapuskan, sebaliknya diganti dengan satu pemikiran terbuka yang boleh
menerima hakikat bahawa soal persaingan hari ini sangat kompetitif hingga
memerlukan mekanisme lain sebagai sokongan,” katanya.
Malah, dengan kemudahan pelbagai
akses yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa, tiada sebab mengapa pelajar
terutama di institusi pengajian tinggi enggan belajar bahasa asing.
“Mereka perlu melihat kesempatan
ini sebagai saat keemasan. Keluar dari kepompong lama yang hanya melihat
kepentingan kepada dua bahasa saja iaitu Mandarin dan Inggeris.
“Hari ini keperluan menguasai
bahasa lain juga sangat mendesak kerana kuasa ekonomi dipegang pelbagai negara
yang menggunakan bahasa ibunda berbeza.
“Pemilihan untuk mengikuti
pengajian bahasa asing boleh dibuat mengikut kuasa ekonomi dunia seperti
Perancis, Korea dan Jepun,” katanya.
Mempelajari bahasa asing juga,
katanya boleh dianggap sebagai pelaburan jangka panjang.
“Lebih banyak kita berjaya
menguasai kepelbagaian bahasa, lebih cerah masa depan biarpun kelayakan
akademik tidak setinggi langit.
“Bahasa unik sifatnya. Ia boleh
dipelajari sesiapa saja asalkan ada kesungguhan dan menjadi milik semua penutur
tanpa mengira latar belakang individu,” katanya menambah pelajar antara
golongan utama yang perlu menyedari kepentingan mempelbagaikan bahasa sebagai
satu bonus.
“Pelajar hari ini bertuah kerana
mereka mempunyai pelbagai akses mempelajari bahasa asing secara formal.
“Penutur dari negara asal, modul
dan sebagainya semua tersedia hingga proses pembelajaran lebih mudah.
“Tapi sayang kerana ada yang
tidak pandai mengambil kesempatan ini kecuali jika ia diwajibkan. Mengapa mereka
kurang berminat menjadi persoalan,” katanya yang juga tidak menafikan
mempelajari bahasa asing bukan mudah.
“Bahasa ini bukan bahasa kita,
akan ada kesukaran terutama dari segi pemahaman, penulisan dan sebagainya.
“Untuk mencapai kejayaan, perlu
ada kesusahan. Tapi jika bangsa asing boleh menguasai bahasa Melayu, itu
membuktikan tiada yang mustahil mengenai bahasa,” katanya.
Beliau berkata, peranan bahasa
asing sebagai modul interaksi juga perlu dilihat dalam konteks luas dengan
salah satu fungsinya sebagai medium komunikasi budaya dan sosial.
“Perkembangan budaya dan sosial
sangat memerlukan bahasa sebagai jambatan untuk menyalur atau memperoleh
maklumat.
“Lazimnya, jika individu mampu
menguasai lebih daripada dwibahasa dengan baik, penstrukturan dari segi
pergaulan dan komunikasi lebih meluas.
“Malah, kepemimpinan serta jati
diri individu akan lebih terserlah kerana mampu menguasai keadaan dengan nilai
kefasihan bahasa berbeza,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan