PETALING JAYA: Malaysia
ialah syurga makanan, tetapi Malaysia juga
menjadi tempat pembuangan makanan dalam jumlah yang besar.
Setiap hari Malaysia menghasilkan
kira-kira 15,000 tan makanan dan sisa dari dapur yang mana jumlah ini cukup
untuk mengisi tujuh setengah buah padang bola atau untuk memberi makan kepada
7.5 juta orang dalam sehari.
Jumlah ini merupakan peningkatan daripada tahun 2011, di mana kira-kira 930 tan makanan yang dibazirkan telah dibuang
setiap hari.
Angka itu pula adalah dua kali
ganda meningkat daripada rekod yang ditunjukkan pada tahun 2009.
Di Kuala Lumpur sahaja, sisa
makanannya adalah kira-kira 3,000 tan metrik sehari, manakala Persatuan
Pengguna Pulau Pinang mendakwa pulau itu sahaja menghasilkan sebanyak 355 tan
sisa makanan setiap hari.
Daripada jumlah itu, antara 10
hingga 15 peratus terdiri daripada makanan yang dibazirkan dan tamat tempoh
luput.
Dalam 10 jenis makanan untuk
makan malam masyarakat Cina misalnya, 30 peratus daripada makanan akan
dibazirkan.
Pakar pengurusan Sisa Dr Theng
Lee Chong berkata tuan rumah telah memilih untuk mengurangkan kuantiti makanan
dan mengurangkan jenis makanan kepada tujuh atau lapan.
"Tetapi dalam jangka masa
panjang, kita masih perlu mendidik rakyat Malaysia mengenai keperluan untuk
tidak membuang makanan.
"Kita hanya perlu mengambil
setakat yang kita perlukan," katanya.
Menteri Sumber Asli dan Alam
Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel menggesa rakyat Malaysia untuk membuat
"pilihan gaya hidup yang betul" dan mengurangkan pembaziran makanan
selaras dengan kempen Hari Alam Sekitar Sedunia dengan tema "Think. Eat.Save" & " Reduce Your Foodprint ", hari ini.
"Kempen ini menggalakkan
kita untuk lebih sedar bahawa pemilihan makanan memberi kesan terhadap alam
sekitar dan memberi kuasa kepada kita untuk membuat keputusan," katanya.
Presiden Persatuan Pengusaha
Restoran India Malaysia Datuk R. Ramalingam Pillai mengeluh tentang pembaziran
makanan yang agak berleluasa di Malaysia.
Beliau mengaitkan ini kepada
sikap rakyat Malaysia, yang kebanyakannya katanya mengambil kesempatan terhadap
makanan yang mudah diperoleh di negara ini.
"Di negara - negara lain di
dunia, ramai orang hidup tanpa makanan dan di sini kita membuang makanan,"
katanya.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan