Beberapa hari lalu
sudah kedengaran lagu tema Hari Kebangsaan 2013. Logo Hari kebangsaan 2013 pun
sudah banyak terpampang di merata tempat. Apa yang pasti, kontroversi tahun
lepas tentang lagu dan logo Hari Kebangsaan tidak lagi berulang.
'Malaysiaku
Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' terus menjadi tema sambutan Hari
Kemerdekaan negara yang ke-56. Penulis amat bersetuju dengan tema yang dipilih
untuk tahun ini. Tema ini berasaskan kepada semangat patriotik dan kesatuan
negara bangsa serta memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia supaya bersatu
mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman
musuh.
Apabila
membincangkan tentang tema kali ini, penulis terus terbayang akan insiden
pencerobohan Lahad Datu dan Semporna. Banyak yang kita boleh pelajari daripada
insiden tersebut dan pastinya yang paling penting ialah kita tidak boleh
kompromi dalam soal kedaulatan dan keselamatan negara.
Itu sebabnya tema
'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' sememangnya tepat dan amat
sesuai sekali untuk Hari kemerdekaan 2013. Sekarang, apa yang lebih penting
ialah sejauh mana kita sebagai rakyat Malaysia menyambut hari kemerdekaan hari
ini.
Penulis ingat
ketika kecil dahulu, apabila masuk sahaja bulan Ogos, bahang sambutan menyambut
Hari Kemerdekaan sudah mula terasa. Ketika itu tidak sabar rasanya untuk
melaungkan Merdeka pada setiap 31 Ogos.
Tetapi agak sukar
untuk merasainya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mungkin ini disebabkan
oleh peredaran zaman yang menyaksikan kita semua sibuk dengan tugas harian.
Tetapi itu bukannya alasan untuk kita tidak menghiraukan langsung akan Hari
Kemerdekaan kita.
Penulis yakin masih
ramai antara kita yang prihatin akan perkara ini, ketika ini juga, kita akan
melihat pelbagai artikel tentang kemerdekaan sudah terpapar di semua akhbar.
Dan kita juga akan melihat pelbagai aktiviti yang sudah dirancang dan bakal
dilaksanakan pada Hari Merdeka ini dan Hari Malaysia yang jatuh pada 16
September nanti.
Kita juga akan
terus ditanya persoalan yang sama. Sejauh manakah cintanya rakyat Malaysia
kepada negara berdaulat ini? Adakah hanya ditunjukkan ketika masuknya bulan
kemerdekaan dan dilupakan selepas menyambut Hari Malaysia nanti?
Bagaimana pula
dengan generasi hari ini. Sekali lagi perbincangan dan persoalan yang sama akan
diutarakan. Kenapa generasi hari ini seperti tidak tahu menghargai semangat
kemerdekaan dan tidak ambil kisah tentangnya. Adakah generasi hari ini tidak
memiliki semangat patriotik yang tinggi?
Sememangnya
perbincangan dan persoalan seperti ini
memang bagus untuk kita-sama-sama membincangkannya. Namun janganlah hanya
diperkatakan semasa hendak menyambut kemerdekaan sahaja.
Perkara seperti ini
mesti dilaksanakan dan terus dibincangkan secara konsisten dan berterusan agar
generasi hari ini dan pada masa akan datang tahu betapa pentingnya semangat
patriotisme yang mesti terdapat di dalam diri kita semua.
Sama juga halnya
dengan pengibaran Jalur Gemilang. Baru-baru ini ketika menyempurnakan Majlis
Pengibaran Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan di Dataran Zero Kilometer, Jam
Besar Sungai Petani, Kedah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mengibarkan Jalur Gemilang sebagai
simbolik atau hanya sebagai satu keperluan untuk menyambut sambutan Hari
Kemerdekaan negara.
Najib menegaskan
usaha tersebut mestilah disusuli dengan penghayatan dan pengorbanan untuk
mendapatkan kemerdekaan yang dihasratkan.
Rakyat Malaysia
mestilah mengibarkan Jalur Gemilang dengan rasa bangga dan megah bahawa bendera
ini melambangkan identiti jati diri rakyat Malaysia yang kuat semangat
patriotik dan cintakan tanah airnya.
Penulis amat
bersetuju dengan saranan Perdana Menteri yang tidak mahu Jalur Gemilang
dikibarkan tanpa membawa apa- apa pengertian. Semasa kita mengibarkan Jalur
Gemilang, berapa ramai di antara kita yang tahu akan latar belakang bendera
yang menjadi kebanggaan kita itu.
Kita marah apabila
Jalur Gemilang dikoyak dan dibakar, tetapi berapa ramai antara kita yang
betul-betul faham akan falsafah dan
pengertian yang terdapat pada setiap warna, jalur, anak bulan dan bintang yang
terdapat pada Jalur gemilang. Jika ada di antara kita yang masih tidak tahu,
belum terlambat untuk kita menghayati dengan lebih mendalam akan pengertian di
sebalik Jalur Gemilang.
Tahun 2013 juga
menandakan Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-56. Jika umur 56
dijadikan ukuran dan disamakan dengan manusia, maka pada kebiasaannya seseorang
yang berumur 56 tahun itu, sudah kaya dengan pengalaman dan lebih matang serta
sudah berjaya dalam bidang yang diceburi. Dalam hal ini, negara kita Malaysia,
boleh dianggap sebagai sebuah negara yang semakin berjaya dan semakin hari
bertambah kemakmurannya.
Contohnya, Program
Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) yang
diperkenalkan oleh Najib , sedang bergerak dengan lancarnya. Perdana Menteri
pernah menjelaskan bahawa Perancangan dan pelaksanaan GTP dan ETP ini bukan
sahaja membuktikan iltizam kerajaan untuk membangunkan negara, tetapi juga
merupakan satu eksperimen paling berani kerajaan dalam mengamalkan prinsip
ketelusan dan kebertanggungjawaban terhadap rakyat.
Melalui GTP dan ETP
ini rakyat boleh menilai prestasi kerajaan menerusi laporan tahunan dan berkala
yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Ini adalah wawasan
dan misi Najib untuk melihat Malaysia terus cemerlang. Pada masa yang sama,
kita juga perlu sesekali menoleh ke belakang untuk menghargai jasa yang
dicurahkan oleh ramai para pemimpin sebelumnya yang memastikan Malaysia merdeka
daripada sebarang bentuk belenggu penjajahan.
Perdana Menteri
juga pernah menegaskan yang negara kini digarapi oleh golongan ketiga yang
menyaksikan pemimpin dan rakyat sama-sama berjuang untuk membawa makna kepada
kemerdekaan, setelah mengambil alih daripada golongan pertama iaitu pengasas
yang berjuang untuk kemerdekaan dan golongan kedua yang berjuang untuk mengisi
kemerdekaan. Itu sebabnya kita tidak boleh walau sesaat pun melupakan atau leka
dengan perjuangan yang sudah lama diasaskan oleh beberapa generasi sebelum ini.
Dan setelah 56
tahun merdeka serta dalam persaingan global hari ini, kita perlu sentiasa
bersedia dengan pelbagai cabaran yang bakal datang. Kita perlu mengingatkan
diri kita dan memastikan jati diri yang disemai akan terus bertambah kukuh.
Itu sebabnya
kemajuan dari segi ekonomi seperti mana yang sedang diatur oleh kerajaan perlu
sentiasa disokong. Dalam hal ini rakyat perlu bersama-sama berganding bahu
dengan pucuk kepimpinan negara untuk terus melaksanakan agenda transformasi
kerajaan ke arah kemajuan dan kemantapan ekonomi kita semua.
Tidak dapat
dinafikan lagi bahawa generasi hari ini memainkan peranan penting dan kita
semua perlu memastikan generasi ini memiliki semangat patriotik, kenegaraan dan
jati diri yang tinggi untuk terus memelihara dan menjamin kemerdekaan yang
berkekalan.
Merdeka! Merdeka!
Merdeka!
PENULIS ialah Ahli
Majlis Perundingan Melayu Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan