Perlembagaan Persekutuan yang
kita ada sekarang mula beroperasi selepas kita mencapai kemerdekaan. Seperti
tulisan saya pada minggu lalu, Perlembagaan adalah lambang kemerdekaan.
Dalam mengisi Perlembagaan ketika
kemerdekaan itu, kita maklum bahawa dalam Perlembagaan itu terkandung prinsip
hasil inspirasi pimpinan politik dan paling utama ialah inspirasi Raja-Raja
Melayu ketika itu. Di samping itu, ada juga cadangan kepakaran daripada Ahli
Suruhanjaya Perlembagaan atau juga dikenali Suruhanjaya Reid.
Inspirasi pimpinan politik dan
juga Raja-Raja Melayu itu jelas sekali dilihat dalam pelbagai perkara dalam
pengisian Perlembagaan, iaitu dalam perkara membabitkan unsur warisan. Paling
jelas ialah mengenai kedudukan agama Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu
adalah bahasa rasmi, keistimewaan Melayu yang mencakupi beberapa perkara, iaitu
tanah rizab Melayu serta kuota permit perniagaan, biasiswa dan dalam
perkhidmatan awam. Begitu juga dengan kedudukan institusi Raja yang diperjelas
kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan dalam sistem demokrasi beraja.
Perlu diberi penghayatan
Ada juga penulis yang menamakan
perkara ini sebagai unsur tradisi. Walaupun ada perbezaan dalam istilah ini,
apa yang penting untuk difahami ialah kebanyakan prinsip penting terkandung
dalam Perlembagaan itu adalah berasal dari tanah air ini. Seperti yang sentiasa
saya sebut dalam tulisan sebelum ini, Perlembagaan sebenarnya adalah dokumen
yang mempunyai pengisian yang begitu padu dengan kehendak dan keinginan
warganya.
Oleh itu, dalam mengisi
kemerdekaan ini setiap prinsip warisan atau tradisi ini perlu diberikan
penghayatan sepenuhnya. Walaupun kita menyedari mengenai perubahan yang sudah
dan perlu berlaku dalam perkembangan keadaan negara, ia adalah prinsip warisan
ini. Tujuannya supaya kita tidak menyimpang daripada tujuan asal Perlembagaan.
Dalam membahaskan perkara tradisi
ini, ramai juga yang berasakan kita tidak perlu lagi berpusing menggunakan gear
undur untuk mengisi kemerdekaan. Ada yang berhujah bahawa mungkin perkara
terbabit baik pada masa itu, iaitu pada masa ia diperkenalkan, tetapi ia harus
berubah apabila masa dan keadaan berubah. Banyak yang sudah dibahaskan mengenai
isu ini.
Kebijaksanaan pimpinan
Walau apa pun, saya mahu
menegaskan di sini bahawa, dalam apa juga perubahan keadaan kita, mengekalkan
pusaka lama seumpama nilai tradisi ini adalah satu keperluan dan sebarang
perubahan hendaklah apa yang sebenar-benar boleh membawa kepada kebaikan. Nilai
pusaka inilah yang menjadikan sesebuah bangsa itu dapat mengekalkan jati diri
mereka serta mempunyai landasan kegemilangan yang nyata dan teratur. Nilai
tradisi ini juga yang berupaya memangkin pembangunan.
Kebijaksanaan pimpinan juga
memainkan peranan paling penting dalam mengekalkan nilai tradisi ini. Oleh itu,
dalam apa juga pembangunan dan polisi sudah tentu nilai tradisi ini hendaklah
dijadikan kayu pengukur dan pengimbang.
Perkara ini kita boleh lihat
dalam proses membuat Perlembagaan merdeka dulu. Daripada dokumen sejarah saya
dapati banyak perkara yang sudah disebut oleh kepemimpinan mengenai perkara
yang dijangka berlaku. Oleh itu, nilai tradisi itu dijaga oleh peruntukan
berkaitan pindaan Perlembagaan.
Tonggak Perlembagaan
Boleh dikatakan semua nilai
tradisi tidak boleh dipinda menerusi proses demokrasi atau undian di Parlimen.
Nilai ini hanya boleh dipinda dengan perkenan Majlis Raja-Raja Melayu. Bahkan
polisi berkaitan keistimewaan Melayu di bawah Perkara 153 hanya boleh dipinda
dengan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja.
Oleh itu, jelas di sini, bahawa
semua perkara tradisi itu adalah tonggak kepada Perlembagaan. Maka, amalan
dalam bentuk polisi hendaklah sentiasa dipadankan dengan kedudukannya dalam
Perlembagaan.
Pemahaman kita kepada nilai
tradisi dalam bulan kemerdekaan ini boleh dijadikan cara untuk kita mencernakan
kefahaman terhadap hubungan antara Perlembagaan dan kemerdekaan. Selain itu, ia
juga bagi menjelaskan lagi kecintaan kita kepada tanah air tumpah darah ini dan
seterusnya dapat mendatangkan kesan positif terhadap kecintaan kepada negara
dan bangsa.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan