MERDEKA ! Laungan keramat yang kita
dengar apabila setiap kali tibanya 31 Ogos. Namun kalau sekadar melaungkan
merdeka beberapa kali adakah cukup membuktikan kita memahami erti kemerdekaan
sebenar? Jika hanya meletakkan bendera Malaysia di kereta, di rumah dan di
mana-mana sahaja menjelang 31 Ogos, adakah situasi ini cukup membuktikan kita
bersemangat patriotik?
Isu menterbalikkan bendera
Malaysia, bendera dijadikan sebagai pakaian, merosakkan lirik lagu Negaraku,
tidak menghormati lagu Negaraku semasa dinyanyikan, di mana sebenarnya jati
diri anak-anak Malaysia?
Anak-anak muda hari ini kurang
menghayati erti kemerdekaan kerana dilahirkan dalam era baharu dengan semuanya
serba canggih dengan teknologi terkini. Dengan erti kata lain, tidak pernah
mengalami kesusahan dan keperitan seperti yang pernah dialami datuk dan nenek
moyang kita yang jauh di sanubari mereka mencintai Malaysia sepenuh jiwa dan
raga.
Seorang warga Indonesia yang
ditemui memberitahu, di negaranya semasa menyambut Hari Kemerdekaan adalah
berbeza di Malaysia. Semua yang hadir hanya diberi makan ubi kayu dengan merasai
suasana sambutan yang diadakan seolah-olah mereka berada di zaman penjajahan
kerana pemimpin mahu mereka menjiwai suasana itu sendiri. Inilah yang kurangnya
pada anak-anak Malaysia sebab lahir sahaja semua kemewahan telah berada di
depan mata.
Remaja kini dikatakan kurang
mengenali tokoh-tokoh yang berjasa dan yang telah banyak menabur bakti kepada
negara seperti Tunku Abdul Rahman, Tok Janggut, Mat Kilau, dan Abdul Rahman
Limbong. Semangat tokoh-tokoh tersebut berjuang bermati-matian demi mempertahankan
tanah tumpah darah mereka perlulah mengalir dalam darah para remaja yang
sepatutnya menjadikan tokoh-tokoh tersebut sebagai idola.
Seorang graduan yang dilahirkan
perlu cintakan negara begitu juga rakyatnya dan saya bersetuju supaya subjek
Kenegaraan Malaysia menjadi subjek wajib dan diketengahkan untuk mendedahkan
kepada anak-anak kita erti kemerdekaan dan menghargai negara. Seronok belajar
sejarah kerana sejarahlah membawa kita mengenal kehidupan.
Keprihatinan ini ditunjukkan oleh
Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang bertitah meminta supaya kerajaan
segera memperkenalkan subjek Kenegaraan bertujuan mendidik anak bangsa mengenai
Perlembagaan dan melahirkan warganegara Malaysia yang memahami aspek perpaduan
dan permuafakatan.
Dalam titah baginda dalam Majlis
Syarahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2013, bertajuk Pasca Pilihan Raya Umum
Ke-13: Permuafakatan dan Perpaduan Nasional, di Wisma Perwira ATM, Kementerian
Pertahanan baru-baru ini, baginda menggesa kerajaan mengutamakan pendidikan asas
kenegaraan bermula di peringkat sekolah dengan menyemai semangat setia kepada
raja dan negara, sesuai dengan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong.
Titah baginda, kanak-kanak perlu
diasuh melalui kurikulum serta kaedah bersesuaian sejak awal untuk turut menghormati
simbol negara seperti bendera supaya tidak terus dihina seperti dipijak-pijak
atau dijadikan pakaian.
'' Kurikulum kandungan dan kaedah
pengajaran mengenai aspek kenegaraan yang benar-benar dihayati hendaklah segera
diperkenalkan tanpa bertangguh dijadikan kandungan pengajian bukan sahaja di
sekolah, malah maktab perguruan, kolej serta institusi latihan dan diuji dalam
urusan lantikan dan kenaikan pangkat pegawai awam,'' titah baginda penuh amanat
menyuntik semangat jiwa patriotisme yang tinggi.
Program Latihan Khidmat Negara
(PLKN) yang dianjurkan oleh kerajaan perlu dipenuhi dengan aktiviti memupuk
semangat patriotisme. Aktiviti-aktiviti yang bersemangat patriotisme yang harus
diterapkan sepenuhnya dalam kalangan pelatih-pelatih yang terdiri daripada
lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dapat mempelajari nilai-nilai murni seperti
bertanggungjawab, bekerjasama, dan hormat menghormati.
Media masa, sama ada media cetak,
elektronik atau media baharu semuanya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap
kehidupan manusia sangat besar sehinggakan boleh dikatakan setiap rumah
mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen dan komputer.
Sehubungan itu, media masa wajar
dijadikan alternatif paling berkesan bagi menyemai semangat patriotisme.
Filem-filem bercorak patriotisme perlu diberi keutamaan seperti filem Sarjan
Hassan, Bukit Kepong, Leftenan Adnan, Hati Malaya, Paloh dan Embun.
Kita menanti perkembangan terkini
pembikinan filem bertajuk Kanang Anak Langkau sebagai mengenang jasa mendiang
Pahlawan negara, Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau dan menjadikan contoh
kepada para pegawai dan anggota tentera lain. Filem Tanda Putera pula
mewujudkan pelbagai spekulasi. Rasanya, penonton-penonton filem di Malaysia
sudah semakin matang dan mampu menilai mesej ikhlas dari filem berkenaan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan mereka yang menonton wayang tiga
hari sebelum dan selepas 31 Ogos 2013 akan bersama-sama menyanyikan lagu
Negaraku sebelum tayangan filem di pawagam dan mungkin diteruskan hingga Hari
Malaysia 16 September jika diluluskan nanti.
Penghayatan dalam lagu, puisi,
sajak dan syair berkaitan dengan patriotisme bagi menyemai semangat cintakan
negara perlu ada dalam diri anak muda. Ada segelintir remaja yang tidak
memahami puisi, ketawa dan berjenaka semasa sesi mendeklamasikan sajak. Dan
sedihnya, melihat situasi apabila pelajar-pelajar yang menyanyikan lagu
Negaraku dengan lirik yang salah dan tidak berdiri tegak. Ibu bapa harus
menjadi tunjang utama keluarga dan mengambil peranan dalam meningkatkan
semangat patriotisme dalam kalangan remaja khususnya cabaran ibu bapa yang
masih muda.
Sajikan cerita-cerita rakyat yang
berunsurkan sejarah untuk anak-anak mengenali warisan dan budaya. Semasa
bercuti, bawalah mereka ke tempat-tempat bersejarah yang menarik di Malaysia.
Bukankah - "Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung"? Selamat
Menyambut Hari Kebangsaan. Salam 1Hati.
Penulis ialah
Timbalan Pengarah Pusat Penerbitan dan Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan