Kuala Lumpur : Latihan semula untuk guru yang gagal mencapai tahap penguasaan kemahiran Bahasa Inggeris (BI) dianggap langkah terbaik, seiring matlamat melahirkan guru berkualiti.
Setiausaha Agung Kesatuan
Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lim Yoke Pheng, berkata guru yang
gagal mencapai kemahiran yang diharapkan dianggap tidak bersedia untuk berkhidmat
sepenuh masa, justeru latihan tambahan perlu diberikan.
Katanya, kebenaran untuk guru
pelatih menamatkan pengajian tanpa kemahiran seumpama itu hanya akan
menyebabkan negara dipenuhi lambakan guru tidak berkualiti.
“NUTP memang menyambut baik, dan
menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengenainya, kerana jika mereka (guru) dibenarkan mengajar dengan kemahiran
minimum, ia akan membawa kepada kemunduran sistem pendidikan negara.
Kuasai subjek
“Untuk menjadi guru yang
berkualiti, guru pelatih perlu terlebih dulu menguasai subjek yang akan diajar.
“Jika selepas tempoh yang
ditetapkan mereka masih gagal menguasai kemahiran yang perlu ada, mereka tidak
boleh keluar kerana itu menandakan mereka masih belum bersedia (untuk
mengajar),” katanya kepada BH, semalam.
Kelmarin, Muhyiddin berkata, guru
pelatih Bahasa Inggeris yang gagal mencapai tahap penguasaan kemahiran subjek
itu di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu mengikuti latihan semula
antara enam bulan hingga setahun.
Beliau berkata, ia bagi
memastikan guru Bahasa Inggeris benar-benar layak dan berkebolehan untuk
mengajar, sekali gus membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasa terbabit.
Kursus berkualiti
Mengulas lanjut, Loke berkata,
cabaran mewujudkan sistem pendidikan berkualiti tidak hanya terletak di bahu
guru, sebaliknya Kementerian Pendidikan selaku induk sektor berkenaan perlu
menyediakan lebih banyak kursus berkualiti.
“Dalam hal ini, saya fikir jangan
hanya salahkan guru jika sistem pendidikan menjadi tidak berkualiti.
“Kementerian Pendidikan sendiri
perlu memainkan peranan. Mereka perlu menimbangkan untuk menyediakan lebih
banyak kursus yang berkualiti, baru kita dapat melahirkan guru berkualiti,”
katanya.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan