KUALA LUMPUR - Profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi profesion pilihan.
Ini bermakna Kementerian
Pendidikan akan meninggikan syarat kelayakan kemasukan ke profesion keguruan
bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi
syarat minimum kelayakan akademik.
Kementerian turut berhasrat untuk
mengubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada universiti latihan guru bertaraf
dunia menjelang 2020 dan menilai semula kurikulum latihan praperkhidmatan
semasa bagi memastikan guru bersedia untuk mengajar kemahiran berfikir aras
tinggi yang diperlukan murid.
Menurut Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, mulai tahun ini, guru
akan menerima program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi membantu
guru mencapai potensi penuh.
Program CPD itu termasuk latihan
komponen teras dan elektif mengikut keperluan pembangunan diri yang akan diberi
latihan secara individu daripada penyelia masing-masing.
Pelan itu turut menyebut, guru
boleh memilih laluan kerjaya yang menarik berdasarkan prestasi, potensi dan
minat mereka, sama ada memilih untuk menjalankan tugas kepimpinan atau menjadi
guru pakar.
Selain itu, guru juga akan
dinilai secara tahunan oleh pengetua atau guru besar dengan menggunakan input
yang mungkin diberikan oleh rakan sejawat dan menggunakan instrumen penilaian
baharu yang memberi tumpuan kepada keupayaan guru menyampaikan pengajaran
secara berkesan di dalam dan luar bilik darjah.
Dalam memastikan kepimpinan
berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kementerian akan menukar
kriteria pemilihan pengetua dan guru besar daripada pemilihan berasaskan tempoh
perkhidmatan kepada pemilihan yang berfokuskan kecekapan kepimpinan.
Setiap pengetua atau guru besar
juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi
Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki sebelum boleh
dilantik.
Pengetua dan guru besar yang
bakal dilantik juga akan mengikuti program pementoran selama satu bulan di
bawah bimbingan pengetua dan guru besar yang akan berpindah dan bersara.
Dalam pada itu, kementerian akan
memastikan 100 peratus sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas menjelang
2015, bermula dengan Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan persekitaran
pembelajaran yang selamat, bersih dan kondusif.
Kementerian juga akan
melaksanakan prinsip asas yang telus dan saksama dalam pengagihan kewangan dan
sokongan lain kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.
Bagi memanfaatkan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam meningkatkan kualiti pembelajaran,
kementerian menyediakan akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya
melalui iBestariNet bagi kesemua 10,000 sekolah menjelang tahun ini.
Perpustakaan video pengajaran
oleh guru cemerlang akan diwujudkan supaya guru boleh menggunakan sumber ini
bagi mendapatkan idea dan murid pula dapat menjadikannya sebagai alat ulang
kaji. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan