KUALA LUMPUR : Waktu pembelajaran
Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil akan meningkat
daripada 180 minit seminggu kepada 240 minit seminggu untuk memperkasakan
penguasaan bahasa itu dalam kalangan murid sekolah berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin berkata penambahan masa itu tidak akan menjejaskan
pembelajaran bahasa ibunda lain seperti yang dikhuatiri sesetengah pihak.
"Kita tambah kerana kita
rasakan (penguasaan) kurikulum Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan ini
agak lebih rendah. Ia mesti dinaikkan taraf, walaupun tak setanding dengan
Sekolah Kebangsaan tapi jangan terlalu jauh (jurangnya).
"Pegawai di peringkat
kementerian ada mencadangkan supaya ditambah 270 minit, tetapi ini tak
disenangi oleh masyarakat dan pendukung sekolah Cina, sekolah Tamil tak ada
masalah, mereka terima.
"Jadi sebab itu kita ambil
jalan tengah memutuskan tambahan 240 minit dan mereka semua terima,"
katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Jumaat.
Muhyiddin berkata kementerian
sedang mengkaji untuk menambah waktu pembelajaran di Sekolah Kebangsaan kepada
dua jam bagi pembelajaran Bahasa Inggeris.
"Kita mungkin sambung dua
jam sehari, jadi kalau balik (sekolah) selalu pukul 1 (tengah hari), dengan
tambahan ini akan balik jam 3 atau 3.30 petang atau sepuluh jam seminggu.
"Bagi sekolah satu sesi saya
rasa tak ada masalah, bagi 1,600 buah sekolah yang mempunyai dua sesi kita buat
secara berperingkat tetapi mungkin boleh ditambah dengan waktu tambahan luar
sekolah," katanya.
Muhyiddin turut menangkis
tohmahan sesetengah pihak kononnya pelan itu akan menghapuskan atau
mengurangkan pembelajaran bahasa ibunda lain seperti Cina dan Tamil.
"Kalau ada pihak yang
mengatakan kita nak menghapuskan bahasa-bahasa ibunda, itu tak betul kerana
pelan ini dibuat berdasarkan Akta Pendidikan dan bersandarkan kepada apa yang
terkandung dalam Perlembagaan Malaysia di mana bahasa pengantar utama dalam
sekolah kita adalah Bahasa Melayu tetapi bahasa-bahasa lain termasuk bahasa
ibunda tidak disekat atau dihalang.
"Malah, dalam sistem
persekolahan kita diberikan galakan kerana selain daripada Bahasa Melayu dan
Bahasa Inggeris kita mahu pelajar kita menguasai lebih banyak bahasa,"
katanya.
Muhyiddin turut melahirkan
keyakinan bahawa pelan berkenaan akan merapatkan jurang perbezaan antara
sekolah di bandar dan luar bandar.
"Jurang sudah mula rapat
tapi belum lagi sama. Tetapi pastinya di luar bandar ada masalah-masalahnya
sebab mereka datang dari kumpulan 'socially disadvantage'.
"Ibu bapa (di luar bandar)
mungkin tak begitu memberi perhatian, sebab itu tahap pencapaian mereka tak
sama dengan bandar. Dalam pelan ini, kita sebutkan peranan ibu bapa dan
komuniti, kalau anak di luar bandar nak lebih berjaya, ibu bapa kena bagi lebih
masa bimbing anak mereka," katanya.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan