Pada tahun 1960-an, malah lebih
awal daripada itu, sesiapa yang buat kali pertama datang ke bandar-bandar besar
khasnya di Kuala Lumpur, sering diingatkan supaya menjauhkan diri daripada
kumpulan atau geng samseng. Ketika itu perkataan 'pau' sering disebut-sebut
kerana jika anggota kumpulan samseng ini melihat muka baru, mereka akan peras
ugut supaya membayar 'pau'.
‘Pau’ bermaksud bayaran yang
dikenakan kepada individu tertentu bagi mengelakkan mereka diganggu oleh
kumpulan samseng. Pau juga dikenakan kepada peniaga kedai, pengusaha restoran
dan sesiapa juga yang mereka anggap memerlukan perlindungan. Bagi mangsa,
mereka dikenakan pau setiap hari, minggu atau bulan. Disebabkan takut dan tidak
mahu menimbulkan masalah, mereka membayar sejumlah wang kepada kumpulan ini
mengikut persetujuan walaupun tahu tugas melindungi keselamatan adalah kerja
pihak polis. Bagi yang enggan membayar pau, perniagaan atau urusan mereka
sering diganggu.
Kegiatan seperti itu masih wujud
hingga ke hari ini. Kumpulan yang melakukan
peras ugut itu diwarisi ahli-ahli mereka dan terus aktif hingga ke hari ini.
Mereka adalah antara 49 kumpulan kongsi gelap dan samseng yang didedahkan oleh
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad
Radzi, Khamis lalu. Kongsi gelap ini bergerak di bandar-bandar utama yang
bermatlamat untuk mendapatkan wang dengan melakukan jenayah seperti peras ugut,
menyamun, merompak, malah membunuh dan sebagainya.
Hanya kerana wang
Kegiatan pinjaman tidak berlesen
atau ah long mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan kongsi gelap ini. Kumpulan
ini juga bergerak di rumah pelacuran, pusat perjudian dan sindiket dadah.
Kebanyakan mereka ini adalah individu yang keras dan kering hati dan tidak
takut untuk melakukan jenayah. Sebahagian besar mereka pernah masuk penjara
kerana melakukan pelbagai kegiatan jenayah daripada menyeluk saku hinggalah
kepada menyamun dan merompak menggunakan senjata api. Mereka inilah juga
kumpulan yang mengambil upah untuk melakukan jenayah berat untuk membunuh
sesiapa juga. Mereka sanggup melakukan apa saja kerja kerana wang. Kumpulan
yang dikenali dengan pelbagai nama, seperti diumumkan oleh KDN, mengawal
kawasan atau zon mereka.
Jika ada kumpulan lain yang cuba
menceroboh kawasan mereka, kumpulan itu akan menentangnya. Menceroboh kawasan
bermaksud kumpulan lain melakukan kegiatan di tempat yang sudah dikuasai oleh
sesebuah kumpulan lain. Jika keadaan ini berlaku akan menyebabkan pergaduhan
sesama kumpulan dan berlaku pertumpahan darah. Pada awal 1960-an, ahli kumpulan
samseng dan kongsi gelap ini mudah dikenali.
Cara berpakaian, fesyen rambut
mereka dan ciri-ciri samseng yang mereka paparkan, memudahkan mereka dikenali.
Bagi filem Melayu, watak Sazali dalam cerita Anakku Sazali menunjukkan
ciri-ciri kumpulan samseng di Singapura ketika itu. Di Kuala Lumpur, sekitar
kawasan Jalan Chow Kit dianggap kawasan yang dikawal oleh kongsi gelap orang
Melayu, Sentul orang India dan Pudu dan Kepong pula dikuasai orang Cina.
Pada waktu itu, seseorang tidak
boleh merenung atau memandang orang lain tanpa berkelip mata kerana perbuatan
itu dianggap mencari padah. Untuk mengelak terjerat kepada kumpulan itu,
seseorang perlu mengelakkan diri daripada mempunyai hubungan dengan mereka.
Jika rapat dengan mereka, tidak dapat dielakkan akan mengikut ke mana saja
mereka pergi secara rela atau paksaan. Buat permulaan, mereka akan dibawa ke
kelab malam, ke bar dan sebagainya sebagai tarikan Apabila sudah ketagih,
mereka perlu mencari wang dan akhirnya menganggotai kumpulan kongsi gelap ini.
Terbukti, kumpulan kongsi gelap dan samseng ini bukan saja terus hidup tetapi
menular hingga ke sekolah. Setiap kumpulan ada nama dan simbol masing-masing.
Jika terserempak mereka memberi isyarat masing-masing. Mereka yang terjebak
dalam kumpulan ini berpotensi menjadi penjenayah besar.
Tuntut tindakan tegas kerajaan
Menurut Polis Diraja Malaysia
(PDRM), hari ini ada seramai 28,926 ahli kongsi gelap membabitkan kaum India,
Cina (8,214), Melayu (1,923) dan selebihnya pelbagai kaum dan etnik di Sarawak
dan Sabah yang menyumbang jumlah keseluruhan 40,313 ahli di seluruh negara.
Daripada 49 kumpulan itu, 28 beroperasi di Semenanjung, 16 di Sarawak dan lima
kumpulan lagi di Sabah yang menguasai sebahagian besar aktiviti jenayah di
kawasan masing-masing.
Daripada perangkaan diberikan ini
menunjukkan PDRM mempunyai maklumat terperinci mengenai kumpulan dan kegiatan
mereka. Apabila berlaku sesuatu kegiatan jenayah, polis sudah boleh mengesyaki
kumpulan mana yang melakukannya. Polis mudah mendapat maklumat kerana sesiapa
saja anggota kumpulan itu yang ditangkap akan diminta bekerjasama untuk memberi
maklumat yang diperlukan.
Isunya ialah walaupun kumpulan
ini sudah dikenal pasti, mengapakah tindakan menghapuskan kegiatan mereka sukar
dilakukan. Jawapan yang sering didengar ialah tiada keberanian daripada pihak
berkuasa. Mereka tahu rumah pelacur, tetapi kegiatan itu terus beroperasi di
tempat sama. Walaupun serbuan dan tangkapan dibuat, keesokannya perniagaan
haram itu berjalan seperti biasa. Siapakah pula yang melindungi mereka?
Kebelakangan ini terlalu banyak
kegiatan jenayah yang berlaku menyebabkan tindakan drastik terpaksa dilakukan.
Operasi Cantas yang dijalankan sekarang ini membuktikan sama ada pihak berkuasa
serius atau tidak untuk menghapuskan kegiatan jenayah di negara ini. Persoalan
sama ada masalah jenayah boleh dihapuskan daripada bumi negara hanya boleh
dijawab jika pihak berkuasa serius mengenainya.
Beberapa negara di dunia ini
berjaya menjadikan negara mereka bebas daripada kegiatan jenayah yang berleluasa
meskipun satu ketika dulu kadar jenayah begitu tinggi. Diharapkan dengan
tindakan tegas kerajaan, Malaysia akan menjadi sebuah lagi negara di dunia ini
bebas daripada kegiatan jenayah secara berperingkat.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan