Jumaat, 15 Mac 2013

ISU PENDIDIKAN : Keputusan SPM Diumum Khamis Ini


KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 akan diumum pada Khamis ini (21 Mac 2013), dan calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing selepas 10 pagi pada hari berkenaan.

Menurut kenyataan Kementerian Pelajaran, keputusan calon persendirian akan dimaklum melalui pos.

Calon SPM 2012 juga boleh menyemak keputusan mereka menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SPM jarak nombor kad pengenalan jarak nombor angka giliran dan hantar ke 15888. "Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada Khamis ini, dan akan ditamatkan pada 11.59 malam 27 Mac," katanya.

Sementara itu, pengumuman analisis keputusan SPM akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di Putrajaya pada 9 pagi hari yang sama.

Peperiksaan bertulis SPM diadakan dari 5 November hingga 6 Disember tahun lepas dengan seramai 472,541 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu di 3,590 pusat di seluruh negara. -BERNAMA

ISU SOSIAL : Hargai pengorbanan ibu bapa


Oleh : Ahmad Shukri Yusoff 

Tuhan makbul doa anak soleh, sayangi orang tua

Firman Allah SWT, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Israa’, ayat 23)

Betapa besarnya tanggungjawab berbuat baik kepada ibu bapa sehinggakan Allah ada menyebut di beberapa tempat dalam Al-Quran dengan menggabungkan perintah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dan berbakti kepada ibu bapa.

Allah SWT berfirman, “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Nisa, ayat 36)

Firman Allah SWT, “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.” (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Firman Allah SWT, “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.” (Surah Al-Ana’am, ayat 151)

Pernah satu ketika Abdullah Ibnu Masu’d bertanya kepada Rasulullah SAW, “Apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT? Rasulullah SAW menjawab: Solat di dalam waktunya. Kemudian apa? Rasulullah menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab: Berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Muhammad Abdul Aziz Al Khuli ketika membuat huraian hadis di atas menyebut bahawa seolah-olah Rasulullah SAW menyusun urutan itu berdasarkan firman Allah SWT, “Hendaklah kamu bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu.” (Surah Luqman, ayat 14)

Tanda syukur kepada Allah SWT dengan menunaikan solat dan tanda berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa adalah berbuat baik kepada mereka dengan cara mentaati, memastikan keperluan mereka dipenuhi, memberi nafkah, melayan dengan baik, sentiasa merendah diri serta mendoakan kesejahteraan mereka.

Berbakti kepada ibu bapa adalah akhlak yang ada pada semua nabi dan rasul. Ia menggambarkan tidak mungkin orang yang derhaka kepada ibu bapa layak mengajak orang lain membuat kebaikan apatah lagi memimpin manusia.

Firman Allah SWT menceritakan akhlak Nabi Isa: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana saja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Surah Maryam, ayat 30-32)

Antara nikmat yang Allah berikan kepada kita adalah dikurniakan ibu bapa. Justeru, berbakti kepada mereka tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia, tetapi ia berterusan selepas ketiadaan mereka.

Malik Bin Rabiah menceritakan, ketika kami bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba datang menghadap seorang lelaki dari Bani Salamah, lalu bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah saya masih berpeluang berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa saya, adakah saya wajar berbakti kepada mereka selepas kematian mereka? Rasulullah SAW menjawab: Ya, dengan cara mendoakan kedua-duanya, memohon keampunan kepada mereka, menunaikan janji mereka, memuliakan kawan mereka dan membina silaturahim yang tidak boleh dihubung melainkan dengan keduanya.” (Riwayat Abu Daud)

Antara kelebihan disediakan untuk orang yang berbakti kepada ibu bapa ialah doanya mustajab, doa ibu bapanya juga mustajab dan melihat wajah ibu bapanya akan dikira sebagai ibadah. Berbakti kepada ibu bapa dapat menghapuskan dosa dan kesalahan serta keredaan Allah SWT juga berada pada keredaan ibu bapa.

Orang yang derhaka kepada kedua-dua ibu bapa pula akan mendapat laknat daripada Allah SWT, disegerakan hukuman di dunia ini, dipadamkan cahaya keimanan daripada wajahnya, ditolak amalan kebaikan dan penyebab dihumban ke dalam neraka Allah SWT.

Pada hari ini, kita menyaksikan penderhakaan terhadap kedua-dua ibu bapa menjadi fenomena biasa dalam masyarakat daripada herdikan, cacian, pemulauan dan sampai ke peringkat membunuh. Sudah pasti orang yang memahami isyarat daripada al-Quran mengenai kewajipan berbakti kepada kedua ibu bapa tidak akan melakukan perkara seumpama itu.

Setiap kita harus bermuhasabah sejauh manakah kebaktian dan kebaikan yang sudah dilakukan kepada ibu bapa. Peluang terbuka luas untuk kita tingkatkan kasih sayang dan perhatian kepada ibu bapa, memohon maaf atas segala kelemahan sebagai anak yang alpa terhadap tanggungjawab kita.

Penulis ialah perunding motivasi Islam Fitrah Power Resources

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Info : 

Anak hormati ibu bapa:
@ Doa anak mustajab;
@ Doa ibu bapa juga mustajab;
@ Melihat wajah ibu bapa dikira ibadah;
@ Berbakti kepada ibu bapa dapat menghapuskan dosa dan
@ Keredaan Allah SWT juga terletak pada keredaan ibu bapa.

Anak derhaka:
@ Dilaknat Allah SWT;
@ Disegerakan hukuman di dunia;
@ Dipadamkan cahaya keimanan daripada wajahnya
@ Ditolak amalan kebaikan dan penyebab dihumban ke dalam neraka

ISU PENDIDIKAN : Menyemarak budaya fikir

Oleh : Johan Jaaffar
 
Sebelum perkataan-perkataan seperti  cendekiawan, ilmuwan, intelektual atau kaum intelek menjadi popular, orang Melayu menggunakan ‘bijak pandai’. ‘Bijak’, ‘bestari’, ‘pandai’, ‘cerdik’, ‘arif’ yang merupakan sinonim untuk menunjukkan kepandaian seseorang. Apa yang menarik, apabila orang Melayu merujuk pada perkataan ‘bijaksana’, maknanya dikaitkan dengan ‘akal budi’, bukan sekadar kepandaian semata-mata. Maka itu ‘kebijaksanaan’ merupakan kata sifat yang merujuk pada cara bagaimana ilmu dan kepandaian dikaitkan dengan akal budi tadi. Orang berilmu belum tentu bijaksana, begitulah pandangan orang Melayu.

Orang Melayu memang menghargai ilmu dan kepandaian. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat tradisional yang rata-rata anggotanya tidak berpelajaran formal. Mereka yang dilabelkan ‘cerdik pandai’ atau ‘bijak pandai’ dalam masyarakat disanjung tinggi dan dimuliakan.

Istana memainkan peranan yang penting menyemarakkan tradisi bertulis oleh pandai kitab, pandai jawi dan pandai sirah (sejarah). Kelompok ini dipanggil ‘pujangga’ yang tugas mereka menjadi pencatat dan perakam zaman. Mereka juga menghasilkan karya bertulis yang sehingga ini menjadi warisan bangga bangsa. Kumpulan inilah yang melahirkan karya-karya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Raja-Raja Melayu dan Bugis. Mereka jugalah yang memungkinkan lahirnya kitab Hukum Kanun Melaka, yang dipercayai naskhah undang-undang bertulis yang tertua dalam kalangan orang Melayu. Tokoh-tokoh seperti Tun Sri Lanang, Nurrudin al Raniri, Shamsuddin Al Sumatrani dan Raja Ali Haji bukan sahaja pembesar negeri tetapi juga ilmuwan semasa.

Kisah Flor de La Mar

Banyak orang yang menganggap tradisi ilmu orang Melayu bermula hanya dengan kedatangan penjajah. Mereka lupa khazanah kesusasteraan dan seni budaya Melayu yang telah berakar kukuh sejak sekian lama. Apabila Flor de La Mar, kapal Portugis yang membawa ribuan kitab-kitab Melayu ke Lisbon, Portugal tenggelam pada tahun 1511, nilai kehancuran warisan Melayu tidak boleh dibayangkan.

Malah daripada kalangan orang Melayu yang tidak berpendidikan formal telah lahir khazanah kesusasteraan Melayu yang luar biasa. Tradisi oral atau lisan berkembang di tengah masyarakat ini. Mereka melahirkan cerita rakyat dan puisinya sekali. Pantun yang dianggap salah satu penghasilan besar orang Melayu lahir daripada masyarakat petani dan nelayan ini. Demikian juga cerita binatang, cerita teladan, cerita penglipurlara, cerita asal usul dan lain-lain. Tidak ada pengarang dalam tradisi sastera rakyat Melayu kerana hasil karya merupakan milik bersama. Individualisme tidak wujud dalam kalangan mereka.

Maka itu tidak benar Abdullah Abdul Kadir Munsyi merupakan penulis pertama yang berani menegur orang Melayu. Tun Sri Lanang sudah membuat teguran tajam tapi halus terhadap raja-raja yang diriwayatkannya dalam Sejarah Melayu. Penulis kitab Hikayat Raja-Raja Pasai menegur Raja Ahmad yang berkehendak kepada puterinya sendiri dan membunuh puteranya.

Orang Melayu mempunyai sejarah tradisi fikir yang hebat, yang tidak kalah dengan kaum lainnya. Di Nusantara, bijak pandai Melayu mencorakkan sejarah ilmuwan yang hebat, melahirkan karya-karya agung dalam pelbagai genre sepanjang zaman.

Banyak daripada mereka membina kekuatan sendiri, berguru kepada yang lebih pandai, menyambung lidah ilmu, menambah perbendaharaan pengetahuan hingga menjadi bijak pandai dalam ertikata yang tersendiri. Di Malaysia sendiri, sejarah kebangkitan tradisi ilmu bermula daripada persuratkhabaran dan majalah Melayu. Kelompok reformis dari Kaherah misalnya pulang dengan hasrat untuk membetulkan tanggapan kuno mengenai Islam yang dibawa oleh ‘Kaum Tua’. Salah seorang tokoh pembaharuan ini, Syed Sheikh Ahmad Al Hadi bukan sahaja menggunakan penerbitan Al Imam tetapi juga karya sastera. Novel pertama dalam Bahasa Melayu, Hikayat Faridah Hanum (terbit 1925) merupakan karya beliau.

Tradisi bijak pandai tak pupus

Hari ini kita melahirkan jutaan graduan dalam pelbagai disiplin. Ada yang menyoalkan apakah benar tradisi ilmu semakin pudar akibat faham ‘bebalisme’ dan ‘angukisme’ (maaf, bukan istilah saya) di menara gading hari ini. Ada tuduhan mengatakan bahawa tradisi fikir semakin menipis kerana politik akademik yang ada kalanya lebih hebat daripada politik yang sebenar. Apakah kita mampu melahirkan ilmuwan unggul berkelas dunia? Atau sekurang-kurangnya merupakan cerminan daripada tradisi kritis yang dicorakkan oleh Syed Sheikh Ahmad Al Hadi, Pendeta Za’ba, Hamka atau H.B. Jassin? Apakah akan lahir nama-nama besar dan karya besar yang dapat bertahan diuji zaman seperti yang dihasilkan oleh pujangga, ilmuwan, cendekiawan yang terdahulu?

Saya percaya jiwa akademia (sekali lagi bukan istilah saya, sebaliknya istilah Prof Dr Zaini Ujang) masih subur. Tradisi bijak pandai tidak pupus di negara ini. Ilmuwan atau cendekiawan tidak harus takut menentang arus, menjadi contrarian atau berbeza faham kerana itulah yang diharapkan daripada mereka. Di tangan merekalah lahir tradisi cerdik yang memimpin masyarakat. Mereka juga conscience sebenar masyarakat semakin dahagakan ilmu dan pengetahuan. Maka itu peranan mereka semakin penting dalam negara yang bercita-cita besar.

Ilmuwan urusannya menyemarak ilmu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Baha Zain Sasterawan Negara ke-12


PUTRAJAYA - Sasterawan ulung tanah air Datuk Baharuddin Zainal, lebih dikenal dengan nama pena Baha Zain, hari ini diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-12.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, ketika mengumumkannya, berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan anugerah itu pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

"Pemilihan tokoh ini adalah berdasarkan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini.

Anugerah kerajaan persekutuan itu melayakkan Baha Zain menerima wang tunai sebanyak RM60,000, Watikah Penghormatan Negara dan mendapat tajaan RM500,000 bagi menerbitkan 50,000 naskah karya beliau untuk diedarkan ke sekolah, jabatan dan agensi kerajaan.

Selain itu, Baha Zain juga akan menerima kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesanan untuk mencipta karya sastera, menerbitkan karya serta penterjemahaan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.    

Baha Zain, anak kelahiran Hutan Melintang, Perak, berusia 73 tahun itu, berkarya sejak di sekolah menengah dan mula dikenali menerusi karyanya yang berjudul 'Perempuan dan Bayang-Bayang' yang dihasilkan pada 1974.

Antara kejayaan peribadi beliau dalam dunia sastera adalah menerima Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) 2011, Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 1980 selain Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa (Persatuan Linguistik Malaysia) 2004 dan Anugerah Budaya Gapena pada 2008.

Pada Mac tahun lepas, penyair Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali dengan nama penanya Kemala, 72, dipilih sebagai Sasterawan Negara ke-11. - Bernama