BARU-BARU ini satu program
motivasi untuk para pekerja telah dijalankan. Kebanyakan yang datang ditanggung
oleh majikan masing-masing kecuali beberapa orang sahaja yang hadir dengan
perbelanjaan sendiri. Menariknya, ketika ditanya tentang masalah di tempat
kerja mereka, pelbagai jawapan yang diterima. Ada yang stres kerana merasakan
bos menganaktirikan mereka. Ada yang berkata rakan sekerja kaki ponteng hingga
mereka terpaksa melakukan lebih banyak kerja dan memikul tugas orang lain. Ada
yang berkata organisasi tempat mereka bekerja tidak menghargai pekerja dan
pelbagai lagi luahan hati mereka.
Semua luahan itu mempunyai
persamaan yang ketara iaitu menyalahkan orang lain dan tidak diri sendiri.
Apabila kita mahukan sesuatu dan mengharapkan pihak lain yang berubah maka
berkemungkinan perubahan itu tidak akan berlaku, atau kalau berlaku sekali pun,
lambat. Hasilnya kita kecewa, tertekan dan hampa. Inilah situasi yang dapat
dilihat setiap hari dan di mana-mana sahaja sama ada dalam pekerjaan,
pelajaran, perniagaan, pengurusan, kepimpinan dan sebagainya. Kita lihat di
luar diri dan tidak melihat ke dalam diri.
Dengan melihat masalah berada di
luar diri, maka kita tidak mencari ruang untuk melakukan perubahan. Kita selesa
dengan diri sendiri dan akhirnya tiada peningkatan atau kemajuan dalam hidup.
Sebaliknya jika kita ambil tanggung jawab dan menyalahkan diri sendiri maka kita terbuka kepada perubahan.
Sikap suka menyalahkan orang lain ini berlarutan dalam semua aspek kehidupan termasuk perhubungan. Misalnya, kita
menyalahkan jiran yang tidak memahami kita, sedangkan yang sebenarnya kita yang
tidak terlebih dahulu memahami mereka. Kita tidak mewujudkan hubungan yang
akrab agar mereka ada rasa segan dan hormat pada kita. Kita menyalahkan anak
sebab mendapat markah yang rendah dalam peperiksaan, sedangkan mungkin kita
yang kurang memberikan perhatian terhadap pelajaran dan persekolahannya selama
ini.
Allah berfirman dalam al-Quran yang mafhumnya:
"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosamu."(QS. As Syura, 42 : 30)
Perhubungan
Nampaknya, walaupun kita sudah
mencapai pelbagai kemajuan dalam hidup, namun lagu Bangau Oh Bangau masih lagi
menjadi budaya hidup yang berakar umbi dalam fikiran tanpa disedari. Dalam lagu
ini, masing-masing menyalahkan orang lain atas masalah yang menimpanya.
Kini sudah tiba masanya untuk
kita sedar bahawa dalam hidup ini orang lain tidak boleh menjadikan kita
berjaya selagi kita tidak mempraktikkan apa yang disebut sebagai akauntabiliti
iaitu bertanggung jawab atas apa yang berlaku serta menerima apa juga kesan daripadanya. Oleh itu, mulai hari ini apabila berlaku sahaja sesuatu perkara yang
kita tidak suka, atau hajat kita tidak kesampaian, maka nilai dan carilah kesalahan
diri sendiri dan fikirkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki
diri lalu bertindak dengan cara atau pendekatan yang berbeza. Barulah hasilnya
juga nanti berbeza.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/