KESUKARAN menjangka apakah
keinginan dan kehendak sebenar mahasiswa alaf baru terhadap perkembangan dunia
politik tanah air mengakibatkan tercetusnya pelbagai insiden memalukan.
Biarpun hanya segelintir menconteng
arang namun kesan terpalit seperti ditanggung keseluruhan mahasiswa menyebabkan
ramai pihak beranggapan golongan itu ‘pencetus masalah baru’ di pentas politik
tanah air.
Malah, tindak-tanduk di luar
batasan juga memberi persoalan besar di mata masyarakat, apakah mereka mampu
menjadi bakal pemimpin negara pada masa depan.
Persoalannya, di manakah
integriti mahasiswa moden hari ini selepas pelbagai insiden memalukan melanda
mereka?
Dan, bagaimanakah integriti
golongan terbabit menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi?
Naib Canselor Universiti
Teknologi Mara, Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata integriti
mahasiswa perlu diletak sebaris dengan nilai rasional supaya apa jua tindakan
diambil masih di bawah pertimbangan akal.
Beliau berkata, tidak mengira
masa atau keadaan, golongan itu tidak boleh meletak nilai integriti mereka
sembarangan kerana bukan saja menjejaskan imej malah meranapkan masa depan.
“Mahasiswa seharusnya meletak
nilai integriti pada tahap sangat berharga hingga tidak boleh diperkotak
katikkan, dipersoal atau dipergunakan.
“Golongan ini mesti menjadi satu
kelompok berkecuali yang mempunyai idea perjuangan sendiri. Dan, perjuangan itu
mesti berpaksikan kematangan dan
rasional.
“Bukanlah melakukannya kerana
desakan emosi, membuta tuli atau didesak pihak lain. Mahasiswa perlu menjaga
nilai eksklusif mereka,” katanya.
Katanya, pelbagai insiden memalukan
yang membabitkan mahasiswa sejak kebelakangan ini tidak harus berlaku jika
mereka matang dan pandai menjaga nama baik diri sendiri dan institusi.
Malah, menjelang PRU,
tindak-tanduk mahasiswa akan lebih diperhatikan dan menjadi intaian masyarakat.
“Biarpun secara kasarnya,
masyarakat kurang memberi tindak balas, tapi apa saja perlakuan mereka tetap
menjadi perhatian.
“PRU kali ini menjadi medan
politik baru bagi mereka. Sudah pasti setiap tindak-tanduk akan diperhatikan.
“Justeru, jika benarlah mereka
mahasiswa yang bijak, PRU ini boleh dijadikan platform meningkatkan imej dengan
membuktikan kematangan melalui perlakuan dan sikap,” katanya.
Menurutnya, masyarakat juga tidak
pernah mempertikaikan mengenai hak, naluri, keinginan mahupun pendapat yang
ingin diketengahkan golongan itu.
“Tapi, cara pendekatan itu
perlulah matang selari dengan nama mahasiswa itu sendiri yang dikategorikan
sebagai terpelajar.
“Tidak perlu terlalu beremosi.
Kita hidup dengan tamadun dan bersama masyarakat, peraturan perlu dipatuhi,”
katanya mengakui sikap kurang rasional boleh menghakis kepercayaan orang lain
secara tidak langsung.
“Apabila mahasiswa kurang
dipercayai, nilai eksklusif diri mereka akan jatuh. Mereka bakal pemimpin tapi
bolehkah memimpin orang lain jika begini perlakuannya.
“Sesiapa pun pasti menolak calon
begitu. Pemimpin perlu ada kematangan, mampu berfikir panjang, berwibawa dan
rasional, bukannya keterlaluan, singkat pemikiran dan mengikut hati.
“Tindakan dan pemikiran singkat
bukan saja mencalit kesalahan pada satu pihak, malah seluruh nama mahasiswa
akan tercemar. Ini kerana mahasiswa juga adalah satu jenama kepada negara,”
katanya.
Isu mahasiswa bertindak ‘luar
biasa’ dan ‘ luar kawalan’ pastinya akan mencuri perhatian ramai menjelang PRU
ke-13 kelak.
Biarpun Akta Universiti dan Kolej
Universiti (AUKU) Seksyen 15 yang dulunya dijadikan senjata utama mereka
‘memberontak’ sudah dipinda, mahasiswa seperti masih ada permintaan lain ingin
dipinta.
Tindakan itu memualkan masyarakat
yang mungkin sudah bosan melihat gelagat golongan yang dikatakan terpelajar
itu.
“Mereka marah jika masyarakat
mengatakan mahasiswa kurang ajar, tapi cara mereka bukan seperti golongan
terpelajar.
“Sesiapapun pasti mempunyai
persepsi serupa jika melihat perlakuan seperti itu di depan mata. Malangnya ia
juga tidak adil untuk mahasiswa lain.
“Yang membuat onar hanya
segelintir, akibatnya ditanggung semua,” katanya.
Beliau turut tidak menolak
tindakan itu melambangkan ketaksuban kepada ideologi masing-masing hingga
sanggup melanggar peraturan dan prinsip.
“Tidak kiralah sama ada ideologi
diperjuangkan betul atau tidak, tetapi peraturan dan undang-undang sudah jelas
dan terpakai.
“Kita hidup dalam tamadun
manusia, jangan rendahkan maruah diri ke tahap paling bawah yang mungkin
mengundang tertawa orang lain.
“Jika kita ikut saluran yang betul
serta tahu meletakkan di mana nilai ilmu dan harga diri, orang lain akan lebih
menghormati,” katanya.
Mahasiswa, akuinya, sudah banyak
diberi kebebasan untuk meluahkan pendapat, namun masih ada yang kurang bijak
memanfaatkannya.
“Bebas boleh, tapi biarlah
berpada-pada. Kita manusia ada adat, ada aturan hidup dan hidup bermasyarakat.
“Yang mereka pinta sudah
ditunaikan, tetapi masih juga tidak berpuas hati. Persoalannya, apa yang mereka
hendak sebenarnya?” soalnya.
Beliau juga menggesa mahasiswa
tidak melupakan etika sewaktu PRU andai kata berminat untuk mengetahui
perjalanan politik tanah air.
Menurutnya, ia juga saat terbaik
belajar dan melihat senario sebenar sistem demokrasi di negara ini.
“Di institusi pengajian tinggi,
banyak ilmu boleh dipelajari ,tetapi kita usah menyekat mahasiswa memperoleh
pengalaman atau ilmu daripada sumber
lain.
“PRU kali ini mencetuskan sejarah
tersendiri kerana pertama kali membenarkan mahasiswa berkelayakan mengundi.
“Gunakannya sebagai cermin bagi
menilai diri sendiri. Pesan saya akal yang waras akan menghasilkan keputusan
dan tindakan yang tepat,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan