Oleh : Mohd Ayop Abd Razid
Pengukuhan kedudukan politeknik
selaku pengimbang ekosistem dalam sistem pendidikan nasional membuktikan
komitmen kerajaan untuk memartabat dan meningkatkan prestasi bidang latihan
teknikal dan vokasional (TVET) masa kini. Ia adalah inisiatif transformasi
bidang pendidikan negara supaya institusi politeknik menjadi institusi
alternatif, khusus bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Usaha ini selari dengan keperluan
negara untuk melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi dalam
bidang teknikal dan vokasional bagi mencapai hasrat negara maju berpendapatan
tinggi menjelang 2020. Menjelang 2015, kerajaan berharap tenaga kerja
berkemahiran tinggi meningkat kepada 37 peratus daripada 23 peratus ketika ini
Justeru, satu langkah praktikal ialah mengarusperdanakan TEVT. Hasrat ini
diterjemahkan melalui Pelan Transformasi Politeknik yang dilancarkan Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Februari 2010.
Bangun modal insan negara
Kerajaan mahu menjadikan
politeknik sebagai institusi pendidikan teknikal bertaraf global, sekali gus
dapat membangunkan modal insan negara bagi memenuhi agenda program transformasi
ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang memberi penekanan kepada aspek
inovasi dan kreativiti. Konsep transformasi politeknik lebih menjurus kepada
pewujudan institusi pilihan, penghasilan siswazah menepati kehendak pasaran dan
pembinaan persepsi positif dalam kalangan masyarakat terhadap pendidikan
politeknik.
Aspek dicakupinya pula
membabitkan pemerkasaan dasar, penambahbaikan reka bentuk proses, penyampaian
dan penilaian program, pembangunan kurikulum yang mantap, jaminan kualiti
program, pembangunan tenaga pengajar kompeten, pelajar berkualiti, sumber dan
kemudahan lengkap dan usaha inovasi berterusan.
Usaha mentransformasi politeknik
dibuat secara terancang. Ia bermula dengan fasa satu menjurus kepada menjadikan
institusi politeknik sebagai alternatif serta menambah program ditawarkan.
Objektif strategik transformasi politeknik dalam fasa ini ialah melonjak
politeknik sebagai institusi peneraju TEVT; mengukuhkan kerelevanan dan
responsif program; menerajui bidang tujahan dan teknologi tertentu dan membina
reputasi dan jenama baru.
Melalui fasa ini, penawaran
program pengajian dikaji semula mengikut kekuatan politeknik masing-masing
selaras MBE dan ETP negara. Walaupun transformasi politeknik bertujuan
melonjakkan politeknik sebagai institusi peneraju bidang TEVT pada peringkat
diploma, program ijazah sarjana muda bakal ditawarkan pada tahun ini di
beberapa politeknik.
Program peringkat ijazah
sebahagian daripada strategi memperkasa lulusan diploma politeknik dan ia akan
dilaksanakan dengan kerjasama universiti tempatan. Mungkin satu hari nanti
politeknik boleh dinaikkan taraf sebagai universiti politeknik.
Transformasi politeknik fasa
kedua (2013-2015) pula menekankan tiga fokus iaitu memperkenalkan 49 program
pengajian baru, mengukuhkan kedudukan dan prestasi politeknik dalam jaringan
TVET peringkat serantau dan antarabangsa serta transformasi kepemimpinan. Ini
penting sebagai penggerak kepada peningkatan prestasi dan kecemerlangan
politeknik bukan saja dalam negara tetapi juga pada peringkat serantau dan
antarabangsa. Selain itu, penyediaan tenaga kerja kompeten, berdedikasi serta
komited dengan tugas menjadi elemen penting ke arah hasrat murni itu. Fasa
selanjutnya membabitkan pemerkasaan (2016-2020) dan fasa kece-merlangan
(melangkaui 2020).
Antara langkah penting mengangkat
martabat politeknik bertaraf dunia ialah usaha dilakukan Jabatan Pendidikan
Politeknik (JPP) untuk mendapatkan akreditasi program dengan Dublin Accord
serta Suruhanjaya Akreditasi dan Pengesahan Asia Pasifik. Usaha itu akan
meningkatkan kebolehpasaran graduan politeknik hingga ke peringkat global.
Graduan berkemahiran tinggi
Selain itu, pembangunan Piawaian
Kurikulum Politeknik (CSP) oleh JPP mampu melahirkan graduan berkemahiran
tinggi serta boleh menjadi rujukan serantau. Langkah memeterai memorandum
persefahaman antara politeknik dengan beberapa Universiti dan kolej seperti
dengan UCSI University, Kolej Sunway Kuching dan EC Council Academy dapat
menjayakan perkongsian kepakaran dan kerjasama dalam penyelidikan.
Kesimpulannya, transformasi
politeknik menjadikan ia menyumbang aktif kepada pembangunan negara.
Transformasi politeknik akan menjadikan institusi pendidikan bersifat responsif
terhadap keperluan industri dan selari kehendak pembangunan ekonomi negara. Ia
juga diharap menjadi peneraju bidang pendidikan dan latihan teknik dan vokasional
pada peringkat diploma dengan menghasilkan siswazah berkualiti berdaya
usahawan, berkebolehpasaran tinggi dan berdaya saing.
Sumber : http : //www.bharian.com/