Kuala Lumpur : Kualiti udara di
beberapa kawasan di Johor dan Melaka terus merosot, dengan dua kawasan
mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melepasi tahap bahaya iaitu 301.
Sehingga semalam, bacaan IPU dari
51 stesen pengawasan kualiti udara menunjukkan Muar mencatatkan bacaan
tertinggi iaitu 383 sehingga jam 11 pagi, manakala Pasir Gudang setinggi 333
pada jam 5 petang berbanding 199 pada paginya.
Menurut kenyataan Kementerian
Sumber Asli dan Alam Sekitar, punca kemerosotan kualiti udara dipengaruhi
pencemaran jerebu merentasi sempadan berikutan Monsun Barat Daya yang dijangka
berterusan sehingga September ini.
83 titik panas di Malaysia
“Laporan ASEAN Specialised Meteorological
Centre (ASMC) menunjukkan ada 173 titik panas di Wilayah Riau kelmarin,
berbanding 187 sehari sebelumnya.
“Di Malaysia pula, 83 titik panas
direkodkan, iaitu tertinggi di Sarawak (70), Kelantan (enam), Pahang (dua)
manakala Selangor, Melaka, Sabah dan Terengganu masing-masing satu,” katanya.
Berikutan kemerosotan kualiti
udara yang berterusan di beberapa kawasan sejak tiga hari lalu, kementerian
memaklumkan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengaktifkan
Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan Jerebu selaras Tahap Amaran 3A dalam Pelan
Tindakan Jerebu Kebangsaan di kawasan berbahaya dan sangat tidak sihat, iaitu
Kota Tinggi.
Ketua Pengarah Alam Sekitar sudah
mengeluarkan Perintah Larangan Pembakaran Terbuka di seluruh Selangor, Melaka
dan Johor berkuat kuasa kelmarin sehingga satu tarikh yang akan diberitahu
kecuali pembakaran mayat, keagamaan, aktiviti memanggang (barbeku) serta
pembakaran gas mudah terbakar.
Dalam perkembangan lain, Ketua
Pengarah JAS sudah menulis surat kepada rakan sejawatnya di Kementerian Alam
Sekitar Indonesia bagi menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan
titik panas di Sumatera Tengah yang menyebabkan jerebu di Semenanjung sejak 15
Jun lalu.
“Malaysia juga menggesa Indonesia
melaksanakan tindakan segera pencegahan dan memadam kebakaran,” katanya.
Berikutan cuaca panas dan kering
yang melanda negara, kementerian menasihati orang ramai tidak melakukan atau
menyebabkan pembakaran terbuka.
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan