Fenomena jerebu di Muar |
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan hari ini mengarahkan pihak pentadbir sekolah mengambil langkah menutup sekolah jika Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras bahaya, iaitu 300 bagi menjamin kesihatan dan keselamatan pelajar.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri
Abdul Ghafar Mahmud berkata pihak pentadbir sekolah perlu mengambil
tindakan di bawah Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.
Selain ditutup, pihak sekolah
juga perlu menghentikan semua aktiviti kokurikulum dan aktiviti di luar bilik
darjah jika IPU melebihi 250, dan menghentikan semua aktiviti di luar bilik
darjah yang melibatkan murid-murid berisiko tinggi jika IPU melebihi 150,
katanya dalam satu kenyataan di sini.
"Kementerian Pendidikan
memandang serius perkembangan fenomena jerebu yang melanda negara ketika
ini. Selaras dengan keputusan mesyuarat
Jemaah Menteri pada 15 Ogos 2012 berhubung pindaan kepada Pelan Tindakan Jerebu
Kebangsaan, kementerian telah mengeluarkan Surat Siaran KPM Bil.14 Tahun 2013
berhubung Langkah-Langkah Kementerian Pendidikan Malaysia Bagi Menjamin
Kesihatan dan Keselamatan Murid-Murid Di Sekolah-Sekolah Yang Berada Dalam
Kawasan Berjerebu Yang Dianggap Kritikal," katanya.
Abdul Ghafar berkata Jabatan
Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah juga telah diarah
untuk memantau dan mengikuti perkembangan semasa fenomena jerebu melalui media
massa dan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengetahui status jerebu
di kawasan masing-masing.
Katanya, kementerian itu juga
telah membuka bilik gerakan untuk memantau perkembangan fenomena itu, dan untuk
memudahkan kementerian mengambil langkah-langkah wajar bagi menanganinya.
"Murid-murid dinasihatkan
memakai penutup hidung dan pihak sekolah hendaklah merujuk pelajar yang dikenal
pasti tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran bagi memastikan kesihatan
dan keselamatan pelajar terjamin," katanya.
Lebih 200 sekolah di Muar, Johor
hari ini diarah tutup buat sementara berikutan bacaan IPU mencatat paras bahaya
iaitu 383.
Pengarah Pendidikan Johor Mohd
Nor A Ghani berkata keputusan itu dibuat berikutan paras IPU di daerah itu
mencecah tahap bahaya, dan tindakan itu melibatkan 76,940 pelajar.
JAS hari ini melaporkan Muar
merupakan kawasan yang paling teruk dilanda jerebu dengan IPU 383 pada 11 pagi
meningkat daripada 337 pada 7 pagi tadi. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan