Khamis, 20 Jun 2013

ISU TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI : Pengaruh internet terhadap pengguna Muslim


Oleh : Dr. Azmi  Hassan

WUJUD statistik yang begitu menarik mengenai taburan penduduk global yang beragama Islam yang perlu ditonjolkan memandangkan wujud persepsi songsang masyarakat antarabangsa terhadap apa jua yang berkaitan dengan Islam. Lebih menarik lagi statistik ini juga mampu menggambarkan mengapa suatu konflik yang melanda sudah hampir pasti melibatkan penduduk beragama Islam sama ada di Eropah, Amerika Syarikat, Asia Pasifik atau pun Timur Tengah.

Terdapat hampir 1.6 bilion penduduk Muslim di seluruh dunia dan ini membuat Islam sebagai agama kedua tertinggi diamalkan selepas Kristian. Bertentangan dengan persepsi bahawa rantau Timur Tengah mempunyai penduduk yang beragama Islam paling ramai, tetapi hakikatnya adalah dua pertiga penduduk Muslim sebenarnya menetap di rantau Asia Pasifik.

Jika digabungkan penduduk Muslim di India dan Pakistan (344 juta) ia melebihi jumlah penduduk Muslim yang berada di Timur Tengah dan Afrika Utara yang berjumlah 317 juta orang. Tetapi perlu diberi penekanan bahawa kepadatan penduduk Muslim di Timur Tengah dan Afrika Utara adalah begitu tinggi iaitu 93 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk rantau tersebut berbanding hanya 24 peratus di Asia Pasifik.

Secara perbandingan Malaysia pula mempunyai kepadatan 61 peratus penduduk yang beragama Islam sementara Indonesia dan India masing-masing dengan kepadatan 87 dan 14 peratus. Kepadatan penduduk Islam sesebuah negara adalah statistik yang kritikal kerana ia mampu menggambarkan keadaan geopolitik dan ekonomi sesebuah negara.

Dalam hal ini begitu menarik diungkitkan satu laporan kaji selidik mengenai kesan internet terhadap 39 negara yang mempunyai penduduk Muslim yang telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew pada bulan Mei lepas. Secara purata hampir 20 peratus penduduk Muslim mengguna kemudahan internet dalam kerja seharian mereka yang menggambarkan betapa pentingnya pengaruh maklumat internet.

Salah satu hasil tinjauan Pew yang begitu menarik adalah sebahagian besar penduduk beragama Islam yang mengguna internet mempunyai pandangan positif terhadap gaya hidup Barat yang dipamerkan melalui medium hiburan seperti filem, radio dan telivesyen.

Penduduk beragama Islam Indonesia umpamanya 68 peratus yang mengguna internet memberi tanggapan positif terhadap gaya hidup Barat berbanding 37 peratus oleh mereka yang tidak bergantung kepada internet.

Penduduk Muslim Malaysia juga mempunyai pandangan statistik yang serupa dengan Indonesia. Perlu dikaitkan sebahagian besar penduduk Muslim yang mempunyai pandangan positif terhadap gaya hidup Barat juga terdiri daripada golongan muda yang berumur di antara 18 hingga 35 tahun.

Memang tiada cacat celanya bagi seorang beragama Islam yang mempunyai tanggapan positif terhadap gaya hidup Barat kerana ia mempunyai banyak interpretasi. Perlu ditekankan sebahagian besar daripada pengguna internet beragama Islam berpendapat bahawa gaya hidup Barat sebenarnya tidak merosakkan moral dan anutan agama seseorang dan ini berbeza pula dengan pendapat Muslim yang tidak mengguna internet.

Tetapi jika dikaitan dengan satu lagi persepsi iaitu sikap penduduk beragama Islam terhadap agama Kristian, statistik yang dibentangkan oleh Pew adalah begitu menarik sekali. Sekali lagi pengaruh internet adalah begitu jelas kerana berbanding dengan penduduk Muslim yang tidak mengguna internet, pengguna internet beragama Islam lebih menjerumus kepada pendapat bahawa terdapat persamaan selari di antara agama Islam dan Kristian.

Paling ketara adalah di Pakistan yang mana 35 peratus mereka yang menguna internet mempunyai padangan positif terhadap agama Kristian berbanding hanya 7 peratus untuk mereka yang tidak mengguna internet. Penduduk Muslim Malaysia pula merangkumi statistik 13 peratus pengguna internet yang merasa positif berbanding hanya 8 peratus untuk mereka yang tidak mengguna internet.

Jika dikaitkan hasil tinjauan Pew, persepsi penduduk Muslim terhadap dua perkara iaitu gaya hidup Barat dan agama Kristian, internet sebenarnya mempunyai pengaruh yang agak ketara dan kuat. Ini adalah kerana perbezaan pendapat antara mereka yang mengguna internet berbanding dengan kumpulan yang tidak bergantung kepada maklumat internet adalah jauh berbeza.

Sebab itu lazim diperkatakan kemelut yang melanda kebanyakan negara yang mempunyai kepadatan penduduk Islam yang ramai seperti di Tunisia, Mesir, Libya, Syria dan juga Turki adalah kerana pengaruh internet yang disifatkan sebagai pemangkin pencetus yang begitu berkesan sekali.

Malaysia juga tidak tersisih daripada ledakan maklumat yang dibawa oleh internet yang bagaikan sudah begitu sukar untuk dibendung kerana kebebasan yang dimiliki telah digunakan secara tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika menghadiri Forum Menteri-Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Singapura kelmarin menyatakan Malaysia akan mempertingkat tumpuan terhadap pembangunan kandungan serta aplikasi bagi menghadapi cabaran perkembangan ICT yang berkembang pesat.

"Perkara yang perlu diberikan perhatian adalah pembangunan kandungan dan aplikasi kerana ia menjadi tonggak utama oleh mereka yang mencipta," tegas beliau.

Tetapi apa yang lebih penting adalah pengguna internet Muslim di Malaysia perlu melaksanakan kawalan kendiri kerana jika tidak dikhuatiri pengguna muda akan lebih mudah terpengaruh dengan perkara asing yang mampu memudaratkan keharmonian negara.

 PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan