Oleh : Dr. Azmi Hassan
WUJUD statistik yang begitu menarik mengenai taburan penduduk global yang beragama Islam yang perlu ditonjolkan memandangkan wujud persepsi songsang masyarakat antarabangsa terhadap apa jua yang berkaitan dengan Islam. Lebih menarik lagi statistik ini juga mampu menggambarkan mengapa suatu konflik yang melanda sudah hampir pasti melibatkan penduduk beragama Islam sama ada di Eropah, Amerika Syarikat, Asia Pasifik atau pun Timur Tengah.
Terdapat hampir 1.6 bilion
penduduk Muslim di seluruh dunia dan ini membuat Islam sebagai agama kedua
tertinggi diamalkan selepas Kristian. Bertentangan dengan persepsi bahawa
rantau Timur Tengah mempunyai penduduk yang beragama Islam paling ramai, tetapi
hakikatnya adalah dua pertiga penduduk Muslim sebenarnya menetap di rantau Asia
Pasifik.
Jika digabungkan penduduk Muslim
di India dan Pakistan (344 juta) ia melebihi jumlah penduduk Muslim yang berada
di Timur Tengah dan Afrika Utara yang berjumlah 317 juta orang. Tetapi perlu
diberi penekanan bahawa kepadatan penduduk Muslim di Timur Tengah dan Afrika
Utara adalah begitu tinggi iaitu 93 peratus dari jumlah keseluruhan penduduk
rantau tersebut berbanding hanya 24 peratus di Asia Pasifik.
Secara perbandingan Malaysia pula
mempunyai kepadatan 61 peratus penduduk yang beragama Islam sementara Indonesia
dan India masing-masing dengan kepadatan 87 dan 14 peratus. Kepadatan penduduk
Islam sesebuah negara adalah statistik yang kritikal kerana ia mampu
menggambarkan keadaan geopolitik dan ekonomi sesebuah negara.
Dalam hal ini begitu menarik
diungkitkan satu laporan kaji selidik mengenai kesan internet terhadap 39
negara yang mempunyai penduduk Muslim yang telah dijalankan oleh Pusat
Penyelidikan Pew pada bulan Mei lepas. Secara purata hampir 20 peratus penduduk
Muslim mengguna kemudahan internet dalam kerja seharian mereka yang
menggambarkan betapa pentingnya pengaruh maklumat internet.
Salah satu hasil tinjauan Pew
yang begitu menarik adalah sebahagian besar penduduk beragama Islam yang
mengguna internet mempunyai pandangan positif terhadap gaya hidup Barat yang
dipamerkan melalui medium hiburan seperti filem, radio dan telivesyen.
Penduduk beragama Islam Indonesia
umpamanya 68 peratus yang mengguna internet memberi tanggapan positif terhadap
gaya hidup Barat berbanding 37 peratus oleh mereka yang tidak bergantung kepada
internet.
Penduduk Muslim Malaysia juga
mempunyai pandangan statistik yang serupa dengan Indonesia. Perlu dikaitkan
sebahagian besar penduduk Muslim yang mempunyai pandangan positif terhadap gaya
hidup Barat juga terdiri daripada golongan muda yang berumur di antara 18
hingga 35 tahun.
Memang tiada cacat celanya bagi
seorang beragama Islam yang mempunyai tanggapan positif terhadap gaya hidup
Barat kerana ia mempunyai banyak interpretasi. Perlu ditekankan sebahagian
besar daripada pengguna internet beragama Islam berpendapat bahawa gaya hidup
Barat sebenarnya tidak merosakkan moral dan anutan agama seseorang dan ini
berbeza pula dengan pendapat Muslim yang tidak mengguna internet.
Tetapi jika dikaitan dengan satu
lagi persepsi iaitu sikap penduduk beragama Islam terhadap agama Kristian,
statistik yang dibentangkan oleh Pew adalah begitu menarik sekali. Sekali lagi
pengaruh internet adalah begitu jelas kerana berbanding dengan penduduk Muslim
yang tidak mengguna internet, pengguna internet beragama Islam lebih menjerumus
kepada pendapat bahawa terdapat persamaan selari di antara agama Islam dan Kristian.
Paling ketara adalah di Pakistan
yang mana 35 peratus mereka yang menguna internet mempunyai padangan positif
terhadap agama Kristian berbanding hanya 7 peratus untuk mereka yang tidak
mengguna internet. Penduduk Muslim Malaysia pula merangkumi statistik 13
peratus pengguna internet yang merasa positif berbanding hanya 8 peratus untuk
mereka yang tidak mengguna internet.
Jika dikaitkan hasil tinjauan
Pew, persepsi penduduk Muslim terhadap dua perkara iaitu gaya hidup Barat dan
agama Kristian, internet sebenarnya mempunyai pengaruh yang agak ketara dan
kuat. Ini adalah kerana perbezaan pendapat antara mereka yang mengguna internet
berbanding dengan kumpulan yang tidak bergantung kepada maklumat internet
adalah jauh berbeza.
Sebab itu lazim diperkatakan
kemelut yang melanda kebanyakan negara yang mempunyai kepadatan penduduk Islam
yang ramai seperti di Tunisia, Mesir, Libya, Syria dan juga Turki adalah kerana
pengaruh internet yang disifatkan sebagai pemangkin pencetus yang begitu
berkesan sekali.
Malaysia juga tidak tersisih
daripada ledakan maklumat yang dibawa oleh internet yang bagaikan sudah begitu
sukar untuk dibendung kerana kebebasan yang dimiliki telah digunakan secara
tidak bertanggungjawab.
Menteri Komunikasi dan
Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika menghadiri Forum
Menteri-Menteri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di Singapura kelmarin
menyatakan Malaysia akan mempertingkat tumpuan terhadap pembangunan kandungan
serta aplikasi bagi menghadapi cabaran perkembangan ICT yang berkembang pesat.
"Perkara yang perlu
diberikan perhatian adalah pembangunan kandungan dan aplikasi kerana ia menjadi
tonggak utama oleh mereka yang mencipta," tegas beliau.
Tetapi apa yang lebih penting
adalah pengguna internet Muslim di Malaysia perlu melaksanakan kawalan kendiri
kerana jika tidak dikhuatiri pengguna muda akan lebih mudah terpengaruh dengan
perkara asing yang mampu memudaratkan keharmonian negara.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan