Pidato Antarabangsa mampu mengangkat martabat bahasa Melayu di peringkat dunia |
Oleh : Mohd Raman Daud
DAPATKAH bahasa Melayu menjadi
bahasa dunia? Persoalan ini bukanlah baru.
Dalam wawancara akhbar ini
baru-baru ini dengan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Profesor
Dr Haji Awang Sariyan, beliau mengutarakan erti penting usaha gigih untuk
‘mengantarabangsakan’ bahasa Melayu.
Umumnya, beliau mengungkapkan
usaha di pihak rumpun Melayu yang sekitar 350 juta jiwa dan lobi di peringkat
antarabangsa.
Bagi rumpun Melayu, hujahnya,
perlu ada visi dan tekad politik terutama di pihak tiga negara – Indonesia,
Malaysia dan Brunei – agar bahasa Melayu dapat digunakan di forum antarabangsa,
termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Proses menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa dunia tentulah menuntut usaha menghasilkan sebanyak mungkin
bahan berilmu dalam bahasa Melayu dan dasar pemerintah yang sentiasa
mengutamakannya sebagai pengantar dalam perhubungan awam dan swasta, di samping
terus merakyat dengan rapi.
Apakah bahasa dunia?
Bahasa dunia ialah bahasa yang
dituturkan di peringkat antarabangsa dan dipelajari ramai orang sebagai bahasa
kedua. Bahasa dunia tidak dicirikan dengan jumlah penuturnya (penutur asli atau
penutur bahasa kedua) sahaja, bahkan juga tebaran menurut kawasan (geografi)
dan hubungan diplomatik.
Dalam banyak hal, kebanyakan
bahasa dunia menonjolkan bahasa asal Eropah, iaitu Inggeris, Perancis dan
Sepanyol.
Sebabnya dari segi sejarah, sudah
berlaku pengembangan kuasa Eropah menerusi penaklukan dan penjajahan di banyak
bahagian dunia.
BAHASA DUNIA :
Bahasa yang terluas digunakan di
dunia ialah Inggeris, yang dipercayai digunakan lebih 1.8 bilion orang,
terutama sejak kehadiran Internet dan media antarabangsa.
Bahasa Arab juga ketara sebagai
bahasa dunia kerana sebab sejarah – peluasan Islam yang membawa bersamanya
bahasa Arab di seluruh Timur Tengah, utara Afrika dan negara yang mempunyai
penduduk Muslim di luar Dunia Arab.
Bahasa Arab memang mempunyai
pelbagai dialek, seperti Mesir, namun yang digunakan sebagai standard atau
berpiawai ialah fusaha.
Bahasa Cina standard dipanggil
Mandarin atau Putonghua (bahasa awam) yang mengganti bahasa Cina Klasik yang
sebelum ini digunakan di Timur Jauh sehingga awal abad ke-20 Masihi.
Bahasa Mandarin digunakan di
kalangan majoriti China keturunan Han dan bukan Han, juga di diaspora kaum Cina
seberang laut, seperti di Malaysia dan Singapura.
Memandangkan penduduk China
terbesar di dunia, 1.32 bilion jiwa, maka sekali gus ia mencerminkan kekuatan
bahasa Mandarin.
Bahasa Russia digunakan secara
meluas dalam empayar Russia dan kemudian di Soviet Union (dikuasai Russia,
1917-1991) dan juga di Eropah Timur.
Walaupun sesudah kejatuhan
Soviet, bahasa Russia masih terus digunakan terutama di Russia iaitu negara
terbesar dari segi saiznya di dunia (17 juta km persegi).
Bahasa Jerman pula pernah menjadi
bahasa pengantar atau ‘lingua franca’ di sebahagian besar benua Eropah,
terutama Empayar Rom Kudus dan kemudian Empayar Austro-Hungary. Ia merupakan
bahasa kedua terpenting di bahagian Tengah dan Timur Eropah dan di kalangan
masyarakat saintifik antarabangsa.
Terdapat bahasa utama yang tidak
luas digunakan antara benua tetapi penting daripada bahasa pengantar kerana
kaitan sejarah. Ini termasuk bahasa Greek ketika zaman kekuasaan Hellenistik,
seperti penaklukan Alexander Yang Agung dan di wilayah Empayar Byzantin.
Bahasa Latin kini dianggap ‘mati’
tetapi pernah menjadi bahasa utama Empayar Rom, bahasa keagamaan bagi mazhab
Katolik.
Bahasa Parsi meluas ketika
Empayar Parsi berkembang dalam zaman silam dari Mediterranean sehingga utara
benua India. Bahkan Parsi pernah digunakan sebagai bahasa pengantar kedua
selepas bahasa Arab di banyak negeri majoriti Muslim.
Sanskrit, atau Sanskerta, luas
digunakan dalam zaman silam di Asia Selatan (Pakistan, India, Sri Lanka), Asia
Tenggara, Asia Tengah. Ia merupakan pengantar bagi agama Hindu dan Buddha.
Namun seperti Latin, Sanskerta dianggap bahasa mati kerana jarang dituturkan.
Banyak bahasa utama di benua
kecil India boleh dianggap bahasa penting kerana dituturkan ratusan juta orang.
Namun bahasa Hindustan dan Tamil
lebih menonjol di benua ini, selain Urdu, yang merupakan bahasa rasmi di
Pakistan, yang mempunyai 180 juta penduduk.
Bahasa Bengali (bahasa ibunda
Rabrindranath Tagore, orang Asia pertama menerima Hadiah Nobel bagi Sastera)
lebih besar bilangan penutur berbanding bahasa Perancis. Terdapat 230 juta
penutur bahasa Bengali, iaitu keenam di dunia.
Namun bahasa Perancis sudah lama
dianggap bahasa diplomatik sehingga ditancapkan sebagai bahasa dunia.
Bahasa Sepanyol tersebar luas
hasil penjajahan Sepanyol di Amerika Tengah dan Amerika Selatan dan sedikit
sebanyak di Filipina.
Terdapat usaha sedar di peringkat
antarabangsa untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa dunia kerana
busana, makanan dan pelbagai aspek budaya Melayu kian diterima di peringkat
sejagat.
Memang banyak manfaat apabila
bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa dunia. Antara lain, kian banyak orang
bukan Melayu atau bukan penutur asli yang menggunakannya sebagai bahasa kedua.
Selanjutnya, karya asal Melayu
daripada muzik sehingga buku berisi bahan ilmu dan teknologi akan diterjemah
sehingga istilah Melayu turut digunakan dalam bahasa-bahasa dunia lain.
Sekali gus ini bermakna sumbangan
rumpun Melayu daripada adab, ilmu dan tamadunnya akan turut mencorak jagat.
* Artikel ini pernah diterbitkan di Berita Harian pada 1 Jun 2013.
Sumber : http://beritaharian.sg/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan