Khamis, 27 Februari 2014

ISU PENDIDIKAN : Membangun pendidikan sepadu


Oleh : PROF DR.  SIDEK BABA

ILMU yang sepadu dan sifatnya bertatahkan nilai akan memberi arah terhadap pedoman yang baik dan bermanfaat dan ia bakal melahirkan generasi terdidik yang sentiasa istiqamah dengan perjuangan, tidak gopoh dengan strategi dan sentiasa bijaksana dalam memahami waqi’ atau realiti.

Peradaban masa silam umat Islam ditandai dengan kekuatan ilmu dan pendidikan. Ia menjadi tunjang kepada tradisi kecendekiawanan dan pemikiran. Ilmu yang sepadu atas asas integrasi ilmu urus diri dan ilmu urus sistem menjadi landasan terbaik kepada hala tuju pendidikan umat dan negara. 

Wasatiyyah dalam pendidikan yang mencari titik-keseimbangan tidak sekadar suatu proses menyampaikan maklumat, ilmu, kemahiran dan keterampilan semata-mata. Ia sekali gus melakukan proses transformasi diri dan sistem.

Ilmu yang benar dan bermanfaat sekiranya diolah secara wasatiyyah bakal menghasilkan jenis manusia yang baik binaan diniahnya dan bagus dalam binaan ilmu-ilmu ketamadunan. Ia menjadi sangat relevan dengan perubahan zaman kerana memiliki kualiti berimbang yang baik.

Kualiti berimbang yang ada pada umat Islam menyebabkan anugerah ALLAH terhadap limpahan rahmah dan nikmat di atas dan di perut bumi negaranya dapat diuruskan dengan amanah dan bijaksana. Fokusnya ialah membangun sistem pendidikan yang mampu membangun kualiti seimbang.

Bayangkan banyak negara Islam tidak mempunyai sistem pendidikan yang sepadu menyebabkan ilmu-ilmu berhubung dengan daya urus sistem tidak dibangunkan dan kemampuan menguruskan sumber dalam sistem tidak terjadi.

Ia menyebabkan kualiti rohaniah di kalangan warga umat tinggi tetapi upaya amaliah tidak produktif dan menyebabkan umat Islam terus menjadi pengguna kepada kekuatan orang lain, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Justeru, pendidikan wasatiyyah melalui proses integrasi yang harmoni antara faktor kognitif, afektif dan psikomotor perlu diperkukuhkan. Gandingan kekuatan akliah yang diimbangkan dengan kekuatan rohaniah terserap dengan baik dan menjadi sumber terbaik diterjemahkan dalam amal.

Oleh itu pendidikan berkualiti ialah yang mampu membentuk watak dan peribadi mithali. Sumber contoh teladan adalah sesuatu yang amat utama kerana darinya tergambar sari pati akhlak karimah.

Inilah asas perjuangan Rasulullah SAW membawa risalah islah dan tarbiah untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Ini juga menjadi tonggak menyatukan ummah kerana Rasulullah SAW diutuskan oleh ALLAH untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Pendidikan umpamanya amat penting dalam membangun pekerti manusia. Daripada pekerti manusia yang amanah, adil, telus dan tulus umpamanya pihak lain mendapat manfaat daripadanya. Apabila diberi amanah untuk mengurus sistem, ketertiban terjadi dan kesejahteraan berlaku.

Pendidikan juga terkandung faktor adab yang sangat dititikberatkan. Rasulullah SAW dalam hadisnya – “Addabani rabbi faahsana ta’dibi”.  Ya ALLAH, didiklah aku dengan didikan yang terbaik. Yang terbaik itu merujuk kepada konsep addaba yang membawa maksud disiplin akliah, rohaniah dan amal.

Pendidikan yang membawa asas tajdid (transformatif) berlandaskan disiplin membentuk akal supaya memiliki daya fikir tinggi, berupaya menjana ilmu dan hikmah. Ini adalah landasan wasatiyyah.

Ia juga membentuk hati dan diri yang mencari titik- keseimbangan dan kebenaran terhadap ilmu dan hikmah sehingga proses penyerapan terjadi (internalisasi) mendukung amal yang baik.

Fokus kepada hati bermaksud bagaimana kesuburan hati dan niat terjadi menyebabkan olahan rohaniah menyebabkan tazqiah-an nafs (pembersihan jiwa) terjadi dan ia penting sebagai pancaran niat ikhlas dan murni untuk amal soleh.

Justeru pendekatan wasatiyyah yang komprehensif tidak saja memancarkan kebenaran dan keadilan tetapi juga menghasilkan suasana berimbang dan harmoni- menjadi teladan terbaik untuk melihat kebijaksanaan berlaku.

Atas kapasiti ilmu dan pendidikan umat Islam menjadi umat contoh kerana istiqamahnya yang tinggi, ikhlas dan amanah dalam melaksanakan taqlif atau tanggungjawab, terbuka untuk berbeza pandangan, sangka baik yang tinggi terhadap orang lain, tidak gopoh menghukum dan tidak berdendam serta  tidak menaruh sifat benci yang menyebabkan perseteruan terus terjadi.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan