Subjek literasi media perlu diperkenalkan
di semua peringkat sekolah rendah dan menengah bertujuan melahirkan generasi
muda celik media, kata Prof Madya Mohamad Md Yusoff.
Mohamad merupakan Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata pendekatan
itu adalah amat penting bagi memberi pendedahan kepada generasi muda agar tahu
menilai dan membezakan kesahihan sesuatu berita.
Ini kerana, situasi penyebaran
berita palsu dalam laman sosial semakin membimbangkan dalam kalangan golongan
muda, katanya.
"Subjek ini perlu diwajibkan
kerana ia boleh memberi pendedahan, sekali gus mengubah corak pemikiran
golongan muda mengenai kaedah dan cara memperoleh maklumat sama ada melalui
internet atau televisyen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada
Bernama selepas menjadi tetamu jemputan dalam rancangan Ruang Bicara terbitan
Bernama TV, malam semalam.
Mohamad berkata kefahaman dan
pengajaran menerusi subjek literasi media itu juga dapat mengekang kewujudan
'wartawan segera' seperti apa yang berlaku di laman sosial ketika ini.
"Apabila mereka tidak faham
(maksud berita) maka akan lahirlah wartawan tidak beretika, tiada prosedur
dalam menyampaikan maklumat dan tidak bertauliah," katanya.
Beliau turut meminta mana-mana
persatuan dalam bidang kewartawanan untuk mengambil pendekatan proaktif bagi
memastikan masalah penyebaran maklumat tidak sahih melalui media sosial dapat
diatasi.
Ia termasuklah memberi penerangan
bagaimana mendapatkan maklumat, penulisan, pengesahan dan proses penyuntingan
berita.
"Perbuatan menyebar berita
palsu adalah ancaman kepada pengamal media yang sah...Apa yang kita tahu,
berita yang sahih adalah berita yang dihasilkan mengikut proses yang
ditetapkan," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan