DALAM kehidupan seseorang
manusia, pasti akan memberi sedikit-sebanyak kesan semasa hayatnya. Kesan dalam
pelbagai bentuk dan ke atas pelbagai pihak.
Ada yang memberi impak sebegitu
besar kepada mereka di sekelilingnya, melalui pengaruh-pengaruh tertentu, atau
melalui tindakannya semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab, iaitu biasanya
semasa memegang sesuatu jawatan atau melaksana sesuatu tugas yang diamanahkan.
Ada pula yang memberi impak melampaui batasan masyarakat dan negara sendiri,
kerana apa yang dilakukannya memberi kesan kepada dunia amnya.
Sejarah banyak mencatatkan
kesan-kesan tindakan individu seperti yang dikatakan itu dari zaman ke zaman.
Ada yang meninggalkan legasi atau
warisan, yang menggoncang dunia kerana telah mencetuskan perbalahan dan
peperangan seperti Hitler. Begitu juga mereka yang berada dalam kedudukan
berkuasa, telah membawa segala yang negatif dan merosakkan, kepada negara dan
rakyat mereka. Kebanyakannya didorong oleh ketiadaan kualiti kepimpinan, dan
kegagalan melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan. Ataupun kerana tidak
mampu, atau tidak mahu, menggunakan kuasa dengan betul dan baik.
Ada pula yang semata-mata berjaya
membawa masyarakat dan negara masing-masing ke arah kemunduran berterusan.
Akhirnya warisan dan legasi
mereka hanyalah kesusahan dan kedaifan rakyat, tersisih dari arah aliran dunia
yang telah terdedah kepada kemajuan serba bentuk teknologi.
Sebaliknya ada yang diamanahkan
untuk memimpin, telah membawa segala kemajuan kepada rakyat di negara mereka,
dan membawa serta mendorongkan perubahan-perubahan yang diperlukan, untuk
mencapai kemajuan tersebut.
Antaranya kemajuan dalam
pemikiran, supaya tidak dihalang oleh kesempitan dan keusangan. Tetapi
sebaliknya sedia menerima apa yang baru dan baik, serta yang membawa
kesan-kesan dan hasil-hasil yang positif. Melalui kesan-kesan positif ini wujud
generasi baharu masyarakat, yang benar-benar berminda global, dan yang tidak
mudah untuk diperkotak-katikkan oleh orang luar. Mereka menjadi peneraju dan
penggerak untuk kemajuan dan pembangunan negara mereka serta benteng
masyarakat.
Saya sentiasa teringat akan
pesanan orang tua-tua seperti yang diingatkan oleh emak saya iaitu, “Harimau
mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Semasa kecil saya
berkata kepada emak bahawa sememangnyalah manusia apabila mati meninggalkan
nama. Emak segera menjelaskan iaitu nama itu buruk atau nama itu baik akan
bergantung kepada apa yang manusia itu lakukan.
Apabila dewasa fahamlah saya
bahawa ‘nama’ itu berkaitan dengan banyak perkara antaranya:
Apa yang
telah dilakukan semasa hidupnya, tidak kira dalam apa jua kedudukan, seperti dalam
keluarga dan dalam mana jua bidang masyarakat dan negara
Apa jasa
yang dibuat yang dihargai oleh mereka yang menerima kebaikan daripadanya
Sumbangan
tertentu yang diberi dalam pelbagai bentuk seperti buah fikiran, pandangan dan
cadangan, yang menghasilkan kebaikan dan manfaat
Hasil
yang memberi faedah, yang timbul daripada apa yang dilakukan oleh seseorang itu
Pendek kata ‘nama’ itu sama erti
dengan ‘reputasi’, dan ‘maruah’. Sama ada reputasi yang baik atau yang buruk.
Agaknya untuk lebih berkesan untuk saya fahami, emak menggunakan
istilah-istilah sama ada nama yang wangi atau pun nama busuk. Lebih senang
untuk saya ingati antara ‘wangi’ dan ‘busuk’.
Memang sebenarnya ‘nama’ yang
kita tinggalkan tidak ada kaitan dengan berjela-jelanya gelaran dan pangkat;
atau betapa banyaknya akronim ijazah dan kelulusan yang telah diperoleh, atau
apa jua yang diletakkan pada hujung nama seseorang itu.
Yang penting ialah, apa yang
telah dilakukan dan dilaksanakan semasa hayatnya oleh individu yang memiliki
nama tersebut. Tidak perlu mengejar gelaran, jawatan dan kedudukan, jika
niatnya semata-mata untuk ‘menghias’ atau ‘memperkukuhkan’ nama.
Apa sebenarnya yang ada pada
nama? Seorang yang putih melepak dan cantik, yang telah diberi nama ‘Hitam’
tidak akan terjejas kecantikannya semata-mata kerana namanya.
Sebaliknya, seorang penyangak dan
pemutar belit, tidak akan bertukar menjadi sebaik-baik manusia semata-mata
kerana namanya ‘Tulus al Ikhlas!’
Kita semua akan suatu hari pergi
menemui Allah Yang Maha Esa.
Sebelum sampai masa tersebut,
kita berusahalah sedaya upaya untuk melakar dan mencatat, dan akhirnya
meninggalkan nama yang sebaik mungkin.
Tidaklah perlu nama kita dicatat
dalam rekod sejarah. Atau dirakam dengan tinta emas.
Memadailah kita menyedari akan
tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat, dengan peranan-peranan tertentu,
dan insaf bahawa apabila kita sudah pergi, nama kita diingati oleh mereka yang
kita tinggalkan, dalam konteks yang positif, baik dan harum.
Amat rugi jika tidak dapat
melakukan apa yang baik semasa hidup, sehingga nama yang kita tinggalkan kelak
akan hanya disebut selari dengan apa yang tidak positif dan tidak baik.
Kadangkala semasa kita masih
hidup akan ada manusia yang sama ada akan menjulang atau menentang kita; atau
sebaliknya mencerca dan membenci kita, iaitu berasaskan penilaian dan motif
masing-masing di sekeliling kita.
Tetapi fakta tidak boleh diubah.
Yang betul tetap betul. Dan yang tidak betul tetap tidak betul. Itulah yang
sebenarnya menentukan nama yang kita tinggalkan.Sememangnya harimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.
Penulis pernah
berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 35 tahun, menteri selama 28 tahun dan
Ahli Majlis Tertinggi UMNO selama 38 tahun. Beliau kini ialah Profesor Adjung
di Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi Pengerusi
AirAsiaX, Megasteel dan Pinewood Iskandar Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan