Rabu, 22 April 2015

ISU PENDIDIKAN : Bangun institusi pendidikan bertaraf dunia


Oleh: Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@mediaprima.com.my

Dalam era ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan, negara amat memerlukan modal insan berpengetahuan sebagai asas memaksimumkan keupayaan generasi masa depan.

Ia satu usaha mencapai piawaian global dalam melahirkan golongan berkeupayaan yang mampu menjana pencapaian merangkumi semua aspek.

Perubahan itu turut menjadikan pendidikan sepanjang hayat agenda murni mencorak modal insan mengikut acuan semasa.

Namun, usaha atau perubahan itu masih dipertikaikan kemampuannya terutama dalam penyaluran maklumat menerusi medium pendidikan.

Segelintir pihak menganggapnya kurang efektif biarpun banyak perubahan dilakukan bagi meningkatkan kualiti sedia ada.

Justeru, apakah usaha boleh dilakukan lagi memartabatkan dunia pendidikan negara bagi menyahut cabaran lebih besar pada masa akan datang?

Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Dr Amir Hasan Dawi berkata, ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi perlu dimantapkan bagi melonjakkan transformasi menjadi pendidikan bertahap global.

Beliau berkata, dunia pendidikan hari ini bukan saja bertambah kompleks malah dipelbagaikan dengan keperluan terkini bagi mencakupi standard global.

“K-ekonomi menjadi antara pemacu dalam usaha menjadikan dunia pendidikan negara lebih berkapasiti tinggi dan optimis melahirkan generasi intelek, berkemahiran dan bersahsiah.

“Dalam konteks globalisasi hari ini keperluan kepada ilmu semakin dirasakan manakala persaingan merebut pasaran berlaku dalam pelbagai aktiviti atau peluang perniagaan.

“Oleh itu, pihak yang lebih tinggi ilmunya akan berjaya menguasai bidang berkaitan, sekali gus memperoleh keuntungan,” katanya.

Beliau berkata sistem K-ekonomi bukan saja mampu membantu menjana maklumat dalam struktur pembangunan masyarakat malah membantu membangunkan institusi pendidikan menjadi bertaraf dunia dan proses pembelajaran sepanjang hayat.

“Hari ini kita tidak dapat menafikan bagaimana pendidikan diiktiraf sebagai penting dalam struktur masyarakat kerana ia sumber mendapatkan ilmu.

“Dari segi sejarah, negara yang mengutamakan pendidikan dalam dasar pembangunan lebih berjaya seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

“Dalam konteks Malaysia, pertumbuhan pesat pusat pengajian adalah perkembangan langsung sektor pendidikan dan ini sangat membanggakan kerana kita sudah mula melakukan anjakan sistem menjadi lebih kompetitif,” katanya.

Beliau turut merujuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi (PT) yang berani melakukan perubahan bagi mencapai wawasan melahirkan pelajar berdaya saing.

Menurutnya, menerusi PPPM yang merangkumi anjakan perubahan aspek menyeluruh, nilai bidang pendidikan negara akan diletakkan sebagai satu mekanisme utama yang akan dibangunkan dengan suntikan elemen diperlukan secara global.

“Kita sentiasa merujuk kepada negara luar untuk membangunkan sistem sedia ada walaupun kita mempunyai banyak kelebihan kos yang kompetitif berbanding negara maju.

“Dengan transformasi demi transformasi ini, sistem pendidikan kita dibangunkan dengan acuan sendiri.

“Pembaharuan ini juga bagi memenuhi permintaan global yang mahukan pelajar berkemahiran, serba boleh dan mampu mencapai matlamat berpengetahuan dengan baik,” katanya.

Mengakui bukan mudah mahu menjayakan K-ekonomi ini dalam sektor pendidikan negara, beliau berkata ia boleh dilaksanakan andai kita mampu mengekalkan daya saing ilmu yang tinggi .

“Kita perlu meningkatkan keupayaan pakar tempatan dalam penguasaan ilmu itu sendiri supaya diiktiraf bukan semata-mata kerana kos atau prasarana fizikal.

“Sekarang peluang ekonomi yang ditawarkan sektor pendidikan lebih menjurus jual beli dengan insentif diberi kerajaan misalnya skim pinjaman pendidikan menyebabkan pertumbuhan pesat pusat pengajian tinggi.

“Di peringkat sekolah, pertumbuhan sekolah swasta dan antarabangsa mencabar kewibawaan sistem kita, justeru dalam jangka panjang, kekukuhan sektor pendidikan dari segi komponen ilmu, kualiti dan kepakaran perlu ditingkatkan,” katanya.

Mengenai tanggapan segelintir pihak yang berpendapat isu untuk meningkatkan taraf pendidikan negara adalah isu sensitif, beliau berkata, masyarakat perlu bersikap terbuka dalam menangani isu pendidikan.

Katanya, perkara ini hanya boleh diatasi dengan memberi ruang kepada ilmuwan yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam bidang pendidikan bagi merangka dasar pendidikan.

“Kita perlu bertindak pantas untuk bersaing dengan perkembangan ilmu serta teknologi baru, semasa dan akan datang.

“Dapat dilihat dalam pembangunan pesat kita mengimport ramai tenaga pakar serta separa pakar asing dan mereka boleh mencipta kejayaan selain semakin banyak universiti luar negara membuka kampus cawangan di sini.

“Oleh itu perlu ada budaya strategik membangunkan tenaga kerja berilmu dalam kalangan rakyat tempatan selain mula melakukan perubahan sikap dan budaya yang dimulakan dengan generasi muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan