Sabtu, 7 November 2009

Kemarau 61 tahun berakhir



Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD, FERZALFIE FAUZI dan ILAH HAFIZ AZIZ
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan mengakhiri kemarau 61 tahun untuk menjulang trofi teragung bola sepak negara, Piala Malaysia dengan menewaskan Kelantan 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Sebaliknya malam malang penuh hampa buat Wira Merah kerana biarpun bertemankan majoriti penonton, mereka masih gagal mematahkan tanduk Si Rusa yang melonjak megah meraikan kejayaan bersejarah sekali gus memberikan hadiah tidak ternilai buat Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang baru ditabalkan 26 Oktober lalu.

Jika bersandarkan sejarah kejohanan, inilah Piala Malaysia pertama yang berjaya menebus kehampaan Negeri Sembilan pada tahun 2000 dan 2006 setelah ditewaskan Perak dan Perlis pada perlawanan akhir.

Sebelum ini, Negeri Sembilan pernah sekali muncul juara iaitu pada 1948 ketika kejohanan ini menggunakan nama, Piala HMS-Malaya.

Dimulai Shahurain Abu Samah pada minit ke-18, disambung Hairuddin Omar seminit selepas rehat dan dilengkapkan Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak minit ke-59, tiada apa yang mampu dilakukan Kelantan melainkan memanjangkan penantian dan rasa kempunan yang mencecah 39 tahun untuk menikmati trofi itu.

Gol tunggal Kelantan pada masa kecederaan babak kedua pada minit ke-93 menerusi sepakan bebas ketua pasukannya, Indra Putra Mahayuddin sekadar satu sagu hati yang mengubat luka barisan Wira Merah yang terpaksa menelan hakikat pahit keputusan ini.

Kecuaian bek kiri Kelantan, Zamri Ramli mengawal bola daripada hantaran lambung ke kotak penalti menghukum pasukannya dengan gol pertama Negeri Sembilan hasil rembatan kencang Shahurain Abu Samah pada minit ke-18 tanpa mampu ditepis Mohd. Halim Napi.

Dua minit sebelum rehat, Hairuddin Omar nyaris melebarkan kedudukan Si Rusa dengan gol kedua tetapi tandukan kencangnya sekadar sipi beberapa inci daripada tiang gol Kelantan selepas mendapat umpanan lintang S. Kunanlan dari sebelah kiri.

Namun hanya seminit babak kedua bermula, Hairuddin menebus kegagalan itu dengan tandukan yang menjerat Halim secara solo hasil hantaran sebelah kiri gandingan serangannya, Zaquan Adha sekali gus menjelmakan gol kedua Negeri Sembilan.

Gol yang meragut 90 peratus semangat juang Kelantan itu muncul gara-gara sangkaan barisan belakangnya yang meleset bahawa Hairuddin yang dipinjam daripada T-Team bagi Piala Malaysia musim ini, sudah berada dalam keadaan ofsaid.

Zamri sekali lagi menambah derita Kelantan gara-gara menarik tangan Shahurain yang sudah mencerobohi kubunya pada minit ke-58 lantas menghadiahkan sepakan penalti buat Negeri Sembilan yang tenang disudahkan Zaquan Adha seminit kemudian.

Ketinggalan tiga gol itu hanya tambah memberangkan penyokong Si Kijang yang bukan sahaja beransur-ansur meninggalkan tempat duduk bahkan melontar pelbagai objek termasuk mercun sehingga berkepul-kepul asap tebal di ruang angkasa gelanggang tanda tidak puas hati.

Malah ada antara mereka membakar kerusi di tempat duduk penonton.

Perlawanan yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 RTM itu turut disaksikan Tuanku Muhriz di samping Menteri Besar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.

Negeri Sembilan mendapat hadiah bonus apabila pemainnya, Shukor Adan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir itu.

Dalam pada itu, Mohamad ketika ditemui berkata, beliau kagum dengan kesungguhan dan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain.

“Kita tak pernah ada hutang dengan pemain dan gaji mereka dibayar tepat pada masanya, ini antara faktor kemenangan.

“Malah pemain juga beraksi dengan baik dan memberikan tumpuan sepenuhnya.

“Kita akan memikirkan imbuhan kepada pemain dan pegawai hasil daripada kemenangan ini,” katanya.

Sementara itu, Annuar yang diminta mengulas mengenai aksi malam tadi berkata: “Kita berpuas hati dengan permainan malam ini. Bayangkan, ini kali pertama kita ke final, tapi orang lupa.

“Memang Negeri (Sembilan) bermain dengan hebat terutama pada posisi tengah yang kental manakala kami di bahagian yang sama tak berapa kuat ditambah dengan kejutan gol yang pertama.

“Jadi ini pengalaman bagi kami. memang saya faham penyokong hampa dan saya mewakili pasukan memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan harapan mereka.

“Walau apa pun, saya merayu kepada mereka supaya banyak bersabar,” katanya.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Nota hujung:

Adat pertandingan, pasti ada pasukan yang akan menang dan ada yang akan tewas. Yang menang akan rasa gembira. Yang tewas akan rasa kecewa. Namun, yang penting ialah pemain dan penyokong pasukan yang bertanding perlu berpegang kepada SEMANGAT KESUKANAN. Memang sukar untuk menerima hakikat KEKALAHAN. Apatah lagi, kedua-dua buah negeri yang bertanding sememangnya mengidamkan KEJUARAAN tersebut sejak sekian lama. Apapun tahniah buat pasukan JUARA. Yang tewas, perlu memuhasabah diri, kenal pasti KESILAPAN, dan bangkit semula membina KEKUATAN kerana ESOK MASIH ADA untuk anda merangkul kejuaraan.

#Kesukanan : perihal sukan (kegiatan yang memerlukan ketangkasan atau kemahiran serta tenaga)

#Kekalahan : ketewasan (dalam peperangan, pertandingan, perdebatan, dll)

#Kejuaraan : kehandalan atau keunggulan (dalam sukan dll)

#Kesilapan : perihal silap, kekeliruan, kekhilafan

#Kekuatan : kekuasaan, keteguhan, kekukuhan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan