Sabtu, 7 November 2009

PERSEDIAAN MENJELANG PEPERIKSAAN


Hari kian berlalu. Akhir tahun sudah semakin menjelang tiba. Para pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM sudah pasti sedang berkeringat menelaah pelajaran kerana peperiksaan yang dinanti-nantikan hanya tinggal seminggu sahaja lagi.

Apa yang penting sekarang, para pelajar perlu bijak menggunakan masa yang ada untuk mengoptimumkan daya ulang kaji pelajaran. Antaranya adalah:

#Mengemas kini segala nota yang telah dipelajari.

#Memperbanyak latihan menjawab soalan yang berbentuk peperiksaan sebenar.

#Mengenal pasti dan mengaplikasikan teknik menjawab yang betul sebagaimana kehendak soalan.

#Bagi pelajar muslim khususnya, paling penting ialah mereka harus mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dengan menunaikan amalan-amalan yang mulia dan meninggalkan larangan-Nya. Ini adalah kerana hati yang bersih daripada segala kekotoran akan mudah mencerna isi pelajaran dan meluahkannya di kala peperiksaan.

Dari segi jasmani, pelajar perlu mendisiplinkan diri agar fizikal yang sihat dan cergas dapat dihasilkan. Antaranya :

#Tidur yang cukup (6-7 jam sehari)

#Menjaga keselamatan diri khususnya ketika berada di tempat terbuka yang terdedah dengan bahaya seperti di jalan raya.

#Menjaga pemakanan seharian. Makanan yang berkualiti akan membekalkan nutrien yang mencukupi dalam tubuh badan. Bagi insan Muslim, digalakkan memakan manisan seperti kurma, kismis dan madu lebah kerana ia memberikan hikmah yang istimewa dalam diri seorang pelajar terutamanya untuk mengingat nota pelajaran.

#Bersukan. Aktiviti ini penting untuk melancarkan peredaran darah dalam tubuh badan sekali gus membekalkan oksigen yang mencukupi kepada otak. Namun, dalam bersukan, hanya memadai dengan bersederhana sahaja kerana takut memberikan kepenatan yang berlebihan.

Justeru, diharap para pelajar membuat persediaan rapi dengan melipatgandakan usaha kerana apa yang dilalui sekarang merupakan pelaburan yang paling utama untuk kehidupan masa hadapan.

Tidak lupa untuk sentiasa berdoa kepada Yang Maha Berkuasa agar dipermudahkan segala apa yang bakal dilalui.

Sumber : http://mesejabdul.wordpress.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan