Isnin, 11 Januari 2010

Dua murid cipta sejarah masuk sekolah berasrama penuh

NURSHAFRINA Hasimi tidak dapat menahan kesedihan ketika memeluk ibunya, Zalina Abdul Ghani sambil ditemani ayahnya, Hasimi Ali ketika mendaftar sebagai pelajar baru di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Kuantan, semalam.

KUANTAN 11 Jan. - Dua bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling, Jerantut mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SEMSAS) di sini.

Kedua-dua pelajar berusia 13 tahun itu, Nurshafrina Hasimi dan Mohd. Firdaus Ahmad Khairi merupakan antara 130 pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di sekolah elit berkenaan.

Mereka melaporkan diri di sekolah berkenaan pagi ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Hamid Abu Bakar dan Pengetua SEMSAS, Mokhtar Abdullah.

Nurshafrina ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas kejayaannya menjadi pelajar pertama dari Kampung Bantal, Jerantut memasuki SEMSAS.

"Belum ada pelajar dari sekolah dan kampung saya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Ini merupakan satu kebanggaan buat diri saya," katanya yang ditemani oleh ibu bapa serta adiknya.

Dia yang merupakan anak sulung kepada pasangan Hasimi Ali, 36, yang hanya bekerja kampung dan Zalina Abdul Ghani, 31, seorang suri rumah, bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris dan mahu mengubah nasib keluarganya kelak.

Bekas Penolong Ketua Pengawas SK Ulu Tembeling itu yang mendapat 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu turut menjadikan guru Bahasa Inggerisnya, Mohd. Fauzi Mohd. Noor sebagai idola bagi merealisasikan impiannya itu.

Sementara itu, Mohd. Firdaus pula bercita-cita menjadi doktor gigi bagi mengubah nasib keluarganya yang bergantung hidup kepada bapanya, Ahmad Khairi Timban, 48, sebagai seorang penoreh getah.

Anak kedua daripada lima beradik itu turut menjadikan kehidupan keluarganya yang susah untuk terus mencipta kecemerlangan dalam pelajaran selepas memperoleh 5A dalam UPSR lalu.

"Saya ingin menjadi doktor gigi bagi mengubah hidup keluarga," katanya.

Dalam pada itu Abdul Hamid berkata, seramai 733 pelajar mendaftarkan diri di enam buah sekolah berasrama penuh termasuk tiga sekolah berasrama penuh integrasi di seluruh Pahang tahun ini.

Jelasnya, pelajar terbabit yang akan memasuki tingkatan satu dan empat akan melalui minggu orientasi untuk didedahkan dengan kehidupan di asrama.

Mengulas kejayaan dua bekas murid SK Ulu Tembeling itu Abdul Hamid berkata, ia bukti komitmen kerajaan dalam memberikan pendidikan sama rata antara pelajar bandar dan luar bandar.

"Pada asasnya kemudahan yang disediakan di sekolah bandar dan luar bandar adalah sama. Cuma, terpulang pada pelajar sama ada hendak mengguna dan memanfaat kemudahan tersebut atau sebaliknya," katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Nota hujung:

Sikap dua murid ini wajar jadi ikutan murid-murid lain. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Tanpa usaha gigih dan tidak mengenal jemu, tidak mungkin kejayaan manis ini diperoleh. Yang menarik lagi, di sebalik kejayaan itu, di samping sokongan ibu dan ayah, ada watak guru yang menjadi pencetus kejayaan murid-murid ini. Syabas Cikgu Mohamad Fauzi atas kejayaan murid-murid cikgu !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan