LEBIH kurang seminggu yang lalu, tahun 2009 sudahpun melabuhkan tirainya. Kemelut, caca merba, kejutan dan pelbagai hiruk-pikuk mewarnai sepanjang tahun 2009.
Minggu lalu yang menyaksikan minggu pertama tahun baru, kita seakan-akan dibayangkan bahawa pola suasana tahun ini tidak akan begitu banyak berbeza dengan tahun sebelumnya. Awal-awal lagi nampaknya kita telahpun dihidangkan dengan kegemparan isu penggunaan kalimah Allah yang diluluskan penggunaanya untuk majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi.
Menelusuri kronologi isu ini yang bermula dari tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebenarnya telahpun memutuskan untuk memberi kebenaran kepada majalah Herald-The Catholic Weekly (khusus untuk golongan Kristian Katolik) untuk merujuk istilah 'God' dengan kalimah Allah.
Walau bagaimanapun, mengambil kira reaksi umat Islam dan di samping memikirkan kepentingan keharmonian masyarakat, kementerian tersebut telah segera menarik balik keputusan itu. Namun, setelah kes itu dibawa ke mahkamah, mengejutkan sekali kerana kini ia berakhir dengan keputusan kontroversi yang menyebelahi majalah berkenaan.
Ekoran keputusan itu, majoriti umat Islam mula bersuara dan suara-suara protes kedengaran hampir di mana-mana sahaja. Tidak kiralah sama ada penyokong UMNO atau PAS, kesemuanya memberikan reaksi yang lebih kurang sama. Ternyata ramai yang kurang selesa dengan keputusan yang dibuat itu.
Ironinya, parti UMNO yang selalu dituduh sebagai parti rasis Melayu oleh kelompok PAS dilihat menjadi 'juara' dan 'front-end' dalam mendepani isu menyentuh kepentingan Islam, dan bukan PAS. Walhal, PAS yang seringkali menobatkan diri mereka 'pejuang' Islam sebaliknya begitu mengecewakan dalam kenyataan rasmi yang disiar di laman rasmi parti tersebut.
Baur-baur kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada awalnya digambarkan oleh beberapa pemimpin PAS telah ditransformasi kepada suatu kenyataan rasmi Presiden PAS yang lebih lemah, kurang pengisian dan tidak tegas pendirian!
Sudah tentulah pada dasarnya, penggunaan nama Allah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi. Akan tetapi, mengambil konteks di Malaysia ini, di mana istilah Allah sudah sekian lama difahami sebagai 'Tuhan kepada orang Islam' dan dalam pada itu pula telah sentiasa memastikan kedamaian di kalangan masyarakat, tidak ada salahnya PAS berterus-terang untuk tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.
Apatah lagi mengambil kira istilah 'Islam' yang kononnya menjadi dokongan PAS, terlihat akan pendirian sebenar parti itu yang nyata semakin lewa dan 'hopeless' dalam isu membabitkan kepentingan akidah masyarakat Islam. Dengan masyarakat yang kini berdepan dengan pelbagai kekeliruan dan masalah seperti ancaman murtad, isu Islam liberal dan kekalutan hak penjagaan anak yang ibu bapanya berbeza agama, sikap PAS memang tidak boleh diterima.
Pada saya pula, isu ini tidak sepatutnya hadir sama sekali kerana istilah 'God' boleh diguna pakai oleh ajaran Kristian. Justeru, persoalan sama ada ajaran Kristian sememangnya ada merujuk kepada kalimah Allah tidak sepatutnya timbul. Lebih penting lagi, hak Islam sebagai agama rasmi negara yang meletakkan Allah sebagai tuhan yang Esa, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan perlulah dihormati. Sensitiviti majoriti masyarakat juga wajib diambil kira demi keharmonian masyarakat yang telah sekian lama terjalin tanpa apa-apa sengketa.
Kejadian letupan di beberapa gereja baru-baru ini adalah bukti bagaimana sesuatu normaliti yang cuba diubah ada harga yang cukup mahal untuk dibayar. Tindakan ganas ini tidak kita sokong. Kerajaan sendiri di atas semangat 1Malaysia dengan segera menghadirkan sumbangan RM500,000 untuk gereja-gereja terlibat. Malahan, kerajaan menyeru agar tindakan sebegini tidak lagi dilakukan.
Namun perlu difahami, daripada lebih 20 juta rakyat Malaysia, tidak semuanya berfikiran sama. Sesetengahnya ekstremis, nekad dan sukar dijangka tindak-tanduknya. Maka demi kesejahteraan dan keamanan, saya rasa tidak ada rugi apa-apa sekiranya kebiasaan yang terdahulu dikekalkan. Justeru saya beranggapan, laporan akhbar semalam yang menyebut terdapat beberapa kumpulan Kristian yang menggambarkan bahawa akhbar Herald perlu 'mengalah' dalam isu ini adalah satu tindakan yang patut, terbaik dan menghormati kumpulan majoriti di Malaysia.
Dalam masa sama, siri letupan gereja adalah suatu petanda tidak semua orang Islam faham dengan ajaran Islam yang menganjurkan kedamaian. Timbulnya isu ini juga adalah gara-gara umat Islam lemah dan tidak bersatu hati. Tidak hairanlah hak Islam dan Melayu dalam pelbagai isu yang sepatutnya sensitif, kini begitu mudah diperkotak-katik dan dipersoalkan. Barangkali kita terlalu leka berpolitik daripada mencari persamaan sesama saudara!
Mungkinkah inilah sebenarnya peringatan berhikmah dari Allah untuk kita seawal tahun baru 2010 dan 1431 Hijrah ini. Bahawa kini sudah sampai masa dan ketikanya untuk masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bersatu, saling bermaafan dan bermuafakat?
Kelmarin di dada-dada akhbar terdapat beberapa golongan Kristian yang bersetuju agar tuntutan penggunaan kalimah Allah tidak diteruskan lagi. Ini membuktikan bahawa tuntutan tersebut adalah bukan tuntutan daripada golongan majoriti masyarakat Kristian Malaysia. Sekiranya, golongan masyarakat Kristian dapat memikirkan isu ini dari perspektif keharmonian dan perpaduan negara, sudah sampai masanya masyarakat Islam seluruh Malaysia termasuk UMNO, Pas, PKR dan lain-lain mencapai tahap kematangan yang sama.
Tepuk dada, insaflah dan tanya kepada iman. Semoga 2010 akan mekar dengan perpaduan dan ukhuwah fillah di kalangan ummah. Sama-samalah kita berdoa dan usahakan, insya-Allah!
Sumber : http://www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan