Rakyat Malaysia yang serius untuk mewujudkan perpaduan antara rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama akan tetap berusaha sedaya upaya untuk memastikan seluruh rakyat Malaysia menguasai bahasa Melayu dengan sebaik mungkin.
Pada era dunia globalisasi yang semakin terbuka ini pastinya kita tidak berfikiran sempit untuk mengabaikan penguasaan bahasa-bahasa utama dunia bahkan penguasaan mana-mana bahasa sekalipun perlulah digalakkan khususnya buat generasi muda.
Namun begitu, kita pastinya tidak mahu mengabaikan bahasa Melayu yang mempunyai seni keindahan gaya bahasanya yang sendiri terutamanya apabila kita mendalami keunikan makna tersirat di sebalik puisi, pantun, syair, gurindam, sajak, seloka dan sebagainya.
Agak memalukan kita rakyat Malaysia tatkala sebilangan rakyat negara asing seperti Rusia, China, Jepun dan sebagainya yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan tepat manakala masih ramai rakyat Malaysia yang gagal dan tidak berusaha untuk menguasai bahasa Melayu dengan tepat bahkan lebih gemar mencemarkan keindahan bahasa itu dengan bahasa rojak yang celaru.
Pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti di papan iklan, dialog filem dan juga dalam perbualan seharian perlulah diberi perhatian oleh semua pihak memandangkan ia juga mencerminkan kecelaruan dalam pemikiran.
Pemimpin utama negara perlu berani dan tidak malu untuk menggunakan bahasa Melayu dalam siri ucapan mereka serta jangan ada krisis keyakinan terhadap bahasa Melayu dalam diri mereka supaya ia dapat dijadikan contoh tauladan yang baik kepada keseluruhan rakyat Malaysia.
Dalam keghairahan mahu dilihat bersifat antarabangsa juga pihak pentadbiran awam, swasta, universiti dan sebagainya tidak perlu mengabaikan bahasa Melayu dalam program-program anjuran mereka.
Kuasailah bahasa-bahasa asing sebanyak mungkin, ungkapkan bahasa-bahasa tersebut dengan betul dan pastikan bahasa ibunda tetap diperjuangkan.
Semoga Bulan Bahasa Kebangsaan yang sedang berlangsung ini mampu meningkatkan kesedaran kepada rakyat Malaysia untuk memantapkan penguasaan bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu demi negara Malaysia yang tercinta.
Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad
Exco Pendidikan dan Penyelidikan
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia
Sumber : http : //ww.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan