Isnin, 16 Mei 2011

ISU BAHASA : Peranan radio memartabatkan bahasa Melayu

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

SETIAP kali berada di selatan semenanjung Malaysia, iaitu Johor dan beberapa tempat di Melaka, saya tidak akan melepaskan peluang mendengar siaran dua saluran radio bahasa Melayu dari Singapura.

Dua saluran radio itu ialah Ria FM dan Warna FM. Persembahannya tidak banyak beza dengan saluran radio di tanah air kita. Mereka masih menyampaikan maklumat semasa kepada pendengar. Pada masa yang sama, melayan panggilan pendengar dan menyiarkan lagu popular semasa.

Sesuatu yang berbeza agak ketara dengan stesen radio kita adalah penyampai atau juruhebah di kedua-dua saluran itu menggunakan sebutan bahasa Melayu Johor-Riau dengan betul.

Memang kali pertama mendengar bahasa Melayu dalam sebutan baku terasa agak lucu, tetapi lama-kelamaan ia menjadi sedap pula untuk didengar.

Kita juga mendapati juruhebah yang ke udara tidak berasa kekok atau janggal apabila bertutur bahasa Melayu dalam sebutan baku ini.

Walaupun menerima dan melayan panggilan daripada pendengar yang menggunakan bahasa Melayu bercampur aduk dengan bahasa Inggeris, tetapi penyampai atau juruhebah tetap dengan sebutan bahasa Melayu dengan betul. Mereka tidak terikut-ikut atau mempersendakan pendengar.

Sebaliknya boleh kita rasakan pendengar secara tidak langsung terikut-ikut dengan pertuturan bahasa Melayu Johor-Riau yang digunakan oleh juruhebah radio berkenaan.

Bukan saja persembahan, tetapi iklan komersial dan iklan promo dalam Ria FM dan Warna FM juga turut menggunakan sebutan bahasa Melayu baku, jauh sekali bahasa Melayu rojak.

Ria FM dan Warna FM adalah antara 15 stesen radio di bawah Media Corp yang dimiliki oleh Temasek Holdings iaitu organisasi perniagaan dikuasai kerajaan Singapura. Media Corp ialah syarikat media utama yang mengendalikan sembilan stesen TV termasuk HDTV dan Mobile TV, 15 saluran radio, sebuah akhbar dan 18 majalah.

Walaupun mempunyai kepentingan kerajaan, tetapi dua saluran radio berbahasa Melayu di Singapura itu beroperasi secara swasta. Kedua-dua saluran radio ini masih bersaing berebut pendengar tetapi mereka seolah-olah bersatu dalam hal memartabatkan bahasa Melayu.

Di Malaysia, wujud kira-kira 60 saluran radio dan lebih separuh daripadanya beroperasi di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia. Selebihnya dikendalikan syarikat swasta. Sama ada swasta atau kerajaan, corak persembahan stesen radio negara kita boleh dikatakan sama saja.

Dalam keghairahan bersaing merebut pendengar, pengendali dan penyampai atau juruhebah radio kita lupa untuk menggunakan sebutan bahasa Melayu yang betul.

Sudah berbuih pemimpin dan menteri berkaitan mengingatkan stesen radio berbahasa Melayu supaya jangan menggunakan bahasa Melayu rojak. Namun, ingatan, saranan dan setiap pesanan itu ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Bagi kebanyakan stesen radio ini, khususnya penyampai atau juruhebah, bagaikan tidak sah dan mungkin kedengaran kurang moden kalau tidak menggunakan bahasa Melayu rojak dan lintang pukang. Atau apakah terasa kolot kalau menggunakan bahasa Melayu dengan sebutan yang betul dengan tidak ada langsung campur aduk dengan bahasa lain?

Tidak hilang seri dan kemeriahannya kalau menggunakan bahasa Melayu baku. Mula-mula agak janggal atau kekok, sama ada untuk disebut dan didengar. Tapi kalau digunakan setiap hari, lama kelamaan boleh menjadi kebiasaan.

Sekarang, kita selalu menemui kaum bukan Melayu bertutur bahasa Melayu dengan baik pada sebutan, nahu dan tata bahasanya. Ia lebih baik daripada orang Melayu sendiri. Ini bermakna kalau kaum atau bangsa lain lebih tahu macam mana menggunakan bahasa Melayu dengan betul, tidakkah kita orang Melayu berasa malu kerana cara pertuturan kita yang entah apa-apa?

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila stesen radio bahasa Melayu memberikan teladan tidak elok kepada bangsa bukan Melayu kerana menunjukkan pertuturan dan penggunaan bahasa Melayu yang tunggang langgang.

Sejak kebelakangan ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin sering kali memberi kenyataan mengenai usaha untuk memantapkan dan memartabatkan bahasa Melayu, bahasa rasmi negara Malaysia seperti mana termaktub dalam Perlembagaan negara kita.

Bagi kita, bukan saja radio bahasa Melayu tetapi saluran radio bahasa Inggeris boleh sama-sama memainkan peranan mendaulatkan bahasa Melayu. Antaranya mewujudkan segmen atau peraduan menterjemahkan ayat bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Malahan, radio bahasa inggeris ini juga boleh mengadakan ruangan seminit dua bertutur bahasa Melayu.

Ini pastinya bukan saja menarik pendengar aliran inggeris tetapi orang asing yang menetap lama di negara kita tetapi berminat untuk memahami bahasa Melayu.

Kita tidak menafikan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Namun, bahasa ialah jiwa dan identiti bangsa. Tidak kira apa kaum sekalipun, identiti kita sebagai bangsa Malaysia adalah melalui bahasa, iaitu bahasa Melayu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan