Oleh HASAN AL-BANNA MOHAMED
DALAM dekad yang mutakhir ini, terlalu banyak dugaan menimpa golongan pekerja termasuk guru yang sering digelar antaranya dengan nama pendidik, pensyarah, tutor, fasilitator, mentor, Murabbi, Muaddib, Musyrif, Mudarris, Mu'allim, Mursyid dan seumpamanya.
Dalam pada itu, sering kali juga, kita mendengar dan melihat di paparan elektronik ataupun media cetak dihebahkan berita-berita sensasi yang berkaitan sektor pendidikan.
Antaranya segelintir pelajar malas belajar, suka tidur dalam kelas, ponteng, gejala samseng yang meruncingkan, berkhalwat, buang bayi, berzina, merempit, merokok serta terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan pelbagai lagi kebejatan sosial yang berlaku.
Bukan setakat itu, dugaan yang datang daripada segelintir guru sendiri tidak kurang hebatnya seperti wujud sekelompok guru yang suka meminjam along, malas mengajar, merotan pelajar hingga cedera dan mati, mengalami tekanan mental, merogol anak murid, memberi markah secara timbangan dan sebagainya. Semua cerita berkaitan pelajar dan guru tersebut membawa seribu macam tohmahan dan cacian terhadap profesion perguruan ini.
Sedangkan profesion guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T. dan banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang menyarankan umat manusia untuk menjadi pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain.
Dalam Sirah Nabawiyyah sendiri turut memaparkan konsep dan sistem pengurusan pendidikan yang diajar melalui teknik tersendiri oleh Allah S.W.T. menerusi perantaraan malaikat Jibril a.s. semasa penurunan wahyu pertama 'Iqra' di Gua Hira'. Malah Baginda S.A.W. menegaskan bahawa menuntut ilmu adalah suatu kewajipan bagi setiap individu dan hendaklah diajarkan kepada orang lain walaupun hanya satu ayat.
Tambahan pula ajaran Islam menekankan kelebihan amalan pendidikan dengan meletakkan seseorang yang berilmu pada darjat yang sangat tinggi dan mulia. Maksud firman Allah S.W.T. dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 yang bererti : 'Allah akan meninggikan orang yang beriman antara kamu dan juga orang yang diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat (kemuliaan). Dan Allah Maha Mengetahui segala yang kamu kerjakan'. Bukan setakat itu sahaja kelebihannya, jika individu tersebut sedang menuntut ilmu pengetahuan tiba-tiba meninggal dunia, maka beliau dianggap sebagai gugur Syahid. Betapa besar ganjaran yang diperolehi semasa di dunia dan apatah lagi ganjaran yang menantinya pada hari akhirat kelak.
Begitulah hebatnya seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan menyampaikannya kepada masyarakat agar sesebuah komuniti tidak dibayangi dengan sifat jahiliyyah atau berada dalam zaman kegelapan. Oleh itu, Islam telah memaparkan konsep menuntut ilmu secara berterusan yang diasaskan oleh junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. melalui hadisnya yang masyhur iaitu: 'Tuntutlah ilmu dari buaian sehinggalah ke liang lahad'.
Justeru, sempena Hari Guru pada 2011 ini dengan bertemakan "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" memerlukan setiap warga pendidik untuk memperbaharui niat yang ikhlas dalam diri demi memberikan sumbangan terbaik kepada anak bangsa dan mampu melahirkan modal insan yang berkualiti, kreatif serta inovatif bukan sahaja dari aspek material, kognitif, sosial, ekonomi atau komunikasi; akan tetapi yang lebih penting aspek spiritual atau kerohanian.
Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Isa Abu pada 9 Mei lalu dalam satu rancangan khas TV1 sempena sambutan Hari Guru 2011 Peringkat Kebangsaan bahawa peranan seorang guru terbahagi kepada tiga peranan utama.
Pertamanya, guru hendaklah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak murid, kedua, mengajar kemahiran-kemahiran dan peranan ketiga yang amat penting adalah menerapkan nilai-nilai dan akhlak mulia dalam diri seorang pelajar.
Lantaran itu, seorang pendidik yang hebat semestinya perlu mempunyai kemahiran mengurus dalam segala aspek duniawi serta ukhrawi secara sempurna mengikut sistem pengurusan yang disarankan oleh ajaran Islam.
Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa sistem pengurusan Islam perlu dijadikan satu budaya kerja seharian yang sebati dalam diri setiap individu pendidik bagi mengurus para pelajarnya ataupun dalam urusan pengajaran, pembelajaran dan pentadbiran organisasi atau di institusi pendidikan itu sendiri.
Sistem pengurusan Islam amat berbeza sekali dengan sistem lain. Hal ini kerana ia berpaksikan kepada konsep Tawhidik iaitu keyakinan yang sebenar kepada Tuhan yang Maha Pencipta dan Maha Esa serta kepercayaan sepenuhnya kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W. sebagai pesuruh Allah S.W.T. Malah, menerusi konsep Rabbaniyyah dan Uluhiyyah yang diimani oleh seseorang Muslim, turut akan melahirkan tenaga kerja yang mampu mengurus segala urusan pentadbiran dengan menjadikan sebagai satu ibadat yang murni dengan niat yang suci semata-mata kerana Allah S.W.T.
Rentetan itu, Islam telah membawa nilai Itqaan (kesempurnaan) sebagai salah satu prinsip dalam sistem pengurusan dan pentadbiran yang efisien dan efektif.
Nilai Itqaan hendaklah dijadikan sebagai satu nilai wajib dalam diri setiap pendidik agar dapat menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh akauntabiliti dan berintegriti tinggi. Tambahan pula nilai Itqaan sememangnya dapat dijadikan sebagai budaya kerja berkualiti bagi merealisasikan segala hasrat atau pelan transformasi pihak kerajaan demi mencapai gagasan dan wawasan yang dicita-citakan.
Nilai Itqaan telah pun diterangkan oleh junjungan besar nabi Muhammad S.A.W. menerusi hadisnya yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a. yang berkata: "Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyukai sekiranya seseorang melakukan sesuatu perbuatan secara Itqaan atau bersungguh-sungguh (sempurna)" (Riwayat al-Baihaqi).
Jelaslah bahawa sistem pengurusan Islam yang berpaksikan konsep Tawhidik dengan nilai tambahan budaya Itqaan sudah semestinya melahirkan setiap warga pendidik sentiasa berpuas hati dan gembira dengan profesion mereka demi mendidik anak bangsa seikhlas hati agar menjadi manusia berjasa kepada agama, bangsa dan negara tercinta.
Tugas guru bukan hanya mencurahkan segala bakti kepada para pelajarnya menjadi manusia cemerlang dalam bidang akademik, namun yang lebih penting adalah guru itu berupaya mengurus aktiviti pengajaran dan pembelajaran berasaskan sistem pengurusan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai seorang idola sepanjang zaman yang membawa rahmat sekalian alam. Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Anbiya', ayat 107 yang bermaksud : 'Dan tidak Kami utuskan Kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat (kesejahteraan) bagi semesta alam'.
HASAN AL-BANNA MOHAMED ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan