Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang menyatakan rasa kesal kerana tragedi tanah runtuh melibatkan Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa Felcra Semungkis, Batu 14 Hulu Langat sebenarnya boleh dielakkan.
Ini kerana, pihak berkenaan mengesan pergerakan tanah di kawasan itu sebelum ini tetapi tidak melaporkan kepada pihak bertanggungjawab.
Berdasarkan kenyataan tersebut, jelas sekali rakyat Malaysia kurang berpengetahuan tentang elemen alam sekitar yang perlu diberi perhatian untuk mengelakkan berlakunya tragedi.
Peristiwa tanah runtuh di Madrasah At-Taqwa bukanlah kali pertama di negara kita. Malah sudah berulang kali.
Namun kejadian sebelum ini seolah-olah tidak pernah menjadi pengajaran kepada sesiapapun. Pembinaan struktur bangunan di kawasan lereng bukit masih lagi berleluasa.
Ilmu pengetahuan diiringi dengan kesedaran yang akan membentuk amalan yang baik terhadap alam sekitar amat penting diterapkan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bukan tidak ada usaha ke arah menerapkan pendidikan alam sekitar, namun keupayaan untuk melaksanakan secara sempuna adalah terbatas.
Pelbagai kempen alam sekitar dilaksanakan tetapi usaha ini masih lagi tidak memberi kesedaran sepenuhnya kepada rakyat Malaysia. Dalam Kurikulum Pendidikan Negara, Pendidikan Alam Sekitar adalah satu bentuk nilai yang merentas kurikulum.
Pendidikan Alam Sekitar perlu diterapkan dalam semua mata pelajaran yang diajar bermula peringkat prasekolah lagi. Malah Jabatan Alam Sekitar sendiri menyediakan Modul Pendidikan Alam Sekitar khas untuk pelajar prasekolah.
Guru perlu melaksanakan penerapan Pendidikan Alam Sekitar ini secara langsung dan tidak langsung. Justeru, dengan sedikit nilai yang diterapkan kemungkinan generasi yang masih kecil pun pasti sedar tentang kepincangan pengurusan alam sekitar yang banyak berlaku hari ini.
Namun, apa yang sangat mengecewakan hari ini ialah peminggiran subjek yang menjurus kepada alam sekitar seperti mata pelajaran Geografi.
Apabila pelajar belajar Geografi, pengetahuan tentang gejala alam sekitar seperti tanah runtuh ini dapat didedahkan dalam topik tertentu.
Dalam kurikulum hari ini Geografi ditekankan hanya sedikit dalam Kajian Tempatan.
Geografi hanya menjadi mata pelajaran wajib bagi Tingkatan Satu hingga Tiga sahaja.
Semasa di Tingkatan Empat dan Lima, Geografi menjadi subjek elektif dan tidak banyak pula sekolah yang memilih subjek ini sebagai mata pelajaran elektif yang ditawarkan.
Justeru, semakin jauhlah pengetahuan alam sekitar yang diketahui oleh rakyat Malaysia.
Di peringkat Institut Pendidikan Guru, subjek Pendidikan Alam Sekitar hanya diberikan kepada pelajar KPLI dan KDPM sahaja. Di peringkat ijazah tidak diberikan kecuali guru pelatih yang mengambil major Pengajian Sosial.
Namun, lebih memburukkan lagi di peringkat Institut Pendidikan Guru mata pelajaran Geografi dalam kurikulum Peringkat Persediaan dan Ijazah akan dihapuskan sama sekali bagi bakal guru yang mengambil major Pengajian Sosial.
Kursus Pengajian Sosial yang asalnya terkandung bahagian Geografi diganti sepenuhnya dengan Sejarah yang pada dasarnya untuk menangani masalah patriotisme dalam kalangan remaja yang semakin berkurangan.
Untuk pengetahuan semua, kesedaran alam sekitar juga adalah salah satu daripada nilai patriotisme yang mesti diterapkan.
Justeru, sebagai satu usaha untuk meningkatkan pengetahuan alam sekitar dalam kalangan rakyat Malaysia, tekankanlah Pendidikan Alam Sekitar dan mata pelajaran berkait alam sekitar seperti Geografi.
Tindakan ini mungkin boleh dijadikan sebahagian usaha untuk menyelesaikan isu alam kitar di negara kita.
NOR RUL AZLIFAH ZULKAFALI
IPG Kampus Bahasa Melayu,
Kuala Lumpur
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan