Oleh FELIX LIMSEJAK akhir-akhir ini, khususnya dalam ruangan surat daripada pembaca di akhbar-akhbar utama, begitu banyak sekali perdebatan berkaitan dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diperkatakan secara mendalam.Mentaliti dan kecenderungan ibu bapa hari ini ialah untuk menghantar anak-anak ke kolej swasta dan luar negara bagi mengikuti program A-Level. Malah kerajaan juga telah menghabiskan begitu banyak peruntukan untuk membiayai pelajar-pelajar kita mengikuti program A-Level di luar negara atau kolej-kolej persediaan ke luar negara.Kerajaan sepatutnya memberi lebih banyak tumpuan dan usaha untuk menggalakkan pelajar-pelajar kita memilih STPM.Hal ini kerana hanya STPM sahaja medium yang benar-benar dapat menguji tahap kecemerlangan seseorang pelajar itu berbanding apa yang telah mereka capai di peringkat SPM.Malah sesetengah pemegang biasiswa JPA dengan keputusan SPM yang cemerlang gagal untuk mengulangi kecemerlangan mereka di peringkat pra-universiti. Salah satu sebabnya ialah kerana, standard SPM itu sendiri dikhuatiri telah menurun dan beberapa pelajar yang memperoleh keputusan ‘A’ di peringkat SPM pada hakikatnya tidak layak untuk menerima markah tersebut.Sesetengah daripada mereka tidak boleh menulis ayat yang mudah sama ada dalam bahasa Inggeris apatah lagi dalam bahasa kebangsaan dan asas pengetahuan Matematik dan Sains mereka adalah pada tahap sederhana sahaja.Bagaimanapun STPM masih mengekalkan reputasinya sebagai peperiksaan yang paling sukar di dunia dan di peringkat inilah para pelajar cemerlang di peringkat SPM akan benar-benar diuji.Mereka yang mampu mengekalkan keputusan cemerlang di kedua-dua peringkat inilah yang sepatutnya dipertimbangkan untuk pemberian biasiswa persekutuan mahu pun negeri.Jika tidak, untuk jangka masa panjang, STPM akan menjadi peperiksaan awam yang tidak ada maknanya lagi kepada negara.
FELIX LIM, KUALA LUMPUR
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan