Isnin, 26 Disember 2011
ISU PENDIDIKAN : Menangani Kes Salah Laku Pelajar Melalui Sentuhan Kerohanian
1 HUKUMAN selalu sahaja dilihat sebagai bahagian paling penting dalam pelaksanaan sesuatu peraturan atau disiplin di sekolah. Apabila sesuatu peraturan atau undang-undang gagal mengurangkan atau membasmi gejala salah laku, orang ramai selalu sahaja menyalahkan hukuman yang dikenakan kepada pesalah. Konon-kononnya hukuman yang dikenakan tidak memadai, tidak setimpal atau pun kurang berkesan. Jarang-jarang cuba melihat kepada aspek lain seperti penguatkuasaan peraturan itu sendiri. Atau bagaimana sesuatu hukuman itu dilaksanakan?
2 Sesuatu itu dikatakan hukuman hanya apabila mengandungi tiga elemen penting berikut. Pertama ia bersifat memberi balasan kepada sesuatu kesalahan. Kedua dijalankan oleh orang yang berkuasa. Dalam konteks sekolah kuasa itu hanya diberikan kepada Pengetua atau guru besar.
3 Apabila pengetua menamakan seseorang untuk melaksanakan sesuatu hukuman bagi pihaknya, ia sewajarnya memperturunkan kuasa menjalankan hukuman itu kepada orang yang mewakilinya. Biasanya orang yang memang ada kaitan dengan masalah disiplin pelajar seperti Penolong Kanan HEM atau guru disiplin. Diperturunkan kuasa bukan bererti kuasa itu bertukar tangan daripada seorang pengetua atau guru besar kepada orang berkenaan. Kuasa tetap ada pada pengetua itu. Ketiga, hukuman itu bersifat positif yang menyakitkan atau menafikan sesuatu yang disukai.
4 Terdapat sekurang-kurangnya empat nilai sesuatu hukuman itu, iaitu memberi kesan mencegah, memberi kesan mengawal, menimbangkan pemulihan dan untuk mengelakkan “damage control”.
5 Hukuman yang dilaksanakan di sekolah-sekolah boleh berupa daripada seringan-ringannya seperti amaran, denda, penahanan (detention) dan hukuman dera (corporal punishment) sehinggalah kepada seberat-beratnya seperti penggantungan dan pembuangan seseorang pelajar itu.
6 Setiap satu peringkat hukuman itu pula ada tahap-tahapnya. Sebagai contoh jika amaran diguna pakai sebagai jenis hukuman, ia bermula daripada amaran pertama, amaran kedua dan begitulah seterusnya. Begitu juga dengan rotan. Seseorang pelajar itu boleh dikenakan satu atau dua rotan. Itu bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan.
7 Tentunya apabila sesuatu hukuman itu dilaksanakan ia melibatkan beberapa proses. Apakah wajar sesorang pelajar yang tidak datang ke sekolah tiba-tiba sahaja menerima surat penggantungan sedangkan proses sebelumnya tidak dilalui seperti diberi surat amaran atau ditegur.
8 Jika surat itu dikeluarkan pun adalah wajar dipastikan ianya sampai atau diterima oleh ibu bapa atau penjaga pelajar berkenaan. Maksudnya adakah setiap tahap pelaksanaan sesuatu proses hukuman itu telah dilalui dan jika dilalui adakah ia dilakukan dengan cara-cara yang sewajarnya. Atau lebih tepat dikatakan sebagai cara-cara yang memang legal dan sah mengikut perundangan.
9 Perkara di atas penting kerana dari sinilah masalah akan timbul, iaitu apabila sesuatu hukuman hendak dikenakan ke atas pelajar. Malahan di sinilah “perangkap” yang selalu diguna kembali oleh mahkamah apabila sesuatu prosiding dijalankan. Sebagai contoh, kegagalan guru Tingkatan mematuhi setiap tahap dalam memberi amaran sebelumnya boleh sahaja digunakan oleh mahkamah untuk membuktikan bahawa defendan sebenarnya tidak bersalah. Ia seolah-olah mahu membuktikan bahawa defendan tidak mendapat hak yang sewajarnya sebelum sesuatu hukuman itu dikenakan ke atasnya oleh pihak sekolah. Maksudnya apabila prosedur awal tidak diikuti, bagaimana mungkin ia melompat kepada tahap berikutnya.
10 Saya kira jelas bahawa jenis hukuman yang sedia ada sudah memadai dan meliputi. Jika ia dikuatkuasakan sepenuhnya dan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan ia memang mampu mengurangkan kes salah laku walaupun untuk menyatakan membasmi agak keterlaluan.
11 Tetapi persoalannya mengapa berlakunya peningkatan kes salah laku di kalangan pelajar. Adakah hukuman sedia ada perlu ditambah seperti memalukan pelajar di khalayak ramai. Atau dihukum seratus rotan seperti kesalahan berzina sebagaimana yang terkandung dalam hukuman hudud. Atau disebat dengan penyapu, ditendang atau diterajang atau dicucuk benda tajam atau bentuk-bentuk hukuman sadis yang lain.
12 Atau tok ketampi dua puluh kali. Atau dicubit perut mereka. Atau ditarik telinga mereka. Atau dimaki hamun sahaja mereka ini. Saya memberikan contoh-contoh ini kerana memang jenis-jenis “hukuman tambahan” seperti ini kerap digunakan oleh seseorang guru semasa saya bersekolah dahulu dan semasa saya menjadi guru pun. “Hukuman tambahan” ini menjadi semakin biasa bagi sesetengah guru. Adakah wujudnya hukuman-hukuman di balik tabir atau the hidden punishment ini yang menyebabkan pelajar semakin marah kepada guru-guru atau pihak sekolah yang akhirnya menyebabkan berlaku salah laku? Adakah ini sebagai akibat daripada rasa ketidakpuasan hati mereka terhadap hukuman-hukuman tambahan ini?
13 Tentu ada yang tidak kena. Bagi saya, saya tetap mempertahankan jenis-jenis hukuman yang sedia ada sebagaimana yang ditetapkan oleh kementerian pendidikan. Bagi saya jenis hukuman itu memadai dan meliputi bagi seseorang pelajar. Adalah tidak wajar pelajar yang sedang belajar apabila melakukan kesalahan disamakan dengan orang salah di luar. Pelajar tidak wajar dilayan sebagai orang salah seperti kita melayan banduan yang dilokap atau disel oleh pihak polis. Guru tidak akan menjadi polis sampai bila-bila. Guru adalah guru dan ia tidak boleh dibenarkan menjadi polis walau sesaat pun. Apabila guru menangani sesuatu kes salah laku, ketika ia menangani kes itu ia tetap seorang guru.
14 Malahan apabila Pengetua atau orang yang diturunkan kuasa menghukum seseorang pelajar hukuman itu dijatuhkan atau dilaksanakan oleh seorang pengetua bukan seorang polis. Di sinilah sakralnya pendidikan. Di sinilah bezanya pendidikan.
15 Pendidikan melihat pelajar ada peluang untuk melakukan kesalahan sebagaimana mereka jada peluang untuk berbuat baik. Dan apabila mereka membuat kesalahan ia wajar dikenakan hukuman yang boleh menyedarkan dirinya bahawa perbuatan yang dilakukannya itu salah dan boleh memudaratkan bukan sahaja dirinya, tetapi juga orang lain. Maknanya setiap hukuman yang dijalankan di peringkat sekolah, ia dijalankan dengan pendidikan dan pengajaran sebagai terasnya, bukan semata-mata hukuman per se. Ini dilakukan dengan harapan bahawa tempoh pendidikan yang dilaluinya selama di sekolah akan menjadikannya orang yang baik suatu hari nanti.
16 Cara mengenakan hukuman mungkin menjadi salah satu sebab mengapa kes salah laku bertambah. Katakan seseorang pelajar itu akan dirotan. Itulah satu-satunya hukuman yang patut diterima oleh pelajar berkenaan bukan yang lain-lain. Tetapi apa yang berlaku pelajar telah dihukum beberapa kali sebelum hukuman sebenar atau merotan itu dilaksanakan. Malahan pelajar itu nanti akan dihukum lagi dan lagi dan lagi selepas hukuman merotan dijalankan.
17 Sebelum pelajar itu dihukum ia sudah dinista oleh sebahagian guru. Berbagai-bagai kata kesat dituju kepada pelajar berkenaan sama ada secara langsung atau tidak. Kesannya hukuman yang dijalankan tadi sedikit pun tidak memberi kesan atau sakit ke atas pelajar tadi. Ia tidak berupaya lagi menumbuhkan rasa keinsafan daripada hati kecilnya serentak dengan rotan yang hinggap di punggungnya atau di telapak tangannya kerana di dalam hatinya sudah terlalu sakit mendengar kata-kata hina gurunya itu. Baginya kata-kata kesat guru yang menghukum dan bagaimana guru menangani kesnya adalah hukuman yang tidak dapat ia terima. Maka timbullah rasa marah, dendam, benci dan memberontak dalam diri pelajar itu.
18 Selain itu, hubungan kejiwaan antara guru-guru dengan pelajar-pelajar harus dijaga sepanjang masa seperti juga hubungan kejiwaan yang terjalin antara anak yang baik dengan ibu bapa yang soleh. Ia adalah perlindungan semulajadi bagi seseorang pelajar yang dikurniakan oleh Tuhan.
19 Setiap guru harus berupaya mendidik hatinya agar ada rasa belas kasihan, dan husnu dzan kepada setiap pelajarnya termasuklah pada saat-saat hukuman hendak dilaksanakan. Ia tetap Pengetua semasa ia marah atau tidak. Hak-hak untuk didengar, membela diri dan mengetahui tentang kesalahan dan sebab-sebab ia dihukum. Kasihanilah mereka sebagai insan-insan kerdil yang mengharapkan belaian kasih sayang, perhatian dan bimbingan daripada kita.
20 Janganlah ada terdetik di hati kecil kita perasaan benci kepada mereka semasa kita melaksanakan hukuman kerana takut-takut ia menjadi doa untuk mereka. Takut-takut kita juga akan menerima kiriman yang menyakitkan daripada hati mereka yang tergores itu. Apabila kita mengirimkan perasaan benci kepada murid-murid kita, kita seolah-olah sedang memindahkan gelombang-gelombang negatif kepada diri pelajar tadi.
21 Jika minda terancang pelajar tadi tidak berupaya menghalang kemasukan gelombang negatif ke dalam minda terpendam, dikhuatiri ia akan menerima semua gelombang itu tanpa tapisan lagi memandangkan minda terpendam itu buta sifatnya. Maka jika ini berlaku dikhuatiri pelajar tadi akan akur dengan gelombang tadi lalu menerima hakikat yang dirinya memang seperti itu-jahat dan tak berguna. Seluruh mood dan sikapnya akan berubah, termasuk pandangannya kepada guru tadi.
22 Dalam erti kata lain ia juga akan memindahkan perasaan bencinya juga kepada guru yang membencinya. Inilah kuasa mental fax dan spritual linking yang tidak boleh dianalisis secara saintifik yang dianugerahi Tuhan kepada setiap insan, terutama mereka yang mempunyai pertalian rapat antara satu sama lain, seperti antara suami isteri, anak dengan ibu bapa, antara adik beradik dan antara guru-guru dengan pelajarnya.
23 Kita sebagai guru hanya memberikan yang terbaik kepada anak murid kita. Pastinya yang terbaik itu kita berikan dengan cara yang terbaik juga. Seperti halnya dengan kiriman dan pemberian, kita sewajarnya mengirimkan yang terbaik sahaja untuk anak murid kita. Sebab itu tindakan guru, termasuk ibu bapa dahulu boleh diterima oleh kita walaupun tindakan mereka dikatakan sangat keras berbanding dengan ibu bapa dan guru sekarang. Mereka merotan kita tetapi kita boleh menerimanya. Ketika mereka menghayun rotan itu mereka ingin menjadikan kita manusia berguna. Ketika mereka menghayunkan rotan ke arah kita mulut mereka berkata kepada kita anak bertuah atau murid bertuah.
24 Akhirnya kita pun menjadi manusia berguna. Inilah tuah yang dimaksudkan. Inilah juga barakah daripada sesuatu hukuman yang dikenakan oleh tangan-tangan bersih yang lahir daripada hati-hati yang bersih.
25 Inilah kuasa sentuhan hati, tetapi kuasa inilah yang jarang-jarang digunakan kerana apabila rotan dihayunkan hati penuh dengan kemarahan dan “membengkak” sambil mulut memaki hamun ikut suka hati. Mata pula memandang dengan cara yang cukup sinis dan penuh kebencian.Lebih tepat lagi kita menghukum mereka ketika kita marah. Akibatnya, apabila rotan hinggap di punggung ia langsung tidak memberikan bekas dan membawa apa-apa makna kepada diri pelajar itu selain kemarahan, kebencian dan dendam.
26 Marilah kita gunakan balik kaedah guru-guru kita dahulu dalam melaksanakan sesuatu hukuman. Marilah kita menggunakan pendekatan minda fax dan kerohanian setelah cara yang kita gunakan selama ini gagal membentuk insan seimbang yang diharapkan. Apa salahnya sebelum seseorang pengetua dan guru yang diperturunkan kuasa merotan atau menjalankan sesuatu hukuman mengambil wuduk, beristighfar banyak-banyak atau solat sunat dua rakaat memohon petunjuk daripada Allah.
27 Apalah salahnya sekiranya kita berkunjung ke rumah pelajar yang pernah kita hukum itu, belanja dia makan atau mengajaknya tidur di rumah kita. Tidak adilkah kita apabila melayan pelajar yang pernah bersalah dengan layanan yang baik serupa dengan pelajar yang lain juga. Atau membiarkan mereka dihukum untuk selama-lamanya disebabkan satu kesalahan yang mereka lakukan. Apakah wajar dengan hanya satu kesalahan mereka diletakkan dalam kandang orang salah untuk selama-lamanya.
28 Sebagai pendidik, tidak kiralah siapa kita – pengetua, guru disiplin, kaunselor atau guru biasa, marilah kita memuhasabah diri kita tentang apa yang telah kita lakukan kepada pelajar-pelajar kita selama ini. Berapa banyak pujian dan kata-kata baik yang kita ungkapkan kepada murid-murid kita sepanjang hari ini berbanding kata-kata kesat dan keji. Berapa kali kita memandang pelajar dengan pandangan sinis, benci, berbanding dengan pandangan yang jernih, penuh harapan dan kasihan. Berapa kali terdetik di hati kita perasaan benci, berbanding perasaan empati dan husnu dzan. Berapa banyak perkataan terima kasih yang kita gunakan kepada pelajar-pelajar kita sebagaimana yang kita selalu harapkan mereka melakukannya. Berapa senyuman yang kita ukirkan berbanding dengan wajah yang mencuka, murung dan tidak ceria.
29 Berapa kerap sentuhan yang kita lakukan ke atas pelajar kita dengan penuh rasa kasih sayang dan insaf dalam suatu hari, berbanding dengan tindakan-tindakan agresif dan keterlaluan yang kita hadapkan kepada mereka. Berapa kali dalam sehari kita berbual tentang anak murid kita yang konon-kononnya bodoh, lemah dan tidak ada harapan berbanding kesungguhan kita untuk membantu mereka untuk menjadi manusia berjaya dan berguna. Pernahkah kita mendoakan kesejahteraan anak murid kita sebagaimana mereka mendoakan kesejahteraan kita. Jika pernah berapa kali kita lakukannya dalam sehari.
30 Mengapa kita tidak menggunakan alat-alat ini dalam mendidik pelajar-pelajar kita sedangkan alat-alat inilah yang digunakan oleh para nabi, para wali, datuk nenek dan guru-guru kita suatu ketika dahulu. Generasi terdahulu telah telah berjaya mendidik kita menjadi manusia yang berguna.
31 Tegasnya sebanyak mana pun hukuman yang dikenakan ke atas seseorang pelajar itu, ia tidak akan menimbulkan keinsafan ke atas diri pelajar berkenaan jika hukuman itu dilaksanakan daripada tangan yang kotor dan hati yang tidak bersih. Hati para pengetua dan guru-guru wajar dibersihkan. Ini bukan dilakukan dengan mandi taubat atau minum air jampi atau melalui aktiviti pembersihan (yaqazah), tetapi melalui bimbingan rohani dan jiwa yang mendalam dalam bidang tasauf, satu bidang yang bukan lagi menjadi pilihan, tetapi keutamaan kepada pentadbir sekolah.
32 Kitab-kitab tasauf yang muktabar seperti ihya’ ulumuddin, dan kitab-kitab pendidikan hati yang lain patut dibaca oleh setiap pengetua. Para ulama’ seperti ustaz Amran Kasimin dan ustaz Abu Hassan Din al-Hafiz lebih mendesak untuk digunakan perkhidmatan mereka berbanding seorang peguam atau pegawai polis. Pakar motivasi seperti Dato’ Dr Fadzilah Kamsah, Dr. Shukri Abdullah dan lain-lain wajar. Nama-nama besar seperti Tun Dr. Mahathir dan pemikirannya wajar disebut berkali-kali dan dijadikan contoh pada setiap masa.
33 Jika ada program atau kursus dalam perkhidmatan dan kursus peningkatan profesionalisme yang dijalankan, subjek atau topik yang berkaitan dengan bidang tasauf atau pendidikan hati ini wajar dimasukkan. Pengetua bukan sahaja patut menghafal pekeliling yang berkaitan dengan pelaksanaan disiplin, tetapi mereka patut berupaya membacakan ayat-ayat Quran dan doa-doa tertentu kepada pelajar-pelajar ini. Selain itu ia juga berupaya memetik kata-kata suci Budha, Tao dan Lao.
34 Kesimpulan daripada perbincangan saya tadi jelas membuktikan metode kebendaan dan nafsu yang digunakan selama ini dalam menangani masalah disiplin tidak akan berjaya jika sentuhan yang dilakukan ke atasnya tidak disertai dengan “tangan-tangan Tuhan”. Marilah kita hadirkan Tuhan semasa kita melaksanakan hukuman tadi kerana yang terbaik itu hanyalah daripada Tuhan, sedangkan kita masih lemah dalam banyak perkara. Kita hendaklah sedar untuk selamanya bahawa kita tidak boleh mengambil alih kerja Tuhan walau bagaimana baiknya kita dan sehebat manapun usaha yang kita lakukan. Oleh itu janganlah kita tinggalkan Tuhan kita dalam aspek yang penting ini.
Sumber : http://gurubashid.com/blog/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan