Isnin, 26 Disember 2011
ISU SOSIAL : Kebijaksanaan harungi umur yang panjang
Oleh ROHAMI SHAFIE
SETIAP kali keputusan peperiksaan peringkat negara diumumkan, suasana kegembiraan dipaparkan di dada-dada akhbar bagi para pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang.
Minggu lalu, sekali lagi seperti biasa ramai pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Sejumlah 34,271 calon PMR 2011 mendapat gred A semua mata pelajaran. Tidak sebagaimana 20 tahun lalu, tidak ramai memperoleh keputusan cemerlang. Persaingan sesama pelajar semakin sengit. Tidak semua yang cemerlang akan diterima sebagai pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Bagi yang tidak berjaya memasuki sekolah-sekolah cemerlang ini, tidak perlu kecewa. Ramai sahaja bekas-bekas pelajar sekolah harian biasa yang mampu berjaya dalam kehidupan masing-masing.
Lagipun, berilah peluang kepada pelajar yang benar-benar kurang mampu dan miskin memasuki SBP dan MRSM. Yang kaya, usahlah mengambil tempat mereka yang benar-benar cemerlang dalam erti kata sebenar. Bukan senang memperoleh semua A dalam keadaan yang miskin dan daif berbanding yang kaya segala-galanya mudah terutamanya sentiasa dihantar ke pusat-pusat tuisyen terkemuka untuk "berjaya" memperoleh semua A.
Sekali imbas keputusan peperiksaan peringkat negara menggambarkan kualiti pendidikan rakyat Malaysia semakin meningkat. Sebenarnya, kualiti kehidupan rakyat negara ini jauh lebih baik berbanding ketika kita mula mencapai kemerdekaan. Baik pendidikan mahupun kesihatan, rakyat Malaysia menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik berbanding generasi terdahulu.
Ini terbukti apabila purata jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat. Purata jangka hayat untuk lelaki meningkat daripada 70 tahun pada tahun 2000 kepada 71.9 tahun pada 2010. Peningkatan jangka hayat wanita lebih tinggi berbanding lelaki dengan hanya 74.7 tahun pada tahun 2000 meningkat kepada 77 tahun pada 2010.
Apa erti semua ini? Dari satu sudut, sememangnya ini tanda-tanda bahawa Malaysia sedang menuju negara maju berpaksikan kualiti kehidupan yang lebih baik. Namun, dari satu sudut lain, ia bermaksud, negara memerlukan lebih ramai rakyat yang bijaksana dan bukan sekadar cerdik dan pandai. Dengan kata lain, keputusan peperiksaan yang cemerlang semata-mata tidak menjanjikan masa depan yang baik. Faktor utama kejayaan masa depan ialah kebijaksanaan seseorang. Takrifan bijaksana amat menarik sekali iaitu "bijak laksana" dan "bijak di sana (akhirat)".
Sebab itulah seseorang yang berjaya adalah seseorang yang bijak melaksanakan apa sahaja perkara dalam mengemudi kehidupan seharian. Sebagai contoh, dalam mengharungi kehidupan serba mencabar dan pada masa sama berkemungkinan jangka hayat seseorang semakin panjang (mengikut perkiraan purata jangka hayat rakyat Malaysia), seseorang tidak boleh lari menyediakan dana yang mencukupi.
Alpa menyediakan dana yang mencukupi akan memudaratkan diri sendiri tatkala mengharungi hari tua nanti. Maka, tidak menghairankanlah, ramai yang terpaksa bekerja meskipun sudah melepasi umur pencen dan kudrat semakin tidak bertenaga. Walhal, ketika kudrat cukup bertenaga, wang dihabiskan dengan berbelanja bukan-bukan. Sikap boros ketika muda menunjukkan seseorang tidak menjadikan dirinya bijak melaksanakan pengumpulan dana mencukupi untuk hari-hari tuanya.
Mungkin ada yang bertanya bagaimana mungkin mereka ini boleh mengumpul wang mencukupi jika sekiranya pendapatan sedia ada pun tidak cukup untuk kehidupan seharian. Bagi penulis, seseorang yang bijaksana akan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti kehidupannya. Umpamanya, meningkatkan ilmu pengetahuan yang lebih luas yang menjadikan seseorang lebih baik daripada sebelumnya. Rakyat Malaysia majoritinya berpendapatan sederhana ke bawah, maka mahu tidak mahu usaha meningkatkan pendapatan adalah satu kewajipan bagi mengumpul dana yang mencukupi di hari tua.
Bagaimana pula bagi yang sememangnya memperoleh pendapatan tinggi? Tidak semua yang berpendapatan tinggi dikategorikan sebagai golongan bijaksana. Begitu juga tidak semua berpendapatan rendah dikatakan kurang bijaksana. Terdapat kes individu berpendapatan tinggi dengan gaji lima angka, jatuh muflis dek kerana kurang bijaksana mengurus kewangan peribadi.
Kesimpulannya, bagi mengharungi jangka hayat yang semakin meningkat, kebijaksanaan amat dituntut. Justeru, bagi yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan, janganlah gundah kerana "kejayaan" peperiksaan belum cukup menjanjikan kehidupan cemerlang di masa depan. Bagi yang cemerlang, usahakan diri menjadi seseorang yang bijaksana dan bukan sekadar pandai menjawab soalan peperiksaan. Kebijaksanaan perlu diterapkan seawal usia muda, bak kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan