Rabu, 11 Januari 2012
ISU BAHASA : Kekeliruan penggunaan bahasa
Faktor penyatuan bangsa dan kesopanan terpinggir
KEKELIRUAN penggunaan bahasa yang berbeza mengikut etnik boleh menimbulkan tanggapan yang tidak sihat ke arah penyatuan bangsa sehingga ia perlu ditangani secara akademik untuk membuka ruang saling memahami.
Persoalan ini dan hal berkait rapat dengan aspek kesopanan yang menjadi jati diri bangsa di gugusan kepulauan Melayu ini antara yang disorot pada Persidangan Linguistik ASEAN V di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Selain persoalan yang bersifat setempat, persidangan anjuran Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan DBP itu, turut merentas sempadan serantau apabila melihat realiti pengembangan bahasa Melayu di luar negara yang turut berkait rapat dengan kedudukan bahasa berkenaan di buminya sendiri.
Ketua Program Bahasa Melayu dan Linguistik, Universiti Brunei Darussalam, Dr Azmi Abdullah, berkata kekeliruan yang berpunca daripada aspek kebahasaan dalam komunikasi perlu ditangani untuk mengelakkan pergeseran sosial.
“Tanggapan terhadap penggunaan bahasa yang kedengaran kasar pada etnik lain bukan bibit penyatuan yang positif, sekiranya arah atau hala tuju sosial adalah mewujudkan masyarakat nasional yang utuh dan harmoni.
“Kekeliruan yang berpunca daripada aspek kebahasaan seperti ini tidak boleh dibiarkan begitu saja dan perlu diperjelaskan dengan tuntas agar punca pergeseran sosial dapat dileraikan pada tahap dasar dan cara lebih wajar,” katanya ketika membicarakan Linguistik Bahasa (+) Hormat Dan Bahasa (-) Hormat: Satu Tinjauan Pragmatik Silang Budaya.
Dr Azmi meninjau komunikasi silang budaya antara etnik Kedayan dengan Melayu Brunei yang membabitkan penggunaan kata panggilan ‘kau’ yang digunakan secara meluas dan biasa dalam masyarakat Kedayan, tetapi turut diucapkan apabila berkomunikasi dengan etnik lain.
“Apabila ia berlaku, Melayu Brunei cenderung menanggapi penutur dialek Kedayan sebagai orang atau komuniti yang berbahasa kasar atau kurang sopan, walaupun tanggapan ini mungkin tidak diluahkan secara terus-terang.
“Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya, tanggapan seperti ini lebih sesuai diistilahkan sebagai ‘dakwaan’ saja,” katanya.
Ini kerana, kata Dr Azmi, dakwaan itu kurang mendapat penjelasan yang wajar tentang bagaimanakah rasionalnya dakwaan yang dilemparkan seperti itu dapat diterima oleh komuniti masing-masing.
“Apabila berlaku pergeseran sosial ketika pertembungan silang budaya, penutur dialek Kedayan mungkin akan mengatakan, ‘itulah bahasa kami’ atau ‘itulah cara kami berbahasa’.
“Walhal, jauh dalam hati penutur dialek Melayu Brunei mungkin akan mengatakan ‘Ah! Memang mereka (komuniti/puak) ini bahasanya kasar,” katanya.
Pandangan Dr Azmi itu bertepatan dengan pandangan Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Dan Kesusasteraan Melayu UKM, Sa’adiah Ma’alip yang mengkaji sistem panggilan kekeluargaan Orang Asli Temuan di Desa Temuan, Pusat Bandar Damansara, Petaling Jaya.
“Hasil kajian menunjukkan kebanyakan responden bersetuju kata panggilan kekeluargaan perlu dipertahankan dan terus digunakan bagi mencerminkan sesuatu budaya yang unik dengan mempunyai kata-kata yang khusus dalam memanggil atau menyapa seseorang.
“Melalui kata panggilan kekeluargaan juga dapat menggambarkan nilai keutuhan dan mengeratkan tali persaudaraan dalam sesebuah keluarga, sekali gus berfungsi bagi melahirkan perasaan hormat-menghormati di kalangan ahli keluarga tanpa mengira taraf hidup seseorang,” katanya.
Sa’adiah berkata, masyarakat Orang Asli Temuan menggunakan kata panggilan seperti Wak, Tahak, Mamak, Get dan Bah bagi menyapa atau memanggil bapa saudara mereka yang dalam budaya Melayu dipanggil Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang, Pak Anjang, Pak Cik dan Pak Usu.
“Bagi kata panggilan yang merujuk kepada emak saudara, masyarakat Melayu menggunakan kata panggilan seperti Mak Long, Mak Ngah, Mak Anjang, Mak Cik dan Mak Usu, manakala Orang Asli di tempat kajian pula menggunakan Tahak, Inak dan Gauk.
“Panggilan bagi datuk dan nenek mereka juga memperlihatkan bentuk berbeza, iaitu Ninik bagi menyapa atau memanggil datuk dan Genui (nenek),” katanya.
Beliau berkata, masyarakat Orang Asli yang mengamalkan adat resam dan kesopanan dalam pertuturan yang menyamai orang Melayu, seseorang itu harus cekap dalam pemilihan kata-kata sapaan yang sesuai semasa bertutur atau berhubung dengan individu tertentu.
“Jika pemilihan kata-kata berkenaan tidak bersesuaian akan menyebabkan wujudnya suasana yang tidak menyenangkan antara kedua-dua belah pihak,” katanya.
Selain isu kesopanan dalam bahasa, persidangan itu turut menyorot sejarah pembinaan dan pengembangan program pengajian bahasa Melayu di luar negara khususnya di Korea Selatan.
Di sebalik Universiti Pengajian Bahasa Asing Hankuk sudah menubuhkan Jabatan Bahasa Melayu-Indonesia sejak 1960 lagi, Pemegang Kursi Pengajian Melayunya, Prof Dr Zaharani Ahmad, berkata pelajarnya lebih berminat untuk membuat program 1 semester di Indonesia berbanding Malaysia.
“Daripada temu bual dengan beberapa pelajar, kebanyakannya berpandangan kemahiran berbahasa mereka lebih baik ketika berada di Indonesia disebabkan bahasa Indonesia digunakan sepenuhnya dalam aktiviti seharian.
“Di negara ini sebaliknya pula kerana orang ramai lebih suka berbahasa Inggeris, sekali gus tidak membantu mempertingkatkan kemahiran bahasa Melayu mereka,” katanya.
Selain itu, Prof Zaharani berkata, faktor kos sara hidup yang lebih murah juga mendorong pelajar memilih Indonesia daripada Malaysia, selain peluang pekerjaan yang lebih terbuka di Indonesia kerana wujudnya perusahaan dan perkilangan Korea yang banyak di sana, iaitu sekitar 700 perusahaan berbanding Malaysia (100).
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan