Karya ilmiah dalam pelbagai bidang perlu diperbanyak
KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan Muzakarah Bahasa dan Persuratan dengan tujuan memperkasakan dasar-dasar negara khusus dari segi bahasa dengan menjadikan khazanah persuratan ilmu sebagai satu agenda negara yang besar.
Ketua Pengarahnya Dr Awang Sariyan berkata muzakarah tersebut akan diadakan pada 17 dan 18 Mac ini dengan mensasarkan penyertaan enam kelompok yang dianggap sebagai pemegang kepentingan dalam soal bahasa, sastera dan ilmu.
"Kelompok yang kita sasarkan adalah ahli bahasa, sastera, sarjana, budayawan, cendiakawan dan media," katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Katanya muzakarah itu adalah bagi memantapkan dasar bahasa kebangsaan serta menjadikannya sama penting dengan dasar ekonomi, pertahanan, politik serta pentabiran negara.
Beliau berkata muzakarah itu diharap dapat menghasilkan resolusi, cetusan, pandangan serta cadangan untuk menambah baik segala program yang dirancang bagi memenuhi cita-cita dan falsafah negara.
"Ini dapat dicapai dengan mengimbangi pembangunan fizikal melalui pembangunan dalaman terutama dari segi bahasa, ilmu dan sastera yang dapat menghaluskan budi pekerti serta pemikiran masyarakat," katanya.
Awang yakin DBP dapat meneruskan usaha dalam memperjuangkan bahasa Melayu melalui pendekatan yang lebih khusus dan penuh pengertian bagi memartabatkan bahasa itu.
Menurutnya perkara paling penting pada muzakarah tersebut ialah pertemuan khas dengan kelompok sains dan teknologi bagi merancang memperbanyakkan penerbitan dan pengeluaran serta terbitan-terbitan berkaitan bidang itu.
Katanya, terbitan itu disasarkan untuk pelbagai peringkat termasuk pensarjanaan, masyarakat umum seperti remaja dan kanak-kanak dengan pendekatan penulisan serta persembahan yang mesra pembaca. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan