Isnin, 20 Februari 2012

ISU BAHASA : Rais minta stesen radio martabatkan bahasa kebangsaan


JOHOR BAHRU 20 Feb. — Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim menggesa 56 buah stesen radio di negara ini termasuk 22 buah stesen radio swasta mengambil peranan dalam menyemarakkan penggunaan bahasa kebangsaan.

Beliau kesal masih banyak stesen radio tidak mengambil berat tentang aspek penggunaan bahasa Melayu dengan betul menyebabkan pendengar terdedah dengan bahasa rojak dan slanga.

"Kita pohon (stesen radio) supaya jangan hanya guna bahasa kebangsaan lantaran didesak atau diarah berbuat demikian.

"Sepatutnya stesen televisyen dan radio termasuk swasta memainkan peranan ulung dalam memajukan bahasa kebangsaan dengan penggunaan yang betul dan menarik kepada pendengar,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran peluasan siaran Bernama Radio24 ke Johor di kompleks beli-belah The Zon di sini hari ini.

Sehubungan itu, Rais berkata, dalam syarat perlesenan akan datang, penggunaan bahasa kebangsaan dan kempen nilai murni akan menjadi satu daripada syaratnya.

Stesen yang gagal mematuhinya akan diberikan teguran dan tindakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), katanya. — BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan