Selasa, 7 Februari 2012
ISU KEPENGGUNAAN : Beri maklumat jelas kepada pengguna
KUALA LUMPUR 7 Feb. - Kebanyakan agensi pengiklanan didakwa mengabaikan tanggungjawab mendidik pengguna selain gagal memberi maklumat jelas tentang produk yang diiklankan terutamanya menerusi televisyen.
Bukan sahaja idea yang ditonjolkan pada sesuatu iklan itu tidak membimbing pengguna, malah pada masa sama menggambarkan produk-produk tersebut secara berlebih-lebihan.
Bagi Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hamisah Hassan, pengiklan seharusnya peka dengan keperluan dan sensitiviti pengguna di negara ini yang majoritinya beragama Islam.
''Sekiranya sesuatu iklan tidak boleh memberitahu pengguna status halal produk yang dipromosikan, ia bermakna pengiklan tidak memberi maklumat jelas kepada pengguna.
''Berdasarkan kaji selidik yang pernah dijalankan, orang ramai sebenarnya memberi reaksi positif terhadap iklan yang berbentuk Islamik,'' katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Biarpun tidak dapat memastikan sama ada mereka akan membeli produk yang diiklankan itu, kata Hamisah, menjadi tanggungjawab agensi pengiklanan untuk memantau iklan yang dihasilkan bersesuaian dengan norma-norma kehidupan masyarakat Malaysia.
''Saya tidak dapat memastikan sejauhmana Kod Amalan Pengiklanan Malaysia dipatuhi lebih-lebih lagi dengan 'kebanjiran' iklan luar," katanya.
Pada masa sama, Hamisah turut mempersoalkan sejauh mana Lembaga Piawaian Pengiklanan Malaysia memainkan peranan mereka dalam memantau iklan yang diterbitkan.
Tidak mahu meletakkan beban di bahu pengiklan semata-mata, beliau mengharapkan pengguna Islam di negara ini juga perlu menerapkan bekalan ilmu tentang kepenggunaan supaya mereka lebih peka terhadap barangan yang ingin dibeli.
''Pengetahuan tentang ilmu penggunaan perlu didedahkan sejak di bangku sekolah lagi. Ia tidak semestinya perlu di ajar dalam mata pelajaran tertentu, sebaliknya pengetahuan tersebut boleh diberikan secara selingan," katanya.
Sementara itu, Hamisah berpendapat, adalah penting pihak berwajib melaksanakan penguatkuasaan kepada dasar dan akta sedia ada untuk memastikan setiap iklan yang disiarkan benar-benar bermanfaat kepada pengguna.
''Kita mempunyai dasar iklan buatan Malaysia atau made in Malaysia sejak 40 tahun lalu, tetapi sehingga hari ini kita masih dapat lihat iklan di kaca televisyen dimonopoli pengiklan dari luar.
''Jika penguatkuasaan tidak dilakukan dengan tegas, pasti apa-apa sahaja akta digubal akan diketepikan begitu sahaja," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan