Selasa, 7 Februari 2012
ISU KEPENGGUNAAN : Jakim teliti wajib pamer logo pengesahan halal di media
KUALA LUMPUR 7 Feb. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedia meneliti cadangan supaya mewajibkan setiap produk makanan, minuman mahupun barangan kegunaan yang diiklankan di media massa terutama televisyen mempamerkan logo pengesahan halal.
Menurut Pengarah Bahagian Hab Halal, Hakimah Mohd. Yusoff, biarpun Jakim belum mempunyai perancangan untuk mewajibkannya, namun cadangan tersebut akan dipertimbangkan demi kepentingan pengguna Islam di negara ini.
''Langkah mewajibkan setiap produk yang diiklankan mempamerkan logo halal Jakim tidak dinafikan dapat memberi keyakinan kepada pengguna Islam untuk menggunakan barangan yang benar-benar halal,'' katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Selaras dengan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Persijilan Halal baru-baru ini, kata Hakimah, semua syarikat pengeluar produk makanan, minuman atau barangan kegunaan harian yang telah mempunyai sijil halal, wajib menggunakan logo halal Jakim pada produk keluaran mereka.
"Secara tidak langsung, akta tersebut dapat membantu memberikan maklumat kepada pengguna Islam tentang status halal produk yang diiklankan di kaca televisyen itu," katanya.
Menurut Hakimah, sehingga kini, jabatan tersebut telah bekerjasama dengan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk memastikan setiap iklan yang menggunakan logo halal di kaca televisyen mempunyai sijil halal yang sah sebelum disiarkan.
Pada masa sama, katanya, Jakim dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), kastam dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut memastikan setiap logo diiklankan adalah benar.
Dalam masa sama, jelas beliau, pihaknya terbuka menerima sebarang aduan daripada orang ramai sekiranya meragui status barangan yang diiklankan biarpun produk tersebut mempamerkan logo halal Jakim.
Selain melawati laman web Jakim di alamat www.halal.gov.my, orang ramai kini boleh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaipkan HALAL SEMAK nombor pendaftaran syarikat dan hantar ke 15888.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan