Khamis, 26 April 2012
ISU BAHASA : Bahasa kita lenyap di udara
ABDUL JALIL ALI
Penerbangan ke Langkawi petang itu ditunda 45 minit. Rata-rata penumpang di ruang menunggu terminal tambang murah (LCCT), Sepang, merungut. Mereka yang berdiri dalam barisan untuk menaiki pesawat, terpaksa duduk semula. Kanak-kanak yang sudah lebih sejam menunggu dan tidak sabar naik kapal terbang, mula menangis.
Walaupun sedar jadual asal terganggu – undangan untuk menghadiri satu acara di Pulau Mahsuri sebelum 4.30 – saya tidak kisah sangat. Apalah 45 minit, sedangkan saya pernah tertunda penerbangan selama tiga jam. Malah, pernah sekali penerbangan dibatalkan terus hingga ke esok hari.
Sebenarnya sepanjang berjinak-jinak dengan pesawat tambang murah, saya sudah bersedia dan rela sekiranya penerbangan dilewatkan. Tidak perlu bertanya punca penangguhan atau pembatalan. Kalau tanya pun, jawapan pasti tidak memuaskan hati, atau mungkin lebih menyakitkan hati.
Malah, kalau berbuih pun mulut kita komplen, dia orang tidak akan berbuat apa-apa. Kalau kita tulis berjela-jela melepaskan perasaan marah, dia orang tidak kisah. Lebih-lebih dia orang akan kata: We are sorry! Sebenarnya itu sama sahaja maknanya seperti berkata: “Ada aku kisah!”
Maka terima sahajalah hakikat bahawa ini kapal terbang tambang murah, biasalah kalau terlambat. Kalau hendak penerbangan yang menepati waktu, naiklah pesawat biasa yang harganya lebih mahal.
Oleh sebab bayar murah – sebenarnya tidak berapa murah jika kita menempah tiket pada saat akhir – saya menerima hakikat untuk dilewatkan. Kalau 10 kali terbang, lima kali ditunda, itu pun saya tidak menganggap sebagai satu buli.
Namun, saya tidak dapat menerima hakikat bahawa syarikat penerbangan milik orang Malaysia ini, tidak menghiraukan bahasa Malaysia @ bahasa Melayu. Agaknya mereka takut penumpang tidak faham sekiranya cakap Melayu. Atau, boleh jadi juga mereka berasa malu guna bahasa Melayu, mana ada kelas!
Sebab itu pengumuman sepanjang penerbangan selama sejam, menggunakan bahasa Inggeris. Cakap Melayu hanya dua kali, iaitu ketika mula naik dan semasa akan mendarat. Itu pun bahasa Melayu bunyi macam orang putih. Sebut perkataan ‘dadah’ menjadi ‘dada’, ‘tali pinggang’ kedengaran ‘tele pinggan’. Agaknya petugas udara yang bercakap itu orang dari England, baru belajar cakap Melayu!
Pengumuman lain, semua menggunakan bahasa Inggeris, tanpa terjemahan sepatah pun dalam bahasa Melayu. Ini termasuk pengumuman mengenai peraturan keselamatan. Kalau orang tidak faham bahasa Inggeris, mungkin tidak tahu apa hendak dilakukan ketika kecemasan.
Sama seperti ketika pergi, penerbangan pulang dari Langkawi masih mengutamakan bahasa asing. Saya bertanya seorang pramugari mengapa pengumuman tidak dibuat dalam bahasa Melayu? Ada penumpang tidak faham bahasa Inggeris.
Si manis ayu lagi seksi dalam skirt singkat yang mendedahkan itu (kenapa tidak pakai kebaya untuk menampakkan kesopanan kita!), hanya tersenyum. Agaknya dia tidak faham soalan sebab saya menggunakan bahasa Melayu. Sebenarnya saya tidak kisah pengumuman dalam bahasa Inggeris.
Malah, tidak salah kalau digunakan juga bahasa-bahasa lain seperti Tamil, Mandarin, Hindustan, Urdhu, Arab, bahasa Orang Asli, hatta bahasa Mongolia. Tetapi mesti ada juga bahasa rasmi negara, iaitu bahasa Melayu.
Lagi pun sebahagian besar penumpang pada dua penerbangan tersebut adalah orang tempatan. Memang ada sebahagian, mungkin 10 peratus, pelancong asing hidung mancung. Tetapi rata-rata penumpang adalah hidung kemik macam saya. Dan, saya percaya ada penumpang yang tidak faham bahasa ‘Mat Salleh’.
Apakah kerana ada seorang dua hidung mancung, maka pengumuman perlu dalam bahasa Inggeris? Betapa halnya penumpang tempatan yang tidak faham bahasa tersebut? Kalau pun semua orang faham bahasa Inggeris, apakah wajar bahasa Melayu dibuang terus?
Atau, apakah kerana ini pesawat tambang murah, perlu gunakan hanya satu bahasa sebab mengulangi pengumuman dalam bahasa Melayu hanya akan menambahkan kos? Atau, apakah ini sengaja sabotaj terhadap bahasa rasmi?
Pada hemat saya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi perlu digunakan walaupun 100 peratus penumpang adalah pelancong asing. Biar dia tahu bunyi bahasa kita. Ini bukan soal orang faham atau tidak faham bahasa Melayu. Ini juga bukan soal kos. Bahasa adalah soal maruah. Sebab bahasa menunjukkan bangsa!
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Ketegasan pihak berkuasa untuk mengarahkan semua syarikat mengutamakan bahasa Melayu sangat diperlukan. Kita bukan tidak faham bahasa asing tapi kita mahu mendaulatkan bahasa Melayu. Hanya negara Malaysia yang boleh mendaulatkan bahasa Melayu...jangan harapkan orang lain untuk menghargai bahasa kita jika kita sendiri menegnepikannya..
BalasPadam